Entah kenapa, sejak akhir-akhir ni, masa berlalu begitu pantas. Ungkapan yang biasa kita dengar, kerana inilah akhir zaman. Kiamat dah nak dekat, maka masa berdetik pantas tanpa manusia menyedarinya. Baru seolah-olah semalam aku solat Jumaat di Reservoir, harini dah tiba lagi Raisulyaum ini. Baru saja rasanya attend discussion dengan Pauline pasal progress study, dah nak kena jumpa lagi untuk kesekian kalinya. Baru jugak rasanya main futsal, dah tiba semula hari yang bagus untuk buang peluh ni.
Aku pun rasa macam lost, tak ikut dah time table study aku atas sebab2 yang tak boleh nak dielak, atau ditidakkan. Orang2 Bundoora taulah kenapa kot? hehe..
Aku selak2 balik folder dalam laptop ni, jumpa softcopy buku ‘Resipi Istimewa Untuk Belajar’ yang dikarang bersama dengan Dr Sapora Sipon tahun lepas. Tersengih aku..mana taknya, dalam buku tu aku and Dr Sapora letak Pengurusan Masa sebagai first chapter..means, nasihat orang pasal time menejemen pandai, sendirik? hancus..wahaha..taklah hancus, tapi lari jugaklah dari objective sket2 sebab tak urus masa dengan efficient.
Well, aku rasa untuk jadi peringatan semula pada diri aku sendiri, dan untuk dikongsi sebagai panduan dengan kawan2 lain, maka ini sedikit info yang aku korek balik dari 1st Chapter buku kami nih yang berkaitan dengan time menejemen. Kalau aku rajin, Insya Allah aku akan susulkan dengan kandungan lain, pasal tips2 time menejemen…enjooyyy, daaaaaa!!!!
*************************************
Diceduk dengan izin penulis buku ‘Resipi Istimewa Untuk Belajar’ terbitan Universiti Sains Islam Malaysia, 2007
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan nasihat-menasihati dengan kebenaran. Dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.”
(al-‘Asr:1-3)
PENGURUSAN MASA
As-Syahid Hassan Al-Banna ada menyebut bahawa ‘masa adalah kehidupan, tanpanya kita akan mati’ (Mohd Azhar Abdul Hamid , 1999).
Oleh itu pengurusan masa adalah penting sama ada dalam dunia pekerjaan atau dunia pelajar. Pelbagai cara dan gaya masa itu diurus tetapi yang paling penting ialah ia dapat diurus dengan lebih berkesan agar memberi manfaat yang berguna kepada kita.
William Wilkinson iaitu seorang ahli perniagaan berbangsa Amerika yang berjaya pernah berkata: “Hentikan membuang masa. Mulailah mengisi dan melaburkan masa. Hal ini akan merupakan pelaburan paling berharga untuk diri dan perusahaan anda” (dalam Lakein, 1996).
Masa merupakan barang yang unik yang diberikan secara sama rata kepada setiap individu. Setiap orang tidak terkecuali, memiliki masa sebanyak 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 52 minggu setiap tahun. Masa berdetik dengan konsisten, tetapi nampaknya tidak ada seorang pun mempunyai masa yang cukup kerana kita tidak mungkin mencipta lebih banyak masa. Bermakna, kita wajib berhemah dengan waktu yang diberikan kepada kita.
Pakar pengurusan masa, Merrill Douglass (dalam Lakein, 1996) mengatakan bahawa cara anda menghabiskan masa akan menentukan bagaimana anda memanfaatkan hidup anda dan hal itu sama dengan siapa anda sebenarnya. Tambahnya, hari esok berhubungan dengan hari ini dan hari kelmarin. Tanpa semalam tiadalah hari ini, dan tanpa hari ini tiadalah esok. Begitulah sebelumnya jika kita meninjau masa silam, dan begitulah ketentuannya jika kita hitung waktu-waktu mendatang. Menurut Atchity dalam Sherina (1999), ‘Time expands for those who court it.’
Hakikatnya, masa merupakan sumber yang paling berharga yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Malangnya, tidak semua di kalangan kita mengetahui cara yang paling efisien untuk memanfaatkannya dengan bijaksana.
Daripada perspektif Islam, masa adalah sesuatu yang diangkat sebagai tunggak kejayaan seseorang di dunia dan akhirat. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sangat memberikan perhatian yang sangat penting terhadap masa degan pelbagai gambaran. Ini kerana masa merupakan kurniaan Allah SWT yang sungguh besar nikmatnya kepada manusia. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:
‘Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang". Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)’ (Surah Ibrahim : 33-34 ).
Daripada maksud ayat di atas, Allah SWT membezakan antara malam dan siang adalah bertujuan supaya manusia dapat membahagikan masanya untuk melaksanakan aktiviti harian dan untuk beramal ibadah. Allah SWT menunjukkan kepada kita bahawa masa merupakan satu entiti yang sangat penting dan melalui sumpah-Nya dengan nama masa:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan Kebenaran. Dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kesabaran" (al-’Asr:1-3).
Allah SWT menyebutkan bahawa setiap orang itu adalah sentiasa berada dalam keadaan kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mempunyai keyakinan yang teguh, melakukan amalan yang baik, berpesan-pesan ke atas kebenaran, dan berpesan atas kesabaran (Mohd Fadzilah dan Ahmad Fadzli, 2004).
Pengurusan masa ialah perihal mengurus masa (waktu) dengan sebaik mungkin, sehingga masa (waktu) itu memberi manfaat bagi semua pihak. Begitu pentingnya masa, sehingga Allah SWT mengingatkan kita supaya menggunakan masa itu dengan sebaik-baiknya.
MASA DAN SIFAT-SIFATNYA
Masa mempunyai ciri-ciri atau sifat yang tersendiri dan wajib bagi setiap muslim mengetahui sifatnya agar dapat mengawasinya dengan cara yang betul. Antara sifat-sifatnya ialah :
Pantas Peredarannya
Manusia akan merasa lebih pantas perjalanan masanya seandai mereka sedang bergembira dan lambat peredarannya jika mereka dalam kedukaan. Walhal perjalanan dan peredaran adalah sama sahaja. Ia ada tersebut dalam sebuah syair yang berbunyi :
“Telah berlalu tahun-tahun yang dipenuhi dengan pendampingan dan kegembiraan.
Seolah-olahnya dari kesingkatannya beberapa hari sahaja.
Kemudian disusuli pula hari-hari perpisahan selepasnya.
Seolah-olah hari tersebut, dari segi kepanjangannya beberapa tahun.
Kemudian berlalulah hari-hari tersebut dan ahli-ahlinya.
Seolah-olah (tahun-tahun itu) dan mereka yang berada di dalamnya
seperti mimpi sahaja.”
Masa Yang Berlalu Tidak Akan Kembali Semula
Setiap hari berlalu, setiap detik yang telah pergi, tidak akan kembali. Ia telah digambarkan oleh Imam Hassan Al-Basri dalam kata-katanya yang sangat berharga berbunyi :
“Setiap hari menyinsingnya fajar akan diseru; Wahai manusia, aku mahkluk yang baru, pekerjaanmu menjadi saksi. Justeru itu tambahlah bekalan daripadaku, kerana aku apabila pergi tidak akan kembali semula sehingga hari Kiamat.”
Kata-kata tersebut bukanlah hadis tetapi hanya pengucapan biasa sahaja yang merupakan mutiara kata. Sebuah syair telah menggambarkan betapa masa yang berlalu tidak akan kembali semula. Syair tersebut berbunyi :
“Tidaklah seseorang itu melainkan seorang manusia yang menunggang di atas belakang usianya di dalam suatu perjalanan, menghabiskan usia tersebut dengan hari dan bulan.”
“Ia bermalam, berpagi, setiap hari dan malam, dalam hal keadaan jauh dari dunia dan dekat ke kubur.”
Sangat Bernilai, Tidak Boleh Dimiliki Oleh Manusia
Selain daripada dua sifat yang telah disebutkan di atas masa merupakan sesuatu yang sangat bernilai yang tidak boleh dimiliki oleh manusia. Sesungguhnya masa merupakan aset yang paling bernilai pada manusia di mana ia penting untuk segala usaha dan pekerjaan bagi mencapai kejayaan dan berjaya dalam kehidupan. Ia tidak dapat dinilai dengan intan dan permata kerana ia lebih berharga daripada benda-benda yang sangat tinggi harganya. As-Syahid Hassan Al-Banna ada menyatakan bahawa “masa itu adalah kehidupan” oleh itu pengabaiannya akan mengakibatkan kematian dan kesusahan. Menurut Imam Hassan al-Basri menyatakan:
“Wahai anak Adam! Kamu adalah himpunan hari-hari, apabila berlalunya suatu hari, telah berlalu sebahagian daripada kamu.”
Barang siapa yang masih lagi di dalam kejahilan dengan tidak dapat menilai harga masa itu, maka akan tiba masa penyesalan baginya. Suatu hari yang tidak berguna lagi segala penyesalan.
PANDANGAN YANG BETUL TERHADAP MASA
Masa yang dilalui oleh setiap manusia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu masa lalu, masa sekarang dan masa depan. Berdasarkan kepada tiga bahagian masa yang telah dilalui oleh setiap manusia, terdapat banyak pandangan atau penilaian yang tersendiri terhadap masa-masa tersebut. Ia perlu dinilai bagi memastikan setiap masa yang dilalui digunakan dengan sebaik mungkin.
1. MASA LALU
Masa lalu bukanlah untuk bermegah-megah tanpa kita melakukan sesuatu untuk mengekalkan dan mencari hikmah dari sesuatu yang telah berlaku. Sesungguhnya mereka yang terdahulu meninggalkan banyak tinggalan yang menjadi keagungan atau identiti yang tersendiri seperti kesenian, sejarah, keilmuan dan sebagainya. Kewajiban pada kita ialah menyesuaikan segala tinggalan yang ada menjadi sesuatu yang realiti dengan generasi sekarang. Tidak seharusnya kita meninggalkan yang lama hanya kerana ianya lama. Kerana tiada yang lama tiadalah yang baru. Terdapat perkara-perkara lama yang tidak perlu diperbaharui iaitu Al-Quran. Kalam Allah selama mana masa berlalu ia tetap tidak diistilahkan sebagai ‘lama’. Begitu juga dengan Ka’abah yang dikenali sebagai “Baitul Atiq”. Ia tidak perlu diperbaharui. Hargailah sesuatu yang lama kerana ia besar faedahnya. Raja puisi Arab, Syauqi telah mengambarkannya dalam sebuah syairnya yang berbunyi:
“Janganlah kamu mengambil langkah golongan yang membawa fitnah, yang mana mereka dapati setiap hasilan-hasilan yang lama patut ditinggalkan…”
“Sekiranya mendapati peluang di dalam perhimpunan-perhimpunan, mereka mengkritik dan mencela mereka yang telah meninggal dari golongan yang lalu, juga mereka yang telah lanjut usianya…”
“Bahkan setiap mereka yang telah memberi jasa di masa lampau, mereka menjatuhkan juga, tetapi sebaliknya apabila mereka memegang sesuatu teraju. Ia tidak dapat memimpinnya…”
Sesungguhnya sesuatu yang lama atau yang baru adalah perkara yang tidak dapat dipastikan dan difikirkan. Ini kerana mungkin lama di sini tetapi baru di
sana
dan sebaliknya. Sesuatu benda yang baru tidak akan kekal barunya kerana esok lusa ia akan menjadi sesuatu barang yang lama.
Setiap muslim seharusnya menghitung waktu yang berlalu dengan bertanyakan soalan kepada dirinya tentang apakah yang aku lakukan hari ini, apa yang aku tinggalkan dan kenapa aku tinggalkan? Ini dilakukan untuk memastikan perjalanan hidup yang kita telah lalui diisi dengan sesuatu perkara yang berfaedah dan tidak bertentangan dengan kehendak agama.
2. MELIHAT MASA DEPAN
Setiap umat manusia seharusnya memandang dan memikirkan masa yang akan mendatang yang akan mereka lalui walaupun ia tidak berupaya untuk mengubah masa lampaunya. Sesungguhnya kita tidak mengerti apakah yang bakal kita lalui di masa-masa yang mendatang. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok (sama ada baik atau jahat).”
Walaupun kita tidak mengetahui perkara-perkara yang akan mendatangi kita di masa depan, tetapi kita digalakkan untuk berusaha dengan gigih di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT semoga dikurniakan rahmat dan perlindungan.
3. MENGUTAMAKAN MASA SEKARANG
Masa yang telah berlalu merupakan suatu pengajaran dan pengalaman kepada diri yang menjadi garis panduan untuk meniti kehidupan yang penuh mencabar pada hari ini dan di masa hadapan. Masa sekarang adalah penting kerana di masa inilah kita berkesempatan memperbetulkan kesalahan yang lalu yang telah kita lakukan sama ada kita sedari atau tidak.
Imam Ghazali menyatakan dalam kitabnya yang mashur iaitu “Ihya Ulumuddin” yang bermaksud:
“Masa itu terbahagi kepada tiga bahagian, masa yang tidak memenatkan hamba, bagaimana sekalipun ia berlalu, sama ada di dalam kesusahan ataupun kesenangan”.
“Masa hadapan yang tidak dapat diketahui oleh seorang hamba, sama ada ia dapat terus hidup ataupun tidak. Dan jiwa ia tidak ketahui apakah ketentuan Allah padanya.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seseorang yang berakal itu, semestinya mempunyai empat masa; masa ia memohon, berdoa kepada Tuhannya, masa ia menghitung, menghisab kembali dirinya, masa untuk ia menikmati makanan dan minuman” (Riwayat Ibnu Hibban).
Sesungguhnya empat masa yang disebutkan di atas adalah asas kepada untuk seseorang muslim memikirkan masa yang lain. Daripada penelitian dan pemerhatian daripada tiga masa yang digariskan dapat kita lihat betapa pentingnya masa-masa tersebut dalam kehidupan. Ia menjadi garis panduan untuk kita meneroka lebih jauh kehidupan ini. Ia dijadikan landasan agar kita tidak tersesat dan boleh kembali ke pangkal jalan dan memastikan apakah tujuan dan tugas kita yang sebenar sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Terdapat beberapa masa yang telah digariskan oleh Allah SWT untuk kita ikuti dan selebihnya kita sendiri yang akan menentukan pengurusan tersebut.
Terlalu banyak mutiara kata atau syair pujangga yang terhasil memperlihatkan tentang peri pentingnya waktu itu dalam kehidupan ini. Walau apa pun tiada yang setara di dunia ini dengan nilai masa itu sendiri. Oleh itu pengurusannya yang cekap dan berkesan adalah perlu bagi memastikan kita tidak tergelincir dari landasan waktu.