Archive for September, 2007

Kisah Nurin hilang biar kes terakhir

Thursday, September 20th, 2007

Alhamdulillah, hari ni artikel aku keluar di Berita Harian (21 September). Kali ni aku cuba kupas kes2 kanak2 hilang dan lari dari rumah… sila retrieve di url ni: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20070920225521/Article/index_html

Sebenarnya, hati aku cukup tersentuh bila membaca kronologi cerita kehilangan Nurin ni. Kehilangan dia adalah di kawasan yang tak jauh dari rumah bapak mentua aku kat Wangsa Maju dan aku sangat2 tak hairan sebab memang masyarakat sekarang terutamanya dual career parents meletakkan kebebasan dan kepercayaan yang tidak berbatas kepada anak2. Nak keluar rumah,nak pergi main, nak jumpa kawan, nak sambut merdeka pagi2 buta, nak merempit dan sebagainya, semuanya dapat ON THE SPOT GREEN LIGHT dari mak bapak…itulah silapnya masyarakat kita zaman sekarang. Nak nafikan? terpulang…bila da terhantuk baru nak terngadah, itu silap besarlah beb…pesan aku–jaga anak macam jaga diri sendiri. Tatanglah anak bagai minyak yang penuh sebab…bukan senang nak buat anak!

So, ini adalah sorotan artikel aku di BH yang diedit oleh pengarang BH dan artikel aku yang original, bukan nak banding2, just nak share with you folks mesej aku yang tak termuat dalam paper hari ni.

Kisah Nurin hilang biar kes terakhir

SESUNGGUHNYA komen Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa ibu bapa patut dipersalahkan dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah memang ada kebenarannya, walaupun ada pihak tidak setuju dengan pendapatnya. Institusi kekeluargaan secara asasnya berpaksikan kepada bimbingan dan pengawasan oleh ibu bapa terhadap anak mereka. Tidak wajar jika ibu bapa meletakkan tanggungjawab penjagaan anak kepada pihak lain seperti pembantu rumah, jiran tetangga mahupun pihak polis lantaran ibu bapa adalah individu yang paling rapat dengan anak.

Sebenarnya wujud semacam satu budaya di kalangan ibu bapa yang memberikan kebebasan tidak sewajarnya kepada anak. Kebebasan tanpa batasan yang diberi, dianggap sebagai bukti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat anak. Maka, ke mana anak pergi, dengan siapa mereka bergaul dan aktiviti apa yang dilakukan tidak diambil kisah.

Kisah kehilangan anak seperti Nurin Jazlin Jazimin atau Norashila Jaafar yang ditemui semula selepas tiga hari melepak di kafe siber sebenarnya perlu dijadikan teladan buat ibu bapa lain. Begitu juga dengan kes menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan dipercayai dibunuh secara seksual ditemui mati di dalam beg di sebuah premis perniagaan di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini di seluruh negara adalah sesuatu yang sepatutnya boleh mencelikkan mata hati ibu bapa terhadap tanggungjawab menjaga anak mereka sebaik mungkin.

Pengawasan dan penjagaan yang lebih berkesan perlu dipraktikkan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu sedar betapa anak itu adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Di bahu mereka terletak tanggungjawab yang berat untuk memastikan perkembangan anak agar seimbang daripada jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Umum tahu bahawa anak itu diibaratkan helaian kain putih yang perlu dicorakkan sebaiknya mengikut acuan yang dikehendaki oleh ibu bapanya. Ini bermaksud ibu bapa harus faham kaedah ‘menang-menang’ dalam mendidik dan mengawasi anak.

Menang di pihak mereka apabila anak mendengar kata, berdisiplin dan terkawal. Menang di pihak anak pula adalah mereka tidak berasa terlalu terkongkong, mempunyai ruang untuk bersuara dan mempertahankan pendapat dan membuat aktiviti yang disukai.

Antara langkah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa untuk menjaga dan membimbing anak mereka adalah ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab, tatasusila serta kebudayaan.

Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin di kalangan anak bahawa ibu bapa adalah model ikutan terbaik kepada mereka. Dampingi mereka pada waktu gembira misalnya dengan menghadiahkan sesuatu jika mereka berjaya di dalam pelajaran dan pemberi motivasi terbaik jika anak menghadapi kegagalan atau mempunyai masalah.

Seterusnya, terapkan di dalam minda anak dengan konsep ‘rumahku syurgaku’. Konsep begini memberi isyarat bahawa rumah adalah tempat terbaik untuk anak meluangkan masa. Jika rumah berupaya menjadi lokasi penarik minat anak, maka akan kuranglah risiko untuk anak terdedah dengan anasir kurang sihat jika mereka selalu keluar rumah. Ibu bapa perlu peka dan tahu gerak geri anak sepanjang masa.

Misalnya ambil tahu dan tanyakan kepada anak bilakah waktu persekolahan mereka, waktu menghadiri tuisyen, waktu beriadah bersama rakan, bersiar-siar dan sebagainya. Peka bukan bermaksud menjaga tepi kain anak tetapi lebih kepada sifat mahu memantau dan prihatin terhadap apa yang anak lakukan setiap masa.

ARTIKEL SEBENAR AKU…

Ibu Bapa Bertanggungjawab Menjaga Anak-anak

            Sesungguhnya dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa ibu bapa patut dipersalahkan dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah ada kebenarannya. Ini adalah kerana institusi kekeluargaan itu secara asasnya berpaksikan kepada bimbingan dan pengawasan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Tidak wajar jika ibu bapa meletakkan tanggungjawab penjagaan anak-anak kepada pihak lain seperti pembantu rumah, jiran tetangga mahupun pihak polis lantaran ibu bapa adalah individu yang paling rapat dengan anak-anak.

            Sebenarnya wujud semacam budaya dalam kalangan sebilangan ibu bapa yang memberikan kebebasan dan kepercayaan yang tidak sewajarnya kepada anak-anak. Kebebasan tanpa batasan yang diberi, dianggap sebagai bukti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat anak-anak. Maka, ke mana anak-anak pergi, dengan siapa mereka bergaul dan aktiviti apa yang dilakukan tidak diambil kisah. Apa sahaja yang dibuat anak-anak mereka, diterima bulat-bulat tanpa ditegur atau dikawal. Inilah kesilapan besar yang dibuat oleh golongan ibu bapa ini. Bila berlaku sesuatu yang buruk terhadap anak-anak di masa hadapan, barulah hendak menyesal. Begitu juga halnya dengan kes-kes anak-anak yang didera, pertelingkahan dalam keluarga, rumahtangga yang porak peranda dan sebagainya menjadi pendorong utama kepada gejala anak-anak remaja lari dari rumah.

            Kisah kehilangan anak-anak seperti Nurin Jazlin Jazimin yang masih menjadi misteri ataupun Norashila Jaafar yang ditemui semula selepas tiga hari melepak di kafe siber sebenarnya perlu dijadikan tauladan sebaiknya buat ibu bapa yang lain. Begitu juga dengan kes menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan dipercayai telah dibunuh secara seksual ditemui mati di dalam beg di sebuah premis perniagaan di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya. Ditambah lagi dengan statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini di seluruh negara adalah sesuatu yang sepatutnya boleh mencelikkan mata hati ibu bapa terhadap tanggungjawab untuk menjaga anak-anak mereka sebaiknya.

            Pengawasan dan penjagaan yang lebih berkesan perlu dipraktikkan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu sedar betapa anak-anak itu adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai. Di bahu mereka terletak tanggungjawab yang berat untuk memastikan perkembangan dan kemandirian anak-anak agar seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Umum tahu bahawa anak-anak itu adalah diibaratkan seperti helaian kain putih yang perlu dicorakkan sebaiknya mengikut acuan yang dikehendaki oleh ibu bapanya. Ini bermaksud ibu bapa harus faham kaedah ‘menang-menang’ dalam mendidik dan mengawasi anak-anak. Menang di pihak mereka apabila anak-anak mendengar kata, berdisiplin dan terkawal. Menang di pihak anak-anak pula adalah mereka tidak berasa terlalu terkongkong, mempunyai ruang untuk bersuara dan mempertahankan pendapat dan membuat aktiviti yang disukai di dalam lingkungan batas-batas yang sepatutnya.         

            Antara langkah-langkah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa untuk menjaga dan membimbing anak mereka adalah ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab, tatasusila serta kebudayaan. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin di kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti mereka. Dampingi mereka pada waktu gembira misalnya dengan menghadiahkan sesuatu jika mereka berjaya di dalam pelajaran, atau jadilah sumber nasihat dan pemotivasi terbaik jika anak-anak menghadapi kegagalan atau mempunyai masalah.

            Seterusnya, budayakan dan terapkan di dalam minda anak-anak dengan konsep ‘rumahku adalah syurgaku’. Konsep begini memberi isyarat bahawa rumah adalah tempat terbaik untuk anak-anak meluangkan masa. Untuk itu, rumah perlulah diselia oleh ibu bapa sebaiknya daripada segi kebersihan, keselesaan, kemudahan dan sebagainya. Jika rumah berupaya menjadi lokasi penarik minat anak-anak, maka akan kuranglah risiko untuk anak-anak terdedah dengan anasir kurang sihat jika mereka selalu keluar rumah.

            Ibu bapa perlu peka dan tahu gerak geri anak-anak sepanjang masa. Misalnya ambil tahu dan tanyakan kepada anak-anak bilakah waktu persekolahan mereka, waktu menghadiri tuisyen, waktu beriadah bersama rakan-rakan, bersiar-siar dan sebagainya. Peka bukan bermaksud ‘kepoh’ nak menjaga tepi kain anak-anak, tetapi lebih kepada sifat mahu memantau dan prihatin terhadap apa yang anak-anak lakukan setiap masa. Ramai ibu bapa yang membelikan anak-anak mereka telefon bimbit untuk tujuan pemantauan ini, dan ia diakui sebagai salah satu kaedah kawalan yang praktikal.

            Ibu bapa sepatutnya

cuba

memperuntukkan jumlah masa yang sebaiknya untuk membuat aktiviti bersama anak-anak. Zaman sekarang rata-rata ibu bapa mempunyai karier masing-masing dan mereka selalu mempunyai kekangan masa untuk berada di rumah sepanjang masa. Namun ia bukan halangan untuk masih rapat dengan anak-anak kerana mereka boleh luangkan masa untuk bergaul mesra dengan anak-anak selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu. Misalnya solat dengan anak-anak secara berjemaah, makan malam bersama-sama, menyemak kerja sekolah mereka, berkelah sekeluarga di hujung minggu, berbual-bual dan sebagainya.    

            Kemudian, ibu bapa mesti menghadkan batas kebebasan anak-anak. Kebebasan perlu ditafsirkan kepada anak-anak mengikut justifikasi yang diterimapakai oleh ibu bapa, masyarakat dan budaya secara umumnya. Contohnya, jika anak-anak kecil mahu membeli sesuatu di kedai, mereka perlu dididik untuk pergi bersama-sama ibu bapa atau adik beradik yang sudah cukup matang. Jika anak-anak remaja mahu bersiar-siar atau keluar bersama rakan-rakan, mereka perlu diajar supaya menghormati batas pergaulan dengan rakan berlainan jantina, adab dan tatasusila berpakaian dan bertingkah laku, serta memastikan waktu untuk anak-anak keluar tidak melampaui had dan batasnya. 

            Seterusnya, ibu bapa bertanggungjawab untuk tahu dan kenal siapa rakan-rakan anak-anak mereka. Pastikan rakan-rakan yang bercampur gaul dengan anak-anak mempunyai karektor peribadi yang diyakini, baik dan tidak berkecimpung dengan gejala-gejala negatif dan boleh mempengaruhi sikap dan kemandirian anak-anak. Didik juga anak-anak untuk tidak begitu percaya kepada orang yang tidak dikenali supaya mereka tidak mudah untuk terpedaya dengan pujuk rayu orang asing tersebut yang mahu melakukan sesuatu yang buruk terhadap mereka.

             Panduan-panduan ini disarankan buat ibu bapa agar tidaklah nanti ‘bila terantuk baru nak terngadah’ dan berperanan sebagai cadangan pencegahan kepada berlakunya pengulangan kes-kes anak-anak yang hilang atau lari dari rumah.

Khairunneezam Mohd Noor,

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Berkongsi fadilat puasa bersama keluarga

Wednesday, September 19th, 2007

hari ini 20 September, artikel aku tersiar di Utusan Malaysia. Kali ini rencana aku berkisar kepada kepentingan menerapkan pemahaman terhadap kelebihan berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan.Check it out!!

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Berkongsi fadilat puasa bersama keluarga

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

BULAN Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk umat Islam melaksanakan amal ibadah kerana telah dijanjikan oleh Allah Taala akan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Seyogia, ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu tunjang utama dalam Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah golongan anak-anak kecil. Alim ulama menyebutkan bahawa walaupun kanak-kanak masih belum mukalaf iaitu diwajibkan melaksanakan syariat, namun ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan.

Pernyataan ini jelas memberi isyarat bahawa ibadah puasa perlu dididik dan dilatih di kalangan anak-anak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan bahawa anak-anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini. Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak. Mereka tidak akan berasa canggung dan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu yang lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan juga ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.

Minda dan pemikiran anak-anak perlu jua dididik supaya tidak mentafsir bahawa bulan Ramadan ini adalah waktu yang sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan sahaja membazirkan wang malah turut membahayakan nyawa mereka.

Anak-anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti yang tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah Taala.

Untuk melatih anak-anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat-peringkat dan berdikit-dikit. Ikuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan.

Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan di kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalannya menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau sejumlah ‘duit raya’ jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak apa perlunya berpuasa daripada konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya.

Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka. Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat fardu dan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak-anak juga boleh diasuh untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.

Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak- anak sepanjang bulan Ramadan ini, adalah diyakini bahawa mereka akan menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredai-Nya, bahkan menjadi insan yang sempurna akhlak dan tatasusilanya.

Didikan agama yang mantap sejak usia kecil sebegini pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak-anak ini apabila usia mereka menjangkau dewasa.

* PENULIS ialah kakitangan akademik di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia