Archive for December, 2007

Jangan Menciplak–Dosa!!

Sunday, December 30th, 2007

Terpanggil untuk memberi peringatan kepada diri sendiri dan students aku yang sedang berkira2 untuk membuat tesis atau sedang membuat tesis, maka aku hantar artikel tentang bahaya plagiarisme ke suratkhabar utusan malaysia- http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

ini adalah sedutan artikel yang keluar pada hari terakhir dalam tahun 2007:

Plagiarisme hina keilmuan

Oleh Khairunneezam Mohd. Noor

GEJALA plagiarisme adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam dunia penulisan akademik, plagiarisme atau menciplak adalah unsur pemusnah kemurnian dan martabat ilmu pengetahuan.

Plagiarisme berlaku apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan-perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Kemudiannya, hasil yang diciplak itu dipersembahkan sebagai hasil ilmiah dirinya tanpa memberi pengiktirafan atau penghargaan yang sepatutnya kepada pemilik asal hasil ilmiah tersebut.

Terdapat tiga bentuk plagiarisme yang biasa diamalkan. Pertama, peniruan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan-perenggan, atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut.

Kedua, pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ketiga, menggunakan idea-idea yang secara langsung diambil daripada orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepadanya.

Dengan teknologi ‘dunia di hujung jari’ melalui Internet pada masa kini, diakui seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat.

Namun, mengambil bulat-bulat atau sebahagian daripada karya milik orang lain dan memperakukan bahawa ia adalah hasil karya sendiri adalah satu perbuatan yang membuktikan kemalasan seseorang yang melampau dan sungguh keji. Di mana letaknya kualiti penulisan akademik dan etika seseorang pelajar itu andai dia meniru dan menciplak karya hak milik orang lain sewenang-wenangnya?

Untuk itu, pensyarah dan universiti diminta untuk tidak berkompromi dengan pelajar yang melakukan kesalahan sebegini. Walaupun statistik berlakunya kes-kes plagiat ini masih lagi bersifat terpinggir, namun jika ia dibiarkan terus berleluasa, dirasakan bahawa ia akan memberi impak yang cukup negatif terhadap usaha pembentukan siswazah yang berkualiti dan pengayaan karya-karya akademik yang boleh dikongsi bersama oleh semua pihak.

Terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab mencegah usaha plagiarisme dalam penulisan akademik iaitu universiti dan fakulti, pensyarah dan para pelajar.

Pihak universiti mesti mewujudkan atau jika sudah ada, kuat kuasakan sebaik-baiknya undang-undang berkenaan plagiarisme dan maklumkan tentang kesalahan dan kesan negatifnya kepada semua pensyarah dan pelajar. Pastikan bahawa dalam buku panduan akademik di setiap fakulti mengandungi maklumat dan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat sebagai cara mencegah dan menangani sebarang plagiarisme.

Hanya dengan cara memberi pengiktirafan terhadap pemilik karya asal, barulah cedukan idea dan frasa-frasa tertentu dari karya asal tersebut ‘dihalalkan’ dalam konteks penulisan akademik.

Pihak pengurusan fakulti boleh mengaplikasikan perisian komputer atas talian yang dapat mengesan sebarang aktiviti plagiarisme dalam penulisan tesis atau tugasan pelajar. Perisian-perisian seperti ini diaplikasikan oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia yang digunakan secara meluas dalam menangani isu plagiarisme dalam penulisan akademik oleh pelajar. Misalnya, perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme tesis dan penulisan akademik secara atas talian.

Para pensyarah berperanan untuk membimbing akan konsep plagiarisme kepada para pelajar bukan sekadar dalam penulisan tesis, bahkan dalam tugasan, laporan mingguan, pembentangan, dan sebagainya.

Seelok-eloknya setiap pelajar perlu dilatih tentang bagaimana kaedah penulisan akademik yang baik dengan menggabungkan idea-idea sendiri dan idea-idea daripada pelbagai sarjana dalam bahan rujukan yang lain. Para pelajar perlu diterangkan tentang peripentingnya kaedah penulisan rujukan yang tepat sebagai usaha menghargai para penulis bahan-bahan yang dimuatkan di dalam tugasan akademik para pelajar tersebut.

Pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih degil membuat tugasan akademik secara plagiat sama ada meminta pelajar mengubah suai tugasan tersebut atau melaporkannya kepada pihak universiti.

Para pelajar pula bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis yang tidak mengandungi unsur plagiarisme. Setiap universiti mempunyai buku panduan penulisan akademik dan mereka perlu menuruti semua sistem dan disiplin penulisan yang telah ditetapkan.

Mereka perlu sedar bahawa penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri. Jadikanlah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran dan keintelektualan. Apalah ertinya kepuasan dalam usaha penulisan akademik andai seseorang pelajar itu mendapat ‘A’ dalam tesisnya, tetapi ia bukan secara mutlaknya hasil karya pelajar tersebut dan diplagiat daripada sumber-sumber lain.

Sekiranya kesemua pihak yang disebutkan di atas secara serius mengambil langkah sewajarnya dalam membendung gejala plagiarisme, adalah diyakini bahawa kemurnian dunia penulisan akademik akan dapat disuburkan. Bahkan, jika ditelusuri dari aspek moral dan keagamaan pun, plagiat adalah satu kesalahan yang serius dan boleh mengundang dosa.

Untuk itu, janganlah kita sewenang-wenangnya memplagiat hak milik orang lain. Andai suatu hari nanti kita terjumpa hasil penulisan akademik kita diplagiat oleh orang lain dan ia dijadikan satu bahan yang dikomersialkan serta mendapat untung, apa agaknya perasaan kita pada masa itu?

Pengorbanan di Perantauan

Monday, December 17th, 2007

Dipetik daripada artikel Khairunneezam Mohd Noor dalam akhbar Utusan Malaysia 18 Disember 2007.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

"SESUNGGUHNYA semua umat Islam ternanti-nanti akan tibanya Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut pada tanggal 20 Disember ini di seluruh negara.

Hari Raya Korban memberikan makna yang sungguh mendalam terutamanya bagi rombongan jemaah haji ke Mekah yang menjadi ‘tetamu Allah’ menyempurnakan Rukun Islam yang kelima.

Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Para perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat Hari Raya di masjid atau surau.

Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti. Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka, sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat tentang pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.

Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga yang tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah s.w.t. membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak-anak bangsa, dan meningkatkan martabat negara dan bangsa di mata dunia.

Hari Raya Korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat.

Sambutan Hari Raya Korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakal kepada Allah s.w.t.

Akhirnya, tidak dapat dinafikan bahawa menyambut Hari Raya Korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran tentang maksud sebenar pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan juga agama.

Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah s.w.t. dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara."

IN A NUTSHELL, TO SACRIFICE SOMETHING PRECIOUS IN A WAY TO GET OTHER THINGS THAT ARE MORE PRECIOUS IS REALLY REALLY TOUGH. BILALAH NAK HABIS BELAJO NIH? UHUK UHUK…

akhirnya, bibik masuk universiti!

Wednesday, December 12th, 2007

semalam, masa aku bwat evening walk dengan julie dan reena, hati aku tergerak nak telepon emak. tapi entah nape, jari2 aku tak terpicit jugak nombor2 emak kat henset. tak tahu kenapa.

sampai rumah tiba2 ada org call, julie angkat dan rupa2nya ada berita gembira kami dapat dari malaysia–aireen dapat tawaran UITM! alhamdulillah, tak terperi rasa syukur aku pada Allah. Akhirnya si budak bengong tu dapat jugak tawaran ke menara gading.

Aku tau Aireen happy sangat.dulu lepas stpm, dia berkali2 buat permohonan study di situ dan di sini tapi jawapannya tetap reject. Ada sekali tu masa aku online dgn dia dari melbourne ni, aku dengar2 dia tgh bukak website kementerian pengajian tinggi tu dan nak tengok result permohonan. siap dengan bismillah, berkobar2 dia access website tu. tapi bila resultnya kata reject, aku tau masa tu dia hampa gile. terus takde mood. Masa tu jugak aku turut rasa hampa, tapi apa boleh buat, semuanya tu terletak pada tahap usaha dia selama ni dan keizinan Allah.

Kawan2 lain banyak dah masuk universitilah, masuk politekniklah, masuk IPTSlah. Yang si Aireen ni duduklah melahu jadik bibik, jadik penanam anggur kat rumah. Kesian, memang kesian. aku rasa ada wujud inferiority complex tahap maksima dah dalam diri dia. Tapi, alhamdulillah, berita gembira tentang tawaran masuk UITM kat Perak ni semalam, memberikan satu titik tolak perubahan yang harap2nya akan terus positif bagi dia. Cukuplah dekat setahun ni puas lepak tengok tivi. cukuplah dengan kepuasan melakukan hobi dia–tidur, tidur, tidur. tamatlah jugak secara rasminya kerja sebagai bibik, sebagai orang gaji kat rumah.

AKu tahu emak dengan ayah adalah antara orang yang paling panjang helaan nafas kelegaan. akhirnya anak ketiganya ni menurut jejak langkah abang2nya masuk universiti. begitu jugaklah nampak cerah harapan budak dua orang bawah aireen tu untuk ikut jejak langkah abang akak diorg. Setakat ni pun aku rasa si nazrin dengan ira adalah antara yang lebih pandai dalam kami lima beradik (yang lain pandai memandai-mandai!).

Aireen, awak kena ubah mentaliti, inilah peluang yang Allah Taala bagi yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. Ubah sikap, jangan bermalas2an lagi. cuba tengok balik lipatan sejarah ke belakang, kalau bermalas2an apa akibatnya. Tanamkan azam untuk belajar sungguh2, jangan main2 masa belajar kat universiti macam si Chewky. Bukan bererti dah dapat masuk universiti ni awak dah dapat segalanya, no! dah settle universiti nanti, nak berdepan dengan jutaan persaingan untuk dapat kerja…so, belajar rajin2 untuk dapat result yang bagus (nasihat macam mak nenek, tapi kalau tak aku sebagai abang nak nasihat, sape lagi nak bagi ye tak?)

Terima kasih ya-Rabb. syukur sebanyak2nya ku panjatkan kepada-Mu…