Archive for January, 2008

Mewujudkan Kepuasan Bekeroje

Thursday, January 31st, 2008

Puaskah kita bekerja selama ini? Atau kadang2 kita rasa puas dan kadang2 kita rasa tak puas? Atau kita selalunya tak puas hati bila bekerja?

Ada banyak orang memperihalkan tentang kepuasan bekerja. Ada banyak asbabnya juga yang membuatkan seseorang puas bekerja ataupun tidak. antara asbabnya kawan2, boss, suasana kerja, faedah sampingan yang diberi–cuti, bonus, family day etc, dan yang paling fofular di kalangan warga bekerja di Malaysia yang memilih GAJI sebagai faktor paling utama…apa pun tepok dade, tanye selerelah..takde yang sama semua org di dunia ni.

Sementelah PhD topic aku pun pasal kepuasan bekerja, maka aku perturunkan sedikit idea pasal kepuasan bekerja ni di dalam artikel aku yang keluar di suratkabo Utusan Malaysia, 1 Februari 2008.

So, tuan2 dan puan2 boleh baca sendirilah apekemendenye yang aku tuleh ni eh?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Mewujudkan kepuasan bekerja

DALAM dunia pekerjaan sejak dahulu hingga kini, sesetengah daripada kita asyik merungut tentang pelbagai perkara. Gaji tidak cukup, kerja terlalu banyak, rakan sekerja tidak ‘sebulu’, ketua hanya pandai mengarah ataupun suasana kerja yang tidak kondusif.

Ini adalah antara elemen di tempat kerja yang menyebabkan sesetengah orang berasa cukup menyampah hendak berada di tempat kerja. Itu sebabnya ada di antara kita yang cuba mencari ‘ketenangan’ dengan kerap keluar minum semasa bekerja, melayari Internet berjam-jam lamanya, leka berborak dengan rakan sekerja atau ke tahap ponteng kerja sehingga sanggup menunjukkan majikan surat cuti sakit palsu.

Semua ini adalah petunjuk bahawa produktiviti kerja seseorang itu telah menurun kerana kepuasan kerjanya tidak dipenuhi.

Ini memberi kesan negatif terhadap perkembangan kariernya dan juga kemajuan organisasi. Pekerja yang menunjukkan masalah sebegini mungkin akan dikenakan tindakan disiplin atau ke tahap yang lebih teruk dibuang kerja.

Dalam dunia pengurusan sumber manusia, hal ini sangat berkait rapat dengan kepuasan kerja. Istilah kepuasan kerja boleh difahami dengan maksud ‘keadaan emosi yang menyenangkan hasil daripada penilaian seseorang terhadap kehendaknya yang selaras dengan apa yang ada dalam pekerjaannya’.

Ini bermakna unsur-unsur yang dikehendaki oleh seseorang itu mestilah wujud di tempat kerjanya jika dia mahu berasa puas semasa bekerja. Zahirnya, puas atau tidak seseorang itu sangat bergantung kepada apa orientasi diri atau matlamatnya dalam bekerja. Kalau orientasi diri seseorang terfokus kepada gaji, maka dia mengharapkan gaji yang besar atau setidak-tidaknya kena dengan kehendaknya.

Namun, tidak semua orang mempunyai orientasi diri yang sama, bahkan apa yang mempengaruhi kepuasan kerja seseorang juga berubah dari semasa ke semasa.

Ada orang sentiasa tidak berpuas hati dengan gaji yang diperolehnya kerana kos kehidupan yang semakin membelit leher saban hari, terutamanya bagi warga kota raya.

Namun, masih juga ia bersifat subjektif, iaitu jika seseorang bijak berjimat dan menguruskan hal ehwal perbelanjaannya dengan berhemah, masih juga cukup duit untuk menabung di dalam bank bahkan menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci Mekah berkali-kali.

Ada pula tanggapan sesetengah orang bahawa jenis pekerjaan mempengaruhi kepuasan kerja. Orang sebegini terlalu memilih akan jenis pekerjaan yang nampak elit, pejabat berhawa dingin dan tidak perlu bersusah-payah mengeluarkan tenaga. Bekerja di tempat yang ada unsur 4D – susah (difficult), bahaya (dangerous), kotor (dirty) dan sampah (dust) – dianggap tidak menarik dan menyumbang kepada ketidakpuasan kerja.

Namun, bila bulat-bulat menerima ideologi bahawa kerja yang tiada unsur 4D akan memberikan kepuasan kerja, ini adalah suatu kesilapan besar. Lihat sahajalah para pesawah yang bergelumang dengan lumpur dan pacat di bendang, masih juga mampu berasa syukur dan gembira sewaktu bekerja.

Kepuasan kerja boleh dicipta, dan ia tidak seharusnya berorientasikan faktor-faktor tertentu sahaja. Mungkin kerana terlalu memikirkan rasa tidak seronok terhadap satu-satu elemen, maka kita mengabaikan elemen lain yang besar pengaruhnya dalam membuat kita gembira di tempat kerja.

Kita perlu mewujudkan perasaan seronok untuk ke tempat kerja kerana satu pertiga daripada masa dalam kehidupan kita banyak dihabiskan di situ. Itu sebabnya bila tidak seronok bekerja, maka diri kita mencari jalan penyelesaian yang tidak tepat dan menjejaskan produktiviti.

Banyak usaha yang boleh dipraktikkan untuk mewujudkan kepuasan kerja. Jika suasana tempat kerja tidak selesa seperti keadaan meja yang berselerak dan merimaskan, berusahalah menjadikan menarik dan teratur. Jika selama ini komunikasi dengan rakan sekerja atau pihak pengurus menjadi faktor ketidakpuasan kerja, maka ubahlah cara berkomunikasi seperti memohon maaf, bersifat terbuka dan tidak terlalu sensitif.

Banyak kesan positif yang boleh diperoleh jika kita bijak mewujudkan apa yang dikatakan kepuasan dalam bekerja. Kepuasan kerja mampu mewujudkan sifat integriti kerana setiap tugasan yang perlu dibuat dianggap sebagai amanah dan kepercayaan oleh organisasi.

Dengan itu, produktiviti kerja akan dapat dikekalkan pada tahap yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan organisasi khususnya dan pembangunan negara amnya.

Corey Delaney–Remaja ‘Contoh’ di Melbourne

Thursday, January 24th, 2008

Sapa2 dok di Melbourne mesti tau pasal si Corey Delaney yang baruuuuuuuuuuuuuu berada di Tingkatan Empat (kalau dia sekolah kat Melesia lah) yang cukup berani dan berjaya organised a so called wild party 2 minggu lepas. Gila ah! memang gila mamat ni sebab mentang2 mak dia sama ayah tiri dia keluar bercuti pergi ‘honeymoon orang tua’, dia pun naik minyak guna harta benda mak bapak dia untuk bersuka ria! respect, memang respect..itu sudah pasti perkataan yang terpacul dari mulut orang yang suka apa yang dia buat. Sebaliknya Gila! Biadab! Bengong! adalah perkataan yang akan jugak terpacul dari mulut orang yang baik2, yang waras, yang tau adab dan tatasusila. Mana taknya, 500 horang gilos datang ke parti tu dan buat chaos kat rumah2 jiran sekeliling! apa perasaan anda kalau ada orang ketuk pintu, bila anda bukak dia cakap HAI dalam keadaan dia tengah telanjang bulat???????? best? mengaibkan? mengujakan? sanggup nak tengok? terpulang…padahnya, pihak polis Victoria ni nak denda 20k atas kesalahannya. Tapi, ramai pulak orang2 industri hiburan di sini yang simpati, dan cuba ambil kesempatan di atas ‘populariti’ Corey. Diorang sanggup bayar Corey ni berpuluh2 ribu demi memastikan Corey akan menyertai program diorang tak kesahlah di radio ka, di majalah ka, atau di dalam parti2 liar lain! cuci tangan jelah mamat ni bayar 20k kat polis..hehe, dunia, dunia..terbalik kong dah..yang jahat dianggap baik, yang baik dianggap jahat..kenapa? inilah tanda2 manusia akhir zaman yang dah semakin hanyut…

Semoga Allah Taala selamatkan pemikiran, tindakan dan diri kita daripada gejala2 negatif macam ni…

so, aku ada hantar satu artikel ke Berita Harian dan published dah harini (25 January 08), berkaitan kes Corey Delaney yang jadi fenomena hangat di Australia hari ini.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20080124222304/Article/index_html

Remaja mesti diasuh elak rosak jiwa

“Menakutkan!”. “Dahsyatnya!”. Mungkin itulah antara perkataan yang terpacul dari bibir sesiapa sahaja yang membaca berita mengenai seorang remaja Australia, Corey Delaney, baru berumur 16 tahun yang begitu berani mengadakan parti liar semasa ketiadaan ibu bapanya di rumah yang keluar bercuti baru-baru ini. Sesungguhnya, apa yang terjadi di kawasan kejiranan Narre Warren South, Melbourne ini menjadi satu fenomena yang diterima dengan nada yang berbeza-beza oleh pelbagai pihak bukan sahaja di Australia bahkan di seluruh dunia.

            Bagi mereka yang matang dan waras pemikirannya pasti sudah menggeleng-gelengkan kepala memberi maksud tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan Corey. Berbeza bagi golongan remaja seusia Corey, menganjurkan parti liar sebegini adalah cukup mengujakan apatah lagi dengan kehadiran sehingga 500 tetamu ‘sekepala’ walaupun hampir kesemuanya tidak dikenali. Keseronokan ini ditambah lagi dengan adanya unsur minuman keras dan perhubungan bebas tanpa kawalan, membuatkan ada di antara mereka yang berkelakuan tidak senonoh dengan memekik-mekik, mengganggu ketenteraman jiran-jiran atau lebih melampau lagi sehingga ke tahap bertelanjang bulat berlari di sekeliling kawasan kejiranan dan mencabar kesabaran pihak polis dengan memecahkan tingkap sebuah kereta peronda yang cuba mengamankan suasana! Akibatnya, polis terpaksa mengerahkan sehingga 30 pegawainya, satu skuad helikopter dan skuad anjing untuk meleraikan kekecohan yang disebabkan oleh parti liar ini.             

            Ternyata bahawa apa yang dilakukan Corey adalah salah di sisi undang-undang dan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat sekelilingnya. Namun dia tetap menunjukkan tahap kesamsengan dan kedegilan yang tinggi kerana bila ditemuramah secara langsung oleh stesen televisyen, dia dengan bangganya menyatakan itulah trend kehidupan remaja zaman sekarang dan dia menggalakkan para remaja lain untuk tidak berasa takut membuat seperti mana yang dilakukannya. Kebiadabannya turut terserlah apabila dia diminta oleh pengacara televisyen untuk memohon maaf kepada ibu bapanya, jiran-jirannya dan seluruh rakyat Australia, tetapi dia menolak dan menegaskan untuk mengadakan lagi parti liar sebegini pada masa hadapan!

            Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa ada sesetengah daripada golongan remaja zaman sekarang yang ‘berdarah muda’, terlalu bebas untuk melakukan apa sahaja dengan berkiblatkan nafsu dan kehendak masing-masing tanpa memikirkan akan kesan-kesan negatifnya. Pada mereka, umur mereka bukan lagi setahun jagung, malah sudah menjangkau dewasa dan mereka berhak untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun di negara kita, kes-kes parti liar sebegini tidaklah ketara dilaporkan, namun masih juga ada kebimbangan terhadap wujudnya gejala-gejala negatif di kalangan remaja umpamanya penyalahgunaan dadah, berlumba haram, seks bebas tanpa ikatan sah dan peniruan budaya kuning dari barat seperti Punk dan Black Metal. Itu belum lagi dikira akan laporan kes-kes jenayah yang membabitkan remaja bawah umur seperti samun, buli, rogol dan bunuh. Ia sepatutnya dapat membuka mata dan pintu hati semua pihak untuk sama-sama berganding bahu secara kolektif menangani kemaslahatan golongan remaja masa kini. Justeru, terdapat dua kategori tindakan yang perlu dipikul di bahu semua pihak yang terlibat iaitu melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan perawatan.

            Dalam langkah pencegahan, ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak-anak bertanggungjawab membimbing mereka sejak kecil lagi untuk menjadi insan yang kamil, soleh dan berakhlak mulia dengan memberikan ilmu agama, moral dan ketatasusilaan yang mantap. Anak-anak remaja juga perlu difahamkan bahawa setiap tindak-tanduk mereka ada had batasannya terutama daripada perspektif agama, perundangan, budaya dan masyarakat. Begitupun, bimbingan ibu bapa sahaja tidak cukup, kerana mereka bukanlah 24 jam sehari dapat berada di samping anak-anak. Pihak sekolah atau guru-guru turut memainkan watak utama dalam mendidik anak-anak murid mereka terutamanya mereka yang sedang meniti usia remaja. Para pelajar ini perlu dibimbing menjadi insan terpelajar, berdisiplin dan kaya dengan ilmu pengetahuan yang mampu mencerna daya pemikiran yang sihat dan matang.

            Masyarakat sekeliling berperanan sebagai agen pelengkap dalam mencegah berlakunya permasalahan sosial dalam kalangan remaja. Mereka tidak seharusnya mengamalkan konsep ‘lantaklah, dia bukannya anak aku’, akan tetapi lebih kepada unsur kebertanggungjawaban tanpa memilih bulu. Misalnya dengan membabitkan golongan remaja dalam program-program sosial, keagamaan, sukan, rekreasi dan sebagainya. Golongan remaja sendiri turut memainkan peranan penting dengan cara meletakkan agama sebagai suluh hidup, berfikir lebih rasional dan matang, bijak memilih rakan-rakan yang sesuai, dan hormat kepada hak-hak orang lain.

           Intervensi atau langkah perawatan sewajarnya pula perlu bagi golongan remaja yang telah ‘parah’ jiwa dan pemikirannya seperti dalam kes Corey. Tindakan melalui saluran perundangan misalnya, adalah salah satu kaedah konservatif dalam langkah perawatan di mana mereka perlu dihukum atas satu-satu tindak-tanduk yang melampui batas undang-undang. Selain itu, mungkin program kaunseling dan keagamaan yang komprehensif boleh diberikan kepada mereka untuk menyuburkan kembali nilai-nilai murni yang sebenarnya ada dalam diri mereka. Amalan masyarakat sekeliling yang suka menjauhkan diri daripada mereka yang pernah berbuat salah juga perlu dihapuskan, terutamanya golongan remaja yang masih terkial-kial mencari identiti diri mereka yang sebenarnya. Dalam hal ini, masyarakat perlu membuang jauh-jauh akan konsep ‘nasi sudah menjadi bubur’. Mereka yang tersasar sebegini, perlu didekati dan diserlahkan akan contoh kehidupan sebenar yang boleh diterima oleh masyarakat, undang-undang dan agama sendiri.

            Sememangnya, kalaulah tidak ada mekanisme pencegahan dan perawatan yang berkesan untuk membimbing golongan remaja masa kini, maka tidak perlulah kita bermimpi untuk dapat terus mengekalkan trend kemajuan dan tradisi kemakmuran negara ini pada masa hadapan. Sememangnya benar kata sesetengah orang ‘remaja hari ini melambangkan pemimpin masa hadapan’. Jika molek budi pekerti dan matang pemikiran mereka pada hari ini, maka akan berjayalah negara kelak. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku, maka tunggu sahajalah akan kehancuran pembangunan negara, bahkan kepupusan warisan tamadun dan budaya bangsa Malaysia yang suci dan murni.

Undergoing MyBlogLog Verification

Buanglah analogi BIAR PAPE ASE BEGAYE!!

Tuesday, January 15th, 2008

Semalam masa rehat kat office, aku dok teringat-ingat lagi dengan kes Bank Draft kena tendang yang berlaku dua tiga hari sebelum tu. Rasa macam kelakar, kadang macam pelik. Selama ni tak pernah pulak jadi macam ni bila aku deposit Bank Draft elaun saraan yang aku dapat dari USIM. Smooth aje, lepas 3 hari semua dah clear. Kali ni aje sangkut. Bila tanya bank, bank angkat tangan, cakap dia tak salah. Tanya USIM, diorang pun angkat tangan kata dah check habeh2 dan diakui BIMB yang bnk draft tu semuanya ok, fully complied with the standard universally. Bukan nak tuding jari salahkan sapa2, tapi setiap sesuatu tu musti ada punca dan penyebabnya ye tak? hehe..ala, bukanlah kemaruk sangat nak duit sara diri tu cepat2, simpanan aku laki bini masih banyak lagi. Cumanya aku dok terfikir, takkanlah akaun sebuah IPTA boleh bermasalah besar sampai bank tendang diorg punya bank draft? hehe..tak apalah, lambat sikit dapat bulan ni pun takdak hal sebab stok makanan, stok pampers dan susu reena semuanya cukup lagi untuk survive 2-3 minggu. Lagipun sewa rumah aku dah settlekan sampai bulan Februari. Ditambah lagi aku yang ‘lokek’ nak beli kereta, membuatkan aku lagi selesa tak payah pikir hal2 duit minyak dan maintenancenya.

Bersangkut-paut dengan keperluan seeorang ada duit simpanan yang cukup untuk waktu-waktu terdesak dan kadang2 ‘menjerut’ macam ni, aku tulis satu artikel ke Utusan Malaysia. Artikel ni aku tujukan kepada ibu bapa dalam menangani kemaslahatan duit belanja poket anak-anak sehar-harian terutamanya untuk ke sekolah! Kalaulah dari darjah Satu dah simpan duit sehari RM1, bila tiba hujung Tingkatan 5, dah ada RM4015.00! Kan ke banyak tu, dah dekat2 sama dengan duit hantaran kawin bagi sesetengah orang..hehe. Tapi bukanla tujuan simpanan sejak kecil ni untuk kawen semate2…taaaaakk…banyak lagi mende lain yang berfaedah, boleh dan perlu digunakan.

So, inilah artikel aku yang keluar di Utusan Malaysia (16 Januari 08):

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Ajar anak berjimat

“Ayah, duit sekolah ayah berikan tak cukuplah.” “Ibu, tambang bas sudah naik, boleh tambah sedikit lagi duit saku saya?” Sebagai ibu bapa, pasti kita selalu mendengar anak-anak merungut dengan nada seperti ini, yang menyatakan bahawa wang perbelanjaan di sekolah yang diberikan sehari-hari tidak mencukupi.

Rungutan ini lebih selalu kedengaran dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jika RM2 sehari diberikan kepada setiap anak-anak ini, ia mungkin sekadar habis untuk membeli makanan di kantin sekolah pada waktu rehat. Itu tidak termasuk bayaran untuk tambang bas awam bagi kanak-kanak yang tidak menaiki bas sekolah.

Pada zaman serba canggih dengan teknologi maklumat ini, ramai kanak-kanak yang memerlukan duit tambahan membayar perkhidmatan melayari Internet di kafe siber.

Diakui bahawa pada zaman sekarang tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas, semua harga barangan atau perkhidmatan telah berlipat kali ganda lebih tinggi. Kalau dahulu, kantin sekolah menjual sepinggan nasi lemak pada harga sekadar 20 sen hingga 50 sen dan kadang-kadang dengan harga tersebut turut disertakan dengan sekeping telur goreng atau kuih.

Hari ini, jangankan telur, timun dan ikan bilis pun tidak disajikan bersama dalam sepinggan nasi lemak kosong berharga RM 1.50 di sesetengah kantin sekolah! Kalau dahulu, tambang bas untuk kanak-kanak mungkin sekadar 10 sen hingga 50 sen, di mana mereka diberi diskaun khas kerana masih bersekolah. Sekarang ada syarikat bas yang tidak membezakan harga penumpang sama ada orang awam atau kanak-kanak sekolah, semuanya sama rata.

Begitu juga harga sebuah buku latihan yang dijual di sekolah yang harganya lebih daripada RM1 berbanding 25 sen hingga 40 sen dijual pada sedekad yang lalu. Ada sekolah yang menjual pada harga yang agak tinggi, hanya kerana buku latihan tersebut mempunyai cap sekolah atau cap Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

Ini adalah contoh yang sejajar dengan perkembangan taraf sosioekonomi masyarakat Malaysia yang semakin meningkat dan ‘kuasa beli’ yang semakin besar dimiliki oleh segenap anggota masyarakat. Hal ini tidak dapat disekat, bahkan tidak boleh dinafikan akan hak pihak-pihak terbabit untuk menetapkan harga perkhidmatan atau produk yang disediakan.

Mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah, kos sewa, kos perkhidmatan, dan cukai yang juga semakin meningkat saban hari. Cumanya, apa yang perlu kita fikirkan adalah untuk membantu anak-anak dalam masalah ‘duit belanja sekolah’ yang semakin menjerat dan tidak mencukupi sebegini?

Anak-anak tidak seharusnya dibebankan dengan masalah sebegini kerana mereka perlu fokus kepada usaha mentelaah pelajaran di sekolah dan seterusnya mendapatkan keputusan peperiksaan yang bagus.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan tinggi, tuntutan anak-anak terhadap tambahan wang saku sehari-harian bukanlah masalah besar, bahkan elaun saku untuk tempoh setahun pun mereka boleh berikan dalam satu-satu masa tanpa berfikir panjang.

Namun, bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah, ditambah lagi golongan yang memiliki anak yang ramai dan bersekolah, tuntutan wang saku tambahan oleh anak-anak ini benar-benar meletakkan mereka dalam dilema.

Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendepani permasalahan sebegini. Ibu bapa perlu mewujudkan situasi ‘menang-menang’, di mana mereka masih dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan bulanan mereka dan memenuhi keperluan anak-anak.

Antaranya adalah mengajar anak-anak untuk faham dan mengamalkan budaya berjimat cermat dan tidak bermewah-mewah. Anak-anak perlu dididik supaya tidak terikut-ikut gaya berbelanja besar oleh rakan-rakan yang berada dan seakan-akan mampu memiliki ‘seisi dunia’.

Ada sesetengah ibu bapa yang mengamalkan kaedah di mana anak-anak turut diberitahu tentang jumlah pendapatan ibu bapa dan perbelanjaan bulanan seisi rumah yang perlu dilangsaikan. Misalnya memberitahu anak-anak agihan wang untuk makanan, bayaran bil-bil air, elektrik dan telefon, bayaran sewa rumah dan kereta, sehinggalah kepada agihan untuk tabungan kecemasan keluarga.

Dengan cara ini, baru anak-anak faham hakikat bahawa ibu bapa tidaklah sebenarnya lokek untuk memberikan mereka duit saku tambahan, tetapi ada keperluan kewangan yang lebih penting pada aspek-aspek yang lain.

Perbelanjaan

Anak-anak perlu dilatih untuk mengetahui ‘aliran tunai’ duit perbelanjaan mereka. Caranya mudah iaitu dengan mengajar mereka untuk mempunyai ‘buku akaun’ sendiri yang mencatatkan berapa banyak duit yang mereka terima dan berapa banyak pula duit yang mereka belanjakan sehari-harian.

Dengan cara ini, anak-anak faham jika duit keluar itu lebih banyak daripada duit masuk, ini menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menyingkirkan apa-apa pembelian barangan yang tidak patut dan merugikan.

Kaedah ini juga melatih anak-anak supaya jangan ‘muflis’ yang bermaksud bahawa mereka perlu ada wang simpanan untuk tujuan kecemasan dan keperluan terdesak pada masa hadapan.

Seterusnya, anak-anak boleh dididik dengan konsep ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.’ Ini adalah sesuai bagi anak-anak yang mungkin mahukan sesuatu seperti membeli basikal, buku rujukan, atau pergi ke kafe siber untuk melayari Internet, di mana mereka perlu menyimpan duit secukupnya hasil lebihan duit saku sehari-harian untuk memiliki apa yang dihajatinya.

Konsep ini juga selaras dengan amalan menabung sama ada menyimpan duit dalam tabung di rumah, atau dalam institusi perbankan atau institusi amanah saham yang ternyata lebih selamat. Lebih-lebih lagi sejak tahun 2004, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah diwujudkan bagi menggalakkan tabungan untuk pembiayaan pengajian anak-anak di menara gading merupakan platform terbaik untuk anak-anak membuat tabungan.

Anak-anak sebaiknya dibiasakan untuk membawa bekal makanan sendiri dari rumah yang lebih terjamin kebersihan dan keseimbangan gizi dan khasiatnya. Dalam hal menggunakan buku-buku latihan, wajar mereka diasuh untuk menggunakan semula buku-buku latihan lama yang masih boleh digunakan agar ia tidak dibuang dengan sia-sia.

Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak akan ajaran agama yang melarang seseorang untuk membazir, kerana membazir itu adalah amalan kesukaan syaitan. Apabila anak-anak dapat diasuh mentaliti dan tindakan mereka untuk berjimat cermat dan menghargai setiap sen yang dimiliki, maka diyakini bahawa mereka dapat membentuk peribadi berhemah dalam berbelanja dan mengusir jauh akan tabiat boros dan ‘biar papa, asal bergaya’.

Mengajar Konsep Hijrah Kepada Kanak-kanak

Thursday, January 10th, 2008

‘hijrah itu pengorbanan, hijrah itu perjuangan, hijrah itu persaudaraan, hijrah membentuk perpaduan…

oleh itu, mari semua, kita sambut Maal Hijrah, tingkatkan semangat, tegakkan Syiar Islam, untuk sepanjang zaman…’

Pernah dan selalu dengarkan lagu ini? Sejak dari kecil lagi, walaupun setahun sekali berkumandang tak kiralah melalui tibi waima radio sekalipun, yang pentingnya kita bukan sekadar perlu meliang lentukkan kepala mengikut akan lunak dan merdunya lagu ini, tetapi kita perlu liang dan lentukkan pemahaman kita akan pengertian lagu ini secara implisitnya. Terkesan daripada penghayatan tentang konsep hijrah dan pengalaman sendiri melaksanakan hijrah (ada yang berjaya, ada yang tidak, ada yang pernah berjaya kemudian menjadi tidak jugak!) maka aku sumbangkan satu artikel ke Utusan yang terfokus kepada penerapan nilai-nilai dan prinsip-prinsip asas dalam Hijrah Rasulullah SAW kepada golongan kanak-kanak. Almaklumlah, masa ‘umur baru setahun jagung’ macam nilah kita perlu bentuk mereka sebaiknya. barulah buluh dapat memanjang mengikut aspirasi dan kemahuan kita, sebab rebungnya dah cantik kita lentur semenjak kecil dan muda belia, ye tak? Seyogia, hayatilah artikel ini ye?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

MENGAJAR KONSEP HIJRAH DI KALANGAN ANAK-ANAK (Utusan Malaysia, 11 Januari 2008/2 Muharram 1429H)

KALENDAR Masihi telah berganjak ke tahun 2008 dan ia diikuti dengan sambutan yang cukup meriah di segenap pelosok negara bagi meraikan kedatangan tahun baru ini.

Golongan kanak-kanak adalah antara yang tidak ketinggalan dalam meraikan kedatangan tahun baru. Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka mengikuti acara seperti pengiraan detik menjelang tahun baru, pertunjukan bunga api, konsert, dan seumpamanya.

Namun berapa ramai di kalangan ibu bapa yang beragama Islam menggalakkan anak-anak untuk menyambut kedatangan tahun baru mengikut kalendar Islam atau Hijriah? Jika anak-anak begitu lancar menghafal nama-nama bulan dalam kalendar Masihi, apakah mereka turut mampu mengingati nama dan susunan bulan-bulan mengikut kalendar Hijriah? Adakah anak-anak kita telah diajarkan juga tentang sejarah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat daripada sambutan awal Muharam ini? Kebetulan pula sambutan Awal Muharam (1 Muharam 1429 Hijrah) kali ini jatuhnya hanya berselang kira-kira 9 hari dari sambutan tahun baru 2008, iaitu pada 10 Januari. Maka, sewajarnyalah sebagai umat Islam yang mendasari konsep Islam Hadhari di negara kita ini perlu mendidik anak-anak kita menghayati akan kesyumulan dan kesempurnaan ajaran Islam, termasuklah dalam menyambut kedatangan bulan Muharam dan inti pati sambutannya.

Hijrah daripada konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Secara konsepsualnya adalah suatu usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. Hijrah seseorang itu jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah s.w.t, maka dia akan dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala.

Anak-anak perlu didedahkan bahawa berdasarkan lipatan sejarah Islam, sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Saidina Umar al-Khattab r.a. adalah orang bertanggungjawab menggagaskan penggunaan kalendar Islam berdasarkan peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Peristiwa hijrah diiktiraf sebagai permulaan bulan dalam kalendar Islam dan peristiwa tersebut berlaku pada tahun 622 Masihi mengikut kalendar Masihi. Anak-anak perlu diberitahu bahawa peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w ini adalah bertunjangkan kepada ketaatan terhadap perintah Allah s.w.t di mana sebagai seorang umat Islam yang beriman seseorang perlu melaksanakan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Selain itu, terdapat banyak prinsip mulia yang perlu dididik kepada anak-anak di sebalik konsep hijrah. Menjadi kelaziman apabila masuk sahaja tahun baru, kebanyakan orang akan mewujudkan azam baru untuk menjadi lebih baik dan sempurna serba-serbinya berbanding tahun-tahun yang lepas.

Begitu jugalah perlu diterapkan dalam diri anak-anak bahawa dalam mendasari anjakan tahun baru kalendar Islam, membentuk azam baru itu adalah berpaksikan kepada perubahan atau penghijrahan ke arah kebaikan.

Anak-anak perlu difahamkan hijrah mengajar manusia untuk membentuk amalan perpaduan, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara sesama manusia tidak kira usia, bangsa dan agama. Dengan cara ini, anak-anak akan terasuh menjadi modal insan yang mempunyai akhlak yang terpuji seiring dengan ketinggian martabat dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Konsep hijrah juga berkesan mendidik anak-anak untuk sabar dan tidak melaksanakan sesuatu yang boleh memudaratkan diri akibat kecewa dengan sebarang kegagalan, misalnya terjebak dengan gejala ponteng sekolah, merempit, atau menagih dadah.

Akhirnya konsep hijrah berupaya membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang sentiasa yakin dengan ketentuan Allah s.w.t dan bertawakal setelah giat melaksanakan sesuatu usaha ke arah kebaikan. Ia selaras dengan konsep tawakal Rasulullah s.a.w semasa berhijrah ke Madinah dan berusaha mengelakkan ancaman bunuh kaum Musyrikin Mekah.

Allah s.w.t menjanjikan balasan yang sewajarnya kepada mereka yang berserah kepada-Nya seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nahl ayat 41-42 maksudnya: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.

Segala pengajaran dan prinsip yang diserlahkan melalui peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w perlulah diterapkan secara berterusan dalam kehidupan anak-anak. Sempena kedatangan awal Muharam ini, marilah kita mengajak anak-anak meraikannya dengan cara muhasabah diri, perbetulkan kesilapan, perbanyakkan amalan mulia dan membulatkan tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keredaan-Nya di dunia dan akhirat.

Jerung Besar vs Ikan Bilis Dalam Dunia Penulisan Akademik

Thursday, January 3rd, 2008

Aku adaptasi karya seorang ’sahabat’ yang terkilan dengan apa yang dikatakan sebagai ‘usaha menggalakkan untuk berkarya, tetapi dibataskan dengan pelbagai had dan ketetapan yang melemaskan’…makasih kak Emy sebab bagi saya url website yang best nih. :P

meh kita kongsi bersama:

http://universitipts.com/index.php/site/comments/surat_pilihan_isu_jerung_akademik_dan_pensyarah_muda/

Surat Pilihan: Isu “Jerung Akademik “ dan Pensyarah Muda

Assalamualaikum. Seorang sahabat mengundang saya untuk menelusuri laman web ini. Hati saya cukup tersentuh membaca ‘nota kuliah’ puan berkenaan pensyarah muda yang seharusnya berani menulis karya-karya yang bukan dalam bidang mereka. Inilah hakikat yang berlaku di depan mata saya. Sememangnya saya cukup suka menulis, tidak kira temanya adalah berpaksikan bidang dan kemahiran ikhtisas saya ataupun bertunjangkan bidang lain yang menjadi minat dan keseronokan untuk berkarya. Banyak platform penulisan yang telah saya ceburi, dan alhamdulillah ada kalanya karya saya diterima untuk dikongsi bersama jutaan rakyat malaysia pada waktu-waktu tertentu. Pada hemat saya, kalau tentera berkhidmat kepada bangsa dan negara dengan mengangkat senjata di medan perang, maka begitu jugalah perjuangan yang tulus suci dilaksanakan oleh penulis-penulis yang menggunakan pena berjuang memberi ilmu dan pengetahuan kepada anak-anak bangsa. Ironinya, minat saya dan juga sesetengah penulis muda yang lain untuk menulis secara aktif ini ada kalanya dibunuh secara kejam oleh sesetengah ‘pak guru’ atau ‘jerung besar’ yang memandang rendah akan kebolehan kami kerana kami ini adalah hanya ‘ikan-ikan bilis’ dalam dunia penulisan. Bayangkan apa perasaan seseorang yang baru mahu berjinak-jinak berkarya dan menerbitkan buku, tiba-tiba disangkal akan kualiti buku tersebut hanya kerana pengarangnya atau editornya adalah seorang ‘ikan bilis’? Lebih memeranjatkan lagi tatkala jawatankuasa ‘jerung-jerung besar’ yang telah menerbitkan berpuluh-puluh buku mencadangkan agar nama salah seorang jerung ini dimasukkan sekali sebagai pengarang atau editor bersama dengan ‘si ikan bilis’ ini demi meningkatkan kualiti (kononnya) dan menarik minat pembaca-pembaca untuk membeli buku tersebut. Ini yang dikatakan sebagai lembu punya susu, sapi senang-senang menjaja nama! Apakah ertinya semua ini? Mengapa perlu ada mentaliti bahawa buku ‘ikan bilis’ tidak ada upaya pergi jauh, sejauh hebatnya buku ‘si jerung besar’? Mengapa tidak ‘si ikan bilis’ ini dipimpin sebaiknya untuk bertatih, berjalan dan mampu berdikari dalam dunia penulisan? Pada saya, salah satu sebabnya kerana kebanyakan penulis-penulis muda terutamanya di IPT tidak diberikan kepercayaan, peluang dan platform sewajarnya untuk menulis. Kedua, sikap tamak sesetengah ‘jerung besar’ yang mahu menempelkan nama mereka sebanyaknya dalam mana-mana karya penulisan ‘si ikan bilis’. Walhal mereka sekadar menjadi parasit atau ‘sleeping partner’ yang mahu mengumpul sebanyak mungkin bilangan buku yang berjaya diterbitkan untuk ditonjolkan dalam Borang Penilaian Tahunan, dan seterusnya berupaya mendapat kenaikan gaji atau pangkat. Tidak rasa bersalahkah? Tidak malukah?

‘Penulis Ikan Bilis’

Melbourne, Australia