Archive for February, 2008

BA WAU DAL YA!

Monday, February 11th, 2008

Bekas Presiden Amerika (tak ingat aku namanya) ada berkata

Jangan tanya apa sumbangan negara kepada kamu, tapi tanyalah apa sumbangan kamu kepada negara

Maka aku tulis satu artikel yang keluar di Berita Harian hari ini 12 Februari 2008 berkenaan ‘BA WAU DAL YA’- BUDI.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20080211224902/Article/

Penjawat awam perlu hargai jasa majikan

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-12 semakin hangat dan lebih bersemarak apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa beliau ‘sudah mendapat ilham’ mengenai tarikh pilihan raya. Ramai tertarik untuk mengetahui perkembangan politik dan pilihan raya daripada media massa. Rata-rata meramalkan pilihan raya diadakan bulan depan.

Pun begitu di sebalik kehangatan musim pilihan raya ini semua pihak terutamanya kakitangan kerajaan harus sedar bahawa selama ini negara kita berada dalam keadaan cukup aman, harmoni dan maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Sebagai penjawat awam mereka sememangnya tahu bahawa kerajaan dari semasa ke semasa tidak putus-putus berusaha dengan pelbagai cara untuk meningkatkan profesion mereka ke tahap lebih tinggi dan berkualiti.

Segala kemahuan dan tuntutan kakitangan awam menjadi agenda utama kerajaan. Misalnya penambah baik kualiti bekerja menerusi pelaksanaan Sistem Kualiti MS ISO, pengurangan hari bekerja daripada enam kepada lima hari seminggu, pengenalan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang lebih berkesan dan adil dalam hal kenaikan pangkat, pelarasan dan kenaikan gaji kakitangan awam serta sebagainya.

Ia sekadar contoh berbanding usaha pembangunan mikro dan makro lain yang dilaksana kerajaan demi kepentingan kakitangan awam dan hal ini tidak ubah seperti peribahasa ‘bagai menatang minyak yang penuh’.

Yang menjadi keanehan dan sedihnya apabila ada sebilangan penjawat awam seakan-akan menjadi ejen penentang aspirasi kerajaan. Duduk bekerja dalam pejabat kerajaan, tetapi pemikirannya dangkal dan hatinya gelap apabila mudah percaya dan terpedaya dengan fitnah dan berita palsu pihak penentang kerajaan. Mereka bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ dan tidak keterlaluan untuk dilabel sebagai ‘gunting dalam lipatan’.

Pelbagai tohmahan dan komen melampau terhadap kerajaan yang diterima bulat-bulat kemudiannya disebar luas kepada pihak lain dengan harapan ada orang terpengaruh dan ikut sama menentang kerajaan. Pendek kata, kerjanya tak sudah-sudah mencari kesalahan dan kesilapan kerajaan dan dengan mudah melabel kerajaan sebagai tidak efisien, zalim dan mengkhianati rakyat.

Golongan ini terlupa atau tidak sedar bahawa setiap akhir bulan, apabila wang gaji mereka masuk dalam akaun bank masing-masing, siapakah yang memberikan gaji berkenaan? Jika ada antara ahli keluarga yang sakit dan dirawat di hospital, siapa yang membantu meringankan beban bayaran perubatan mereka?

Mereka mendapat kemudahan pinjaman perumahan atau pembelian kereta, siapakah agaknya yang memberikannya? Atau jika anak mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, siapakah yang membantu dalam pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka? Sudah tentu jawapannya adalah majikan mereka iaitu kerajaan. Tetapi kalau hati sudah gelap, semua perkara ini akan ditenggelami dengan rasa benci tidak berasas lalu mereka mengangkat dan memuliakan golongan penentang kerajaan!

Bukanlah hajat untuk mengajak kakitangan awam menghargai usaha kerajaan secara membuta tuli. Tetapi cuba timbang-timbangkan dengan pemikiran rasional mengenai kepentingan menghargai segala jasa dan budi kerajaan selama ini. Buka lembaran sejarah negara dan hayati akan keikhlasan pemimpin kerajaan dari dulu hingga kini dalam memartabatkan keagungan negara.

Kemudian bandingkan dengan apa yang berlaku di sesetengah negara lain yang kerajaannya gagal memenuhi hak dan tuntutan rakyatnya, sehingga perbalahan, perpecahan dan peperangan tidak mampu dikawal lagi. Bersyukurlah kita kepada Tuhan kerana dianugerahkan pemerintah adil, bijak dan berjaya membina tamadun agama, bangsa dan negara.

Penjawat awam seharusnya menggunakan kematangan pemikiran dengan terus menyokong aspirasi kerajaan. Jika ada yang tersilap masuk haluan, marilah kita pupuk kembali kesedaran mereka supaya dapat kembali berpijak di bumi nyata. Jadilah kakitangan awam yang memiliki kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan BN yang diakui kredibilitinya di mata dunia!

ABCDE? ALIF BA TA?

Monday, February 4th, 2008

Aku rasalah zaman sekarang, graduan2 unibesiti banyak yang letakkan matlamat bekerja di sektor kerajaan sebagai yang nombor satu berbanding dengan kerja di sektor swasta. Cakap aje, borang mintak kerja yang mana tak pernah diisi kebanyakan kita, borang SPA 8, KPLI,J-KOF,PTD,Borang Uibesiti, Majlis Daerah, Dewan Bandaraya dan macam2 lagi yang dah jadi sinonim sangat. Sampai satu tahap ratio yang sangat kontra jelas kelihatan bila mana satu jawatan yang diiklankan untuk diisi menarik minat ribuan malah puluhan job hunters yang hebat2 dan layak2 belaka. Haaa…adakah ini memberi maksud kerja gomen ni sekadar platform melepas batuk di tangga, maksudnya ‘janji ada kerja daripada takde langsung’? Atau sebagai batu loncatan atau persinggahan sementara sebelum nak cari lobang2 kirje lain? Atau memang dah benar2 jadi primer choice untuk dijadikan karier? TEPUK DADE TUAN2 DAN PUAN2, TANYA SELERA. bagi yang dah menjawat jawatan gomen nih, mungkin ada yang dah comfy enough, mungkin juga ada yang masih nak ricky2 lagi tempat kerja lain yang boleh bagi peluang lebih besar untuk gaji lebih beso, pangkat lebih beso, environment keje lebih best, perks lebih banyak, boss lebih ’sekepala, sehotak’…hehehe…

Harini artikel aku masuk Utusan Malaysia 5 Februari 2008. Sekadar nak kongsi rungkaian idea Datuk Seri Najib pasal ABCDE. Aku rasa sebagai umat Islam, Alif Ba Ta pun kita boleh idealkan jadi mnemonic yang cantik untuk memandu kita bekerja- Alif untuk Allah, yang maksudnya apa saja kita buat di dunia ni, matlamat kita keredhaan Allah dan apa saja yang berlaku adalah ketentuan dan kehendak Allah yang maha kuasa. Ba untuk beriman, bertaqwa dan berisiqamah maksudnya hati kena selalu tunduk dengan ‘al-khaliq’ kerana kita hambanya semata-mata dan buat kerja yang baik kena istiqamah atau berterusan.Ta untuk tawakkal iaitu konsep penyerahan kepada Allah untuk menentukan segala-galanya setelah kita puas bekerja dan berusaha dengan tekun. Ok ka?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Kekalkan formula ’ABCDE’ penjawat awam

Kita mesti pernah satu ketika dulu ada orang berkata”Anak saya kerja biasa-biasa saja, makan gaji dengan gomen (kerajaan)”. Kata-kata ini menggambarkan betapa pemikiran masyarakat kita pada suatu ketika dahulu menganggap bekerja sebagai penjawat awam adalah tidak sehebat pekerjaan di sektor swasta. Kebiasaannya faktor gaji yang rendah atau pekerjaan yang bersifat monotonous- tidak mencabar- menjadi ukuran. Lantas, ramai yang memilih bekerja di sektor swasta yang berupaya memberikan jumlah gaji yang berlipat kali ganda lebih tinggi, mewujudkan kepelbagaian dan cabaran dalam suasana bekerja, dan menyediakan faedah-faedah sampingan seperti percutian, bonus tahunan dan sebagainya. Sehingga ke suatu tahap, pilihan untuk bekerja dengan kerajaan diletakkan di senarai paling bawah bagi graduan yang mahu mencari-cari kerja.

Kini hasil daripada penambahbaikan berterusan oleh pihak kerajaan untuk memperbaiki kualiti pekerjaan penjawat-penjawat awam menyebabkan semakin ramai orang yang celik hati untuk menjadi sebahagian daripada warganya. Terkini, laporan daripada World Competitiveness Year Book 2007 yang dikeluarkan oleh IMD sebuah institusi pengajian perniagaan terkemuka di Switzerland, meletakkan kerajaan Malaysia sebagai keenam terbaik di dunia dari aspek kecekapan. Kerajaan berjaya mengatasi negara-negara seperti United Kingdom, Jerman, Thailand, Sepanyol, Jepun, Rusia dan Perancis dalam kategori negara berpenduduk melebihi 20 juta orang.

Kejayaan kerajaan ini membuktikan betapa bersungguh-sungguhnya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha memperbaiki kualiti perkhidmatan sektor awam sehingga mampu untuk duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan negara-negara maju lain. Kejayaan kerajaan ini juga membuktikan betapa tingginya martabat warga penjawat awam yang menunjukkan kecekapan, kecemerlangan dan produktiviti kerja sehingga menjadi antara yang terbaik di seluruh dunia. Tidak hairanlah kini bila mana iklan-iklan pekerjaan di sektor awam dihebahkan di media cetak atau media massa, ia mampu menarik minat puluhan malah ratusan ribu pemohon dalam tempoh yang singkat. Masyarakat mula memandang tinggi sektor awam dan tidak lagi menganggap ia pekerjaan kelas kedua.

Untuk mengekalkan bahkan meningkatkan lagi kedudukan sektor awam ini bukanlah sesukar mana, bak kata orang ’kalau hendak seribu dayanya, tak hendak seribu dalihnya’. Banyak panduan yang telah digariskan oleh tampuk kepimpinan kerajaan ke arah usaha pembaikan berterusan ini. Misalnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri baru-baru ini telah menggagaskan formula ’ABCDE’ untuk meningkatkan kualiti dan integriti penjawat awam di seluruh negara.

Kalau kita perhalusi satu persatu ’mnemonik’ huruf-huruf dalam formula ’ABCDE’ Datuk Seri Najib ini, ia ibarat tonik paling mujarab yang harus dijadikan panduan terbaik untuk para penjawat awam melaksanakan tugas dengan sempurna. Huruf A yang membawa maksud amanah memperihalkan akan peri pentingnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan oleh majikan dan juga kerajaan. Jangan mengkhianati kepercayaan yang diberi ini dengan membuat sesuatu yang boleh merosakkan integriti kerja seperti ’mencuri tulang’, mengamalkan rasuah atau bersifat bengis terhadap pelanggan. Jika amanah itu menjadi pegangan, pasti akan begitu minimum atau tidak kedengaran langsung keluhan dan komen negatif pelbagai pihak terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam.

Konsep pekerja yang bersifat Ulul Albab dizahirkan melalui huruf B yang bermaksud bijak. Seperti mana dinyatakan Abdul Rahman Haqqi (2007) Ulul Albab menunjukkan dua sifat utama dalam dirinya iaitu karektor Az-zikri (yang lidahnya sentiasa basah berzikir dan hatinya sentiasa tawaduk mengingati Allah) dan al-tafakkur (selalu menggunakan fikiran dan dahagakan ilmu pengetahuan). Ulul Albab dalam sektor awam –merangkumi semua pekerja daripada Pembantu Am Rendah hinggalah kepada Ketua Jabatan- adalah mereka yang bijak dan matang mencerna ilmu pengetahuan yang dimilikinya tidak kira ianya bersifat duniawi atau ukhrawi untuk membuat kerja dengan baik, berkongsi kepakarannya dengan orang lain, dan sentiasa cuba mendapatkan keredhaan-Nya dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang agama. Semakin luas ilmu pengetahuan seseorang itu bermaksud semakin bijaklah dia mencerna hala tuju kerjanya supaya menjadi lebih cemerlang dari semasa ke semasa.

Huruf C untuk cekap menggagaskan bahawa penjawat awam perlu mampu mencapai standard kerja yang ditetapkan organisasi dan menepati masa yang ditetapkan. Seseorang penjawat awam perlu mewujudkan sistem ’benchmarking’ iaitu mewujudkan sasaran-sasaran kerja yang realisitik dan cuba untuk mencapai bahkan mengatasi tahap pencapaian tersebut. Dedikasi yang direfleksikan oleh huruf D mengajak penjawat awam untuk memberikan sepenuh tenaga, buah fikiran dan usaha ke arah pembangunan organisasi secara spesifiknya dan sektor awam secara umumnya. Dedikasi yang tinggi dalam bekerja akan mewujudkan apa yang dipanggil ’sense of belonging’ yang menzahirkan rasa sayang dan sikap kebertanggungjawaban kita terhadap organisasi. Manakala huruf E pula membawa erti efektif. Efektif yang dimaksudkan adalah kerja yang dibuat memberikan kesan yang bermakna kepada diri penjawat awam itu sendiri, organisasi dan terutamanya pelanggan. Umpamanya,  jika seseorang operator talian aduan awam sesebuah jabatan menerima panggilan telefon daripada pelanggan, unsur efektif akan wujud hanya apabila aduan pelanggan itu diambil tindakan yang sewajarnya oleh semua pihak dalam jabatan tersebut dan memuaskan hati pelanggan tersebut.

            Ramuan ABCDE ini bukanlah terhad sekadar elemen-elemen tersebut sahaja, bahkan jika ada unsur-unsur positif diwakili sehingga ke huruf Z sekalipun, ia perlu diamalkan dalam bekerja dan diyakini membantu seseorang penjawat awam itu mencipta kesempurnaan dalam bekerja. Rasionalnya, sehingga bila-bila sektor awam akan sentiasa ’berkhidmat kepada rakyat’ dan perkhidmatan yang diberikan perlulah kekal di kelas pertama. Kekal di kelas pertama hanya bila para penjawat awam mampu mengekalkan kualiti dan integriti kerja yang mantap.