Archive for April, 2008

Rasuah Lagi????

Tuesday, April 29th, 2008

LAGI-LAGI PASAL RASUAH. harap2 aku, anak bini dan keturunan aku takkan terjebak… harini artikel aku dalam Berita Harian (30 April 2008-Rabu) menyentuh sekali lagi pasal rasuah, tapi kali ni terfokus kepada isunya yang menyelubungi geng2 sukan..kasihan, tapi apakan daya salah tetap salah. Allah maha kaya, apa saja kita buat pasti akan dapat balasannya yang setimpal..silalah baca kandungan seterusnya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20080429222902/Article/index_html

Rasuah jejas usaha martabat sukan negara

SEPERTI kata bidalan ’sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.’ Begitulah juga ibaratnya bagi sebilangan ahli sukan yang dilaporkan sedang disiasat persatuan sukan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Mereka seronok menikmati hasil ‘durian runtuh’ secara rasuah. Apabila diri teruja dengan kelazatan mendapatkan untung sebegitu rupa, maka soal perundangan dan dosa pahala diletakkan jauh daripada kotak pemikiran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pernah melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pemain bola sepak tempatan dan ‘bookie’ yang mengamalkan rasuah dalam sukan dan menganggap mereka sebagai individu tidak berintegriti, tidak patriotik dan menggagalkan usaha kerajaan untuk memajukan sektor sukan negara.

Sepatutnya sukan menjadi platform untuk menyihatkan dan menyeimbangkan potensi dan kekuatan jasmani, rohani, emosi dan intelek seseorang.

Begitu juga apabila seseorang ahli sukan masuk ke gelanggang atau padang, pelbagai unsur positif dibawa bersama dalam dirinya seperti semangat perjuangan, semangat berpasukan, bermain mengikut peraturan, berdisiplin, tidak mudah patah semangat serta bermotivasi.

Semua unsur positif itu luntur apabila rasuah menjadi objektif utama. Rasional diri hilang begitu mudah apabila dijanjikan habuan lumayan oleh ‘bookie’.

Akibatnya, usaha terancang dilaksanakan untuk memenuhi kehendak perasuah seperti kualiti permainan sengaja direndahkan, sambil lewa dan membelakangkan aspirasi semangat berpasukan.

Sia-sia pelaburan wang, pembangunan kemudahan fizikal, tenaga dan pemikiran yang dilaksanakan oleh persatuan sukan dan kerajaan.

Bagi penonton dan penyokong pasukan pula, ini adalah sandiwara yang tidak mereka sedari.

Semangat penyokong untuk datang ke gelanggang perlawanan bagi memberikan sokongan moral seperti ’susu dibalas dengan tuba.’ Mereka tertipu dengan gelagat pemain yang ‘dibeli’ dan tidak menunjukkan prestasi sebenar di padang.

Penat penonton memekik dan bersorak untuk menaikkan semangat pemain disayangi, namun ia hanya membuang masa dan tenaga. Pemain tidak ubah seperti boneka dan ‘pak lawak’ menyajikan lakonan permainan hambar. Apabila kebanyakan persatuan sukan mahu menjalankan siasatan atau menubuhkan jawatankuasa tertentu untuk membanteras rasuah dalam organisasi masing-masing, ia langkah dialu-alukan. Siasatan perlu dijalankan sehingga ke akar umbi. Luaskan skop siasatan kepada setinggi-tinggi jawatan penaung sehingga kepada serendah-rendah jawatan ahli dalam persatuan.

Ahli sukan dan pentadbiran persatuan sukan yang bersih daripada gejala penipuan rasuah saja yang akan terus mewarnai dunia sukan, bukan dibayangi dalang yang hanya mencemar martabat kesukanan.

Jika terbukti ada ahli sukan terbabit rasuah, tindakan tegas perlu diambil dengan segera termasuk mengheret mereka ini ke muka pengadilan. Mereka perlu diberi pengajaran setimpal dengan kerakusan membaham hasil rasuah demi menjaga kesucian dunia kesukanan.

Biar kesilapan mereka menjadi pengajaran kepada pihak lain yang mungkin sedang menimbang tawaran lumayan daripada ‘bookie’ agar melupakan terus niat jahat mereka. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah. Tindakan proaktif perlu dilaksanakan semua pihak. Pendidikan mengenai kesan negatif amalan rasuah perlu diberikan secara serius kepada semua ahli sukan dan pentadbiran persatuan sukan. Matlamat dan aspirasi sebenar yang harus dimiliki apabila menyertai dunia sukan harus disuburkan di kalangan ahli sukan secara berterusan. Buka platform yang luas untuk ahli sukan untuk mengadu sebarang usaha pihak luar yang cuba memancing mereka terjebak dengan gejala rasuah.

Kepada ahli sukan, fikirkanlah mudarat dan bahaya rasuah dalam konteks moral dan agama. Tidak ada agama dalam dunia ini yang menghalalkan rasuah.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
La Trobe University
Melbourne, Australia.

p/s–elakkanlah memberi dan menerima duit haram…

Kaedah Mengatasi Tekanan Berpandukan Islam

Friday, April 25th, 2008

Bila sebut pasal tekanan perasaan, kat mana2 saja kita akan rasa tertekan, baik di rumah, di opis atau di khalayak ramai. Asbabnya? memanglah faktor persekitaran..tapi harus diingat diri sendiri jugak adalah sumber tekanan perasaan–kenapa? sebab ada ramai dalam kalangan kita–termasuklah aku–yang kurang bijak mentadbir perasaan, kurang halus menilai faktor sekeliling dan menterjemahkan masalah sebagai bebanan besar..panduan? silalah rujuk artikel aku yang keluar dalam Berita Harian hari ini (26 Mei 2008-Sabtu) yang berkisar tentang Kaedah Mengatasi Tekanan Berpandukan Islam..check it out!

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20080425234811/Article/index_html

Solat, zikir, al-Quran terapi tekanan perasaan

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

DUNIA pekerjaan memang memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja. Tekanan kerja jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Tekanan disebabkan pekerjaan adalah interaksi kompleks antara persekitaran tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tugas terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua suka marah dan suasana kerja tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan itu seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu jika tidak ditadbir atau tidak dikawal dengan metodologi tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala ada di kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok atau perkara dilarang. Berlaku juga kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah dengan mendera anak atau ke tahap melampau sehingga mahu membunuh diri.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menganjurkan mereka yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah.

Allah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Seperti ketentuan Allah, setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan.

Kita harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang.

Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat adalah suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang tertumpu kepada sesuatu (kepada Allah).

Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi kesan positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, mendirikan solat fardu lima waktu, dilengkapkan dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah dalam sebarang kesukaran.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Keduanya, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid dan bertasbih adalah amalan yang mampu menenangkan jiwa seperti jaminan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Ketiga, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda.” (Hadis riwayat Bukhari)

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan kerana al-Quran dan hadis adalah sumber teragung merungkaikan segala permasalahan.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jugalah tempat yang kekal selamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa saja yang berlaku di dunia ini baik yang positif ataupun negatif sekadar warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama dan akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang sudah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghaafir, ayat 60)

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Bila nafsu menguasai akal di atas jalan tar

Thursday, April 24th, 2008

Salam a’laik. Cuba renungkan..Bila seorang ayah dapat panggilan telefon "takziah, anak abg meninggal dunia, kena langgar lari", atau seorang emak diberitahu "anak akak koma, berlanggar dengan lori masa racing haram" atau bila mata menatap tajuk berita "5 parah akibat memandu semasa mengantuk"…apa perasaan kita yang secara langsung berkait dan pandangan kita sebagai orang awam? jawapan sebagai usaha mengelak ‘pisang berbuah dua kali atas jalan tar’ ni bukan hanya tergantung kepada perundangan lebih ketat, penguatkuasaan lebih serius, teknologi lebih canggih semata2. Tapi, pada aku lebih kepada membudayakan pemikiran dan sikap rasional semua pengguna jalan tar, serius sehh..

so, harini artikel aku akan hal sikap di jalan raya ni keluar dalam utusan malaysia 25 April 2008-Jemaat. Meh muhasabah diri.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Enggan ubah sikap punca kemalangan

Bukannya asing bagi kita menatap kempen-kempen keselamatan jalan raya yang hebat dilaksanakan oleh kerajaan bukan sahaja dalam media massa bahkan terpampang jelas di papan-papan iklan di tepi jalan raya. kumpulan sasaran kempen ini sudah pastilah para pengguna jalan raya yang merangkumi pemandu-pemandu kenderaan dan tidak ketinggalan pejalan kaki.

Antara intipati kempen tersebut adalah seperti jangan memandu ketika mabuk, mematuhi papan tanda dan lampu isyarat, memakai tali pinggang keledar, kaedah tepat untuk menyeberang jalan raya dan sebagainya. Namun sejauh mana agaknya penghayatan masyarakat terhadap kempen keselamatan jalan raya yang bermoto ‘anda mampu mengubahnya’ ini?

Semasa mengikuti kelas dan ujian memandu, semua pelatih telah dijelaskan berkenaan undang-undang dan peraturan lalu lintas. Bahkan konsep dalam silibus pengajaran dan ujian yang dilaksanakan bersifat komprehensif yang menggabungkan unsur teori dan praktikal. Ironinya, selepas berjaya mendapatkan lesen memandu kebanyakan daripada kita seakan-akan melupakan terus nilai pemanduan berhemah yang telah dipelajari dalam kelas memandu.

Semacam wujud satu budaya yang menggerunkan apabila kebanyakan daripada masyarakat kita yang tinggi nilai sopan santun dan tatasusilanya akan berubah sifatnya menjadi tidak waras ‘apabila tangan sudah memegang stereng kenderaan’.

Tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, memotong di garisan berkembar, memandu lebih had laju dan berlumba-lumba, memandu dalam keadaan mabuk, membawa penumpang lebih had muatan dan sebagainya adalah antara kesalahan biasa dilakukan dan boleh mengundang musibah.

Yang nyatanya, kesedaran tentang menjaga keselamatan ketika di jalan raya perlu dipupuk saban hari dan setiap waktu. Ada pihak yang mengungkit bahawa kempen keselamatan yang dibuat tidak berkesan dan bersifat bermusim.

PerundanganAda juga yang menyalahkan pihak yang berwajib seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Trafik dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan yang tidak menguatkuasakan sepenuhnya sistem perundangan jalan raya yang sedia ada.

Namun, walau sempurna manapun undang-undang yang digubal mahu pun penguatkuasaan yang dilaksanakan, kesemua itu akan tetap tidak bermakna jika pengguna jalan raya sendiri tidak menghiraukan soal keselamatan mereka.

Percayalah, di sebalik ungkitan dan tudingan jari terhadap kelemahan penguatkuasaan dan perundangan, sikap buruk pengguna jalan raya yang sebenarnya menjadi penyumbang besar kepada berlakunya kemalangan.

Sikap tak ambil endah terhadap peraturan menyebabkan adanya pemandu yang seakan berbangga mengumpul berpuluh-puluh saman dan waran tangkap. Sikap penyayang membabi-buta menyebabkan ada ibu bapa yang memberikan anak mereka ‘lesen besar’ membawa motor merempit ke hulu ke hilir tanpa mempunyai lesen memandu yang sah.

Sikap suka berlumba-lumba menyebabkan ada pemandu yang memecut kenderaan menggila-gila dan melebihi had laju.

Sikap pejalan kaki yang suka mengambil risiko melintas jalan yang sibuk tanpa menggunakan jejantas yang disediakan. Sikap suka menunjuk-nunjuk menyebabkan ramai yang mengubahsuai spesifikasi enjin dan aksesori kereta yang tidak diluluskan pihak berkuasa.

Sikap kebanyakan pengusaha kenderaan awam yang terlalu mengejar keuntungan, sehingga tidak mengendahkan kewajipan memasang kotak hitam pada kenderaan mereka dan masih menggunakan khidmat pemandu yang bermasalah dari segi undang-undang.

Pendek kata, golongan pengguna jalan raya yang bersikap negatif seperti ini tidak menyedari musibah yang mungkin akan melanda ke atas diri mereka dan orang lain dek kerana ‘belum terkena di batang hidung sendiri’.

Mutakhir, apabila seorang ‘mat rempit’ dipenjara dua tahun dan denda maksimum RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan kerana berlumba haram dan menunjukkan aksi ’superman’ di atas motosikalnya, telah membuka lembaran baru dalam keseriusan pihak-pihak berwajib untuk memperbaiki sistem penguatkuasaan dan perundangan yang sedia ada.

Begitu juga dengan usaha mewajibkan semua penumpang kereta memakai tali pinggang keledar yang bukan bertujuan untuk menyusahkan, tetapi demi menyelamatkan nyawa semua pihak yang sangat-sangat berharga.

Namun, muhasabah diri yang sangat mendalam juga perlu dibuat oleh semua pengguna jalan raya. Telitilah apa agaknya sikap buruk yang selama ini diamalkan di atas jalan raya, dan perbetulkan selagi belum terlambat.

Jangan asyik salahkan pihak lain seperti pihak berkuasa apabila berlaku sesuatu kemalangan, tanpa memperbetulkan dahulu kesilapan diri.

Penggunaan jalan raya secara berhemah dan mengikuti peraturan yang ditetapkan sepanjang masa adalah demi kebaikan diri sendiri, orang yang tersayang dan juga pengguna jalan raya yang lain. Jangan bila sudah terhantuk, baru hendak tengadah. Pada masa itu seribu sesalan pun tidak akan dapat mengubah kecelakaan yang telah berlaku akibat sifat bermaharajalela dan cuai ketika di jalan raya.

JOM MAKAN RASUAH!!

Wednesday, April 23rd, 2008

hoho, jangan terpedaya dengan entry title, saja je tu..nway harini artikel aku pasal rasuah di Berita Harian (Kames–24 April 08), check it out!

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Surat/20080424074518/Article/index_html   

Penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah IPT Disokong

         Sungguh seronok perasaan seseorang jika dapat menikmati ‘durian runtuh’ dengan cara yang mudah tanpa perlu bersusah payah menitikkan peluh dan menggerakkan tulang empat kerat. Mungkin perasaan seronok itu berganda-ganda terasa bagi penerima suapan rasuah tak kira dalam bentuk wang ringgit, harta benda, pangkat, dan sebagainya. Bagi yang menyogok rasuah pula mungkin tersenyum lebar kerana mudah mendapatkan sesuatu yang dihajatinya dengan mengabui mata orang lain menggunakan duit atau harta benda. Tatkala barisan pemimpin negara di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu serius mengotakan ikrar untuk mendidik dan membentuk masyarakat untuk menjauhi rasuah, malanglah jika masih ada individu yang buta hati dan pemikirannya dengan tiada sifat segan silu memberi atau menerima rasuah.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada awal tahun ini telah bersama-sama menggagaskan idea untuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT). Sekretariat yang  membabitkan 20 IPT di seluruh negara ini diharapkan dapat berperanan menyediakan garis panduan, mengeluarkan risalah serta mengadakan pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah. Sebenarnya, penubuhan sekretariat ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu direalisasikan akan penubuhannya. Ia bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk menghapuskan budaya rasuah sehingga ke tahap sifar. Berdasarkan pengalaman menjadi pelajar dan pengajar di universiti, kes-kes menyogok dan menerima rasuah di universiti sememangnya berlaku dalam pelbagai sifat dan kaedah.

            Kes-kes yang berlaku secara tersurat mahupun tersirat menggambarkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikhuatiri terus berleluasa di universiti. Tinggal lagi ianya dikaburi dengan tanggapan bahawa ianya murni dan tidak sedikit pun dibajai dengan niat yang salah. Kononnya inilah konsep ‘menang-menang’ yakni kau dapat apa kau mahu, dan aku dapat apa yang aku mahu. Sehingga ke satu tahap, dek kerana kelazatan mendapat faedah melalui saluran ‘haram’ ini, ada sesetengah pihak di universiti yang ketagih dan tidak segan silu meminta-minta rasuah. Kes-kes sogokan rasuah yang kelihatannya semakin menjadi-jadi mutakhir ini membuktikan bahawa penyakit sosial ini masih kental menghantui masyarakat merentasi pelbagai usia, pangkat, sektor pekerjaan, bangsa dan jantina termasukla warga universiti.

Gejala rasuah sebegini benar-benar merobohkan kesucian dan martabat universiti sebagai gedung ilmu dan melunturkan kredibiliti dan keperibadian seseorang pensyarah mahu pun pentadbir jika benar mereka mengamalkannya. Ironinya, elemen keikhlasan, keadilan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan turut luntur dalam jiwa penerima dan pemberi rasuah yang mencari jalan pintas mencapai objektif diri masing-masing.

            Daripada perspektif Islam, sesungguhnya kita adalah ditegah sama sekali terlibat dengan rasuah dan ia dianggap melakukan dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud ‘dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)’. Islam menuntut umatnya untuk tidak mencari jalan singkat dan haram dalam mendapatkan rezeki tetapi berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah SWT.

            Daripada konteks perundangan, rasuah dianggap sebagai salah satu kesalahan serius yang boleh menggugat ketenteraman negara dan masyarakat. Untuk itu sesiapa sahaja yang terlibat dengan perlakuan rasuah boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613) yang membolehkan pesalah didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali. 

            Rasuah mempunyai implikasi negatif sama ada kepada pemberi atau penerimanya. Daripada segi pemikiran, pemberi rasuah sentiasa dangkal dan akan mencari jalan yang singkat dengan memberi suapan untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya. Penerima rasuah pula akan menjadi ketagih dan mahukan lagi suapan demi suapan kerana sudah terbiasa dan seronok. Daripada segi emosi, penerima rasuah sentiasa rasa tidak selamat kerana selalu mencurigai orang lain, menjadi tidak adil dan tidak amanah.  Pemberi rasuah pula akan bertambah kuat perasaan tamak dan halobanya dengan mengamalkan ‘quid pro quo’ (this for that) atau berkorban sedikit untuk mendapatkan habuan yang lebih lumayan.

            Rasuah membuatkan seseorang menjadi tidak rasional. Bekerja juga sudah hilang ikhlasnya kerana selalu memikirkan jalan untuk mendapatkan ganjaran dengan cara yang mudah dan cepat. Bahkan akan wujud satu bentuk perasaan ‘hendak pulun keuntungan sendiri’ dengan menerima rasuah. Percayalah, bahawa kemewahan dan kesenangan yang diterima atas tiket rasuah langsung tidak diberkati tuhan bahkan mendorong ke arah pembaziran dan penyalahgunaan kuasa dan pangkat. Rezeki dan sebarang harta benda yang bersumberkan sesuatu yang haram seperti rasuah, akan menjadi bahan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka di akhirat kelak.

            Bagi sesiapa yang menjawat jawatan dan kepentingan tertentu berlaku adil dan amanahlah tanpa perlu tunduk kepada anasir-anasir suapan atau ‘duit bawah meja’. Yang berharta dan berkemampuan, jangan amalkan sikap suka ‘hulur duit’ untuk mendapatkan sesuatu dengan cepat. Berusahalah mengikut saluran yang sepatutnya dan redha dengan apa yang telah diperoleh. Begitu juga kepada sesiapa yang mengetahui wujudnya amalan suapan tidak kira di tempat kerja atau di persekitaran awam, laporkanlah kepada pihak yang berkuasa agar gejala rasuah ini tidak terus berleluasa dan menjadi lebih kronik.

            Usaha pembentukan sekretariat pencegahan rasuah ini perlulah direalisasikan dan juga disokong tanpa berbelah bagi oleh semua warga IPT. Inilah platform terbaik untuk membimbing semua pihak akan bahayanya amalan rasuah yang boleh menghancurkan kewarasan fikiran dan merobohkan status universiti sebagai wadah penyebar keilmuan yang paling terulung. Adalah dicadangkan agar sekretariat ini kelak melaksanakan program yang serius, bersifat menyeluruh dan berterusan dalam mendidik warga IPT tentang rasuah. Misalnya, penganjuran seminar dan kolokium di kalangan pensyarah, pihak pentadbiran dan pelajar, mewujudkan satu jurnal akademik sebagai platform penulisan ilmiah yang boleh dikongsi masyarakat, kajian-kajian sosial berkenaan bahayanya rasuah dan program-program kemasyarakatan dan khidmat komuniti yang menggalakkan asimilasi antara warga universiti dan orang awam ke arah pembasmian gejala rasuah yang total.

Yuk, kita ngorok tengahari!!

Sunday, April 13th, 2008

hari ni artikel aku pasal tidur sekejap di siang hari keluar di Berita Harian (14 April 2008). Ini memang hobi aku masa mula2 masuk USIM dulu. Ingat lagi aku yang berkongsi bilik tutor dengan Wan, Isa, Shahril, dan Lokman selalu mengorok kejap lepas madang kat kedai makan di sekitar Pandan Indah. Bersahut-sahutan dengkuran masing2…kadang2 bila ada student masuk nak jumpa salah sorang dari kami, apa lagi menggelatat la kami bangun buat2 macam segar bugar tak tidur. Walhal, siap air liur basi ada lagi meleleh2 kat tepi bibir. huah huah huah…anyway inilah sorotan artikel aku.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20080413231605/Article/index_html

Tidur sekejap waktu siang segarkan minda

SESETENGAH kita menganggap bahawa tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang malas atau menganggap rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan. Namun, sedarkah kita bahawa tidur pada waktu siang adalah suatu amalan harian yang dipraktikkan masyarakat di negara Barat mahupun umat Islam sejak dulu.

Ia dianggap sebagai praktikal untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai ‘power nap’. Peri pentingnya isu ini menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat membangunkan ‘National Sleep Disorder Association’ sebagai agensi khas untuk mengkaji dan menghebahkan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak.

Sebagai golongan pekerja di dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.

Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu fokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda kita waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Banyak kajian yang dilaksanakan sarjana dalam mengkaji kesan tidur sebentar pada waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan ilmiah yang memberikan mengenai kebaikan tidur pada waktu siang ini.

Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti buku The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony; Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton . Sarjana ini cuba menghimpunkan bukti secara saintifik mengenai kebaikan tidur sebentar pada waktu siang terutama bagi pekerja mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Dikatakan waktu tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika. Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual dengan rakan, melayari internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat yang berjam-jam keletihan dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Fasa tengah hari ini dipanggil oleh sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan sesuai dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.

Tidur berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Dari segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot yang digunakan secara aktif ketika bekerja. Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan.

Dari perspektif Islam, tidur pada waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik. Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa ‘hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadat pada malam hari seperti sahur membantu puasa pada siang hari’. Tidur sekejap pada waktu siang bertujuan menyegarkan semula bukan saja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadat dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran mengenai implikasi positif daripada tidur sekejap waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan pekerja untuk mengamalkannya. Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi pekerjanya selain daripada pantri atau kantin.

Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.

Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat. Begitu juga dengan pelanggan di kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.

Dakwah Fi Sabilillah

Friday, April 11th, 2008

Harini artikel aku keluar dalam Berita Harian-Agama (12 April 08) yang mana ianya berkisar kepada konteks dakwah mengkhusus keperluannya di tempat kerja. Sesungguhnya, pengalaman mengajar subjek Dakwah Methodology di USIM aku gunakan untuk berkongsi pandangan dengan semua orang akan peri pentingnya kita melaksanakan tugas sebagai Da’ie (pendakwah) mengajak orang lain untuk terus utuh berpegang pada ajaran Islam.

so, inilah sorotan artikel tersebut…

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20080412005820/Article/

Dakwah di pejabat wajar kuat intelektual

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

BERDAKWAH boleh difahami sebagai usaha mengajak orang lain mendekati Allah, menyeru mereka ke arah kebenaran dan seterusnya dapat mengikut apa yang digariskan dalam ajaran Islam. Dakwah adalah suatu usaha mengajak manusia melaksanakan ‘amal makruf dan nahi mungkar’.

Dr Sayyid Muhammad Nuh menjelaskan dengan terperinci dalam bukunya ‘Taujihat Nabawiyyah ‘Ala al-Thariq’ mengenai konsep amal makruf dan nahi mungkar. Al-makruf adalah konsep yang mencakupi semua perkara atau amalan yang diterima dan diredai Allah.

Contohnya, ibadat khusus seperti solat, berpuasa, berzakat dan ibadat umum seperti adil, mematuhi undang-undang, amanah, mengotakan janji, dan ‘iffah’ yang bermaksud mencela diri daripada perkara haram.

Maka amal makruf bermaksud mengajak atau mendorong orang lain untuk melaksanakan amalan mulia yang khusus dan umum demi kesejahteraan diri, masyarakat dan mendapatkan keredaan-Nya.

Al-Mungkar pula, suatu konsep yang mencakupi semua amalan tidak diredai dan dibenci Allah merangkumi segala perbuatan zahir dan batin seperti riak, hasad dengki, bermusuh-musuhan, meninggalkan ibadat khusus, mencuri, berzina, khianat dan berbohong.

Maka nahi mungkar difahami sebagai memperingatkan, mengajak orang lain untuk mengelak dan membersihkan diri daripada melaksanakan kemungkaran serta amalan keji yang mengundang kemurkaan-Nya.

Dalam dunia pekerjaan, seorang Muslim bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak kiralah apa kategori pekerjaan, sama ada di pejabat berhawa dingin, tapak pembinaan hatta di ladang dan sawah sekalipun, tanggungjawab sebagai pendakwah terletak di bahu kita.

Selaras firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Usaha berdakwah di tempat kerja jangan disalahertikan dengan pengertian yang sempit. Dakwah bukan bermaksud mengajak manusia melupakan tanggungjawab bekerja dan melaksanakan amal ibadat khusus semata-mata.

Bekerja itu sendiri adalah satu amal ibadat apa lagi jika ia diniatkan kerana Allah dan dilaksanakan dengan penuh amanah, fokus serta ikhlas. Usaha dakwah jangan ditafsirkan sebagai ‘hendak tunjuk alim’ atau ‘hendak tunjuk pandai’.

Jika begitu, semua orang akan takut untuk berdakwah kerana seorang pendakwah tidak mahu dipandang sebagai penyibuk, manakala yang menerima dakwah pula berasa tidak selesa dan menganggap konteks dakwah sebagai sesuatu yang tidak bermanfaat.

Sesungguhnya Allah menjanjikan bahawa seseorang yang berdakwah ke jalan Allah akan mendapat balasan setimpal dengan usahanya seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Sebagai pendakwah dalam konteks dunia pekerjaan, seseorang itu perlulah terlebih dulu memperlengkapkan dirinya supaya usaha dakwahnya menjadi sempurna. Tidaklah nanti orang lain mengatakan, nak betulkan orang lain, diri sendiri pun tunggang-langgang.

Akhlak dan keperibadian diri yang baik perlu dibentuk dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan terbaik. Kejayaan Rasulullah SAW dalam usaha dakwah hingga berjaya menarik minat kaum keluarga, sahabat dan umat manusia zaman jahiliah bertitik tolak daripada keperibadian Baginda SAW yang teguh keimanan, cukup berlemah-lembut, molek budi pekerti dan tutur bicaranya.

Pendakwah juga perlu memiliki kekuatan intelektual dan spiritual supaya dirinya sendiri arif akan apa yang hendak disampaikan dan orang yang menerima dakwah turut faham dan mudah untuk mengikut dakwahnya.

Jika pendakwah tidak mampu memahami dan menguasai ilmu mengenai ajaran Islam, ditakuti usaha dakwahnya akan menjadi sia-sia dan diperlekehkan orang yang cuba didekati itu.

Bahkan, yang lebih ditakuti adalah apabila yang cuba disampaikan itu tidak selaras dengan perspektif Islam dan boleh memesongkan fahaman orang lain terhadap kesyumulan ajaran Islam.

Berdakwah di tempat kerja bukan sesuatu yang sukar kerana banyak kaedah dakwah boleh diguna pakai seperti penulisan, perbualan, mahupun perbuatan untuk menarik minat dan kesedaran orang lain terus berpegang teguh kepada syariat Islam.

Contohnya, ringankan mulut menegur rakan yang suka mencuri tulang untuk minum pagi dengan cara mengingatkan mereka akan pentingnya bersikap amanah kepada majikan bahkan kepada diri sendiri.

Atau memberi teguran terhadap amalan bergosip, mengumpat dan mengata orang lain yang memang menjadi hobi ketika bekerja di kalangan sesetengah daripada kita. Begitu juga apabila mendapati ada rakan mengambil ringan kewajipan menunaikan solat.

Mereka perlu diingatkan, walau sesibuk mana sekalipun bekerja, kita tetap perlu mendirikan solat yang menjadi tiang agama. Namun, harus diingat segala peringatan dan teguran perlulah dibuat dengan tegas tetapi lembut, merendah suara dan berhikmah. Bukan secara kasar, mengherdik atau menghina.

Dakwah melalui perbuatan juga sangat berkesan mengajak orang lain beramal ibadah dengan sempurna. Menjaga amal ibadat khusus, tidak lokek memberi senyuman, membaca al-Quran ketika ada kelapangan, ringan tulang membantu orang lain, sopan santun, menjaga kebersihan diri dan sebagainya adalah contoh perbuatan yang boleh menggetarkan kesedaran orang lain untuk mengikut amalan baik yang kita tunjukkan.

Dakwah juga boleh disampaikan melalui kaedah penulisan melalui penghantaran e-mel atau salinan nota yang mengandungi maklumat berkaitan ajaran Islam seperti tauhid, ibadah, adab, muamalat untuk terus tawaduk dan patuh dengan perintah Allah.

Sebagai ketua jabatan atau pengurus organisasi, juga boleh memekarkan usaha dakwah dengan mewujudkan amalan membaca al-Quran dan memahami tafsirnya bersama pekerja.

Begitu juga sebelum memulakan sesuatu mesyuarat atau perbincangan kumpulan, tazkirah ringkas boleh disampaikan mengenai ilmu berkaitan Islam mahupun isu-isu semasa mendasari kehidupan seharian.

Janganlah segan dan berputus asa untuk terus menyampaikan apa yang baik kepada rakan di tempat kerja kerana ia memberi manfaat yang tiada tolok bandingnya kepada semua pihak termasuklah diri kita sendiri.

–jom mulakan sekarang!–

Jawapan Dewan Malaysia terhadap komen dalam BH

Thursday, April 3rd, 2008

Dewan Malaysia sedia perbaiki kelemahan

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20080403220409/Article/index_html

selang dua hari selepas satu surat teguran dikeluarkan di Berita Harian, harini budak2 Hall jawab balik dalam paper yang sama dengan nada merendah diri. Baguslah..mana yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dibuang jauh2 dan wujudkan sempadan. Kadang2 gajah depan mata kita tak nampak, kuman hujung benua di planet lain yang kita nampak sejelas-jelasnya. Inilah pentingnya hidup bermasyarakat, ada amalan tegur-menegur, ada amalan nasihat menasihati. Barang yang silap jangan diulangi, benda yang baik disebarluaskan dan diamalkan bersama-sama. Kan ke chantek namanya tuuu?

"Merujuk aduan yang disiarkan dalam akhbar ini, 2 April, saya bagi pihak residen Dewan Malaysia Melbourne (DMM), Australia ingin memohon maaf sekiranya residen dewan tidak menepati tanggapan pihak pengadu. Kami sedar bahawa memang ada ruang untuk pembaikan dan residen DMM akan sentiasa berusaha untuk menuju ke arah pembaikan.

Kami agak terkejut juga dengan aduan itu kerana selama ini kami diberi pujian ramai residen ‘transit’ dan pelawat. Namun, kami khususnya pelajar baru yang masih menyesuaikan diri juga mengambil teguran itu dengan minda terbuka dan akan sentiasa berusaha untuk membaiki perkhidmatan dan layanan kepada residen lain.

Bagaimanapun, kami ingin maklumkan bahawa segala syarat dan peraturan yang diguna pakai adalah untuk kebaikan pengurusan DMM. Tindakan ini diambil selepas beberapa insiden yang tidak diingini berlaku yang mendesak pihak pengurusan mencadang serta melaksanakan syarat dan peraturan DMM. Syarat dan peraturan itu sangat perlu bagi mengurangkan kerosakan dan pembaziran. Di samping itu, syarat dan peraturan itu menjamin keselamatan, kebersihan DMM dan penghuninya.

Syarat dan peraturan juga sentiasa dikemaskini bagi memastikan DMM dipantau dan terurus. Ia perlu ditekan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku khususnya tidak menepati piawai yang ditetapkan pihak berkuasa, ‘City of Port Phillips’. Apa yang kami perhatikan ialah kaedah penyampaian maklumat syarat dan peraturan mungkin kurang sesuai dan sehubungan dengan itu kami akan usaha untuk menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah.

Sekali lagi, saya bagi pihak residen DMM ingin mengucapkan terima kasih atas teguran dan kami akan berusaha untuk membaiki perkhidmatan dan layanan mengikut kemampuan dan kekangan yang sedia ada. "

MAR IZWAN MARZUKI,
Setiausaha Dewan Malaysia
Melbourne,
Melbourne, Australia.

KENAPA AKU SELALU DIRUNDUNG MALANG DAN SIAL!!! ARGGHH!!!

Thursday, April 3rd, 2008

KENAPA AKU DITAKDIRKAN JADI MACAM NI?? KENAPA? APA SALAH AKU SAMPAI BEGINI DUGAAN YANG AKU TERIMA!!!!! AKU TAK TAHAN!! AKU TENSEN! BENGANG! SAKIT JIWA! GILA! BAIK AKU MATI AJELAH!!! ARGHHHHHHHH!!!!!!!!!

besar sangat ke dosa aku!

teruk sangat ke perangai aku!

kenapa tak dialihkan semua balak bencana ni kat orang lain!

kenapa!!!!

perghh…(SORILAH KALAU TAJUK ENTRY NI CATCHY DAN MELAMPAU..HEHEHE!!!) inilah agaknya kata2 yang akan keluar kalau tidak dari mulut seseorang, sekurang2nya jeritan batin dan hatinya jika dia asyik diduga, menerima bala bencana, atau dalam bahasa pasar masyarakat Malaysia ditimpa ’sial’. Kadang2 bila terlalu tertekan dek kerana tak mampu mengharung dugaan yang maha hebat, maka hati dan fikiran jadi tak keruan..sampai satu tahap–gantung leher kat tali kasik pusing 360 darjah kat kipas…banyak best…nerakalah tempatnya! nauzubillah!

Jawapan yang popular tapi paling komprehensif dan tepat pastilah SOD BA RO–sabarrrrrrr…… sabar adalah benteng terampuh dalam menghadapi dan menangani kebejatan perasaan dan konflik kehidupan yang pelbagai. Percayalah, Allah Maha Adil Maha Kaya Maha Pengasih…semua ujian yang diberi adalah bertujuan untuk check dan balance kan segala apa yang kita dah buat..kalau selama ni kita rasa tak pernah buat jahat, maka bala2 sebegini adalah satu ujian untuk mengutuhkan keimanan. Kalau selama ni kita banyak buat jahat, ujian2 sebegini adalah ‘petunjuk’, kifarah, balasan terhadap kekhilafan kita dalam mentadbir jiwa menjadi mukmin dan muslim yang sejati…

so, hari ni artikel aku pasal sifat sabar ni keluar di Berita Harian (4 April 2008) di bahagian Agama (jadi ostadlah aku!). boleh retrive di url nih..selamat membaca.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20080403214235/Article/index_html

Sifat sabar bentuk jiwa sentiasa tenang

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

SESUNGGUHNYA tiada sesiapapun di dunia ini yang suka berhadapan dengan musibah atau malapetaka. Sebagai manusia yang beriman, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan bertakwa. Ujian yang diberikan Allah ini datang dalam pelbagai cara. Kehilangan atau kematian ahli keluarga tersayang, gagal dalam pelajaran, kesukaran dalam bekerja, kemusnahan harta benda, menghidap pelbagai penyakit kronik, terbabit dalam kemalangan, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya adalah sesuatu yang cukup pedih untuk dihadapi.

Jika hati seseorang itu goyah dan tidak rasional, musibah yang melanda tidak akan dianggap sebagai cubaan dan petunjuk yang berupaya meneguhkan keimanan dan kekuatan diri. Kehidupan dianggap sebagai tidak bermakna. Jiwa tidak tenteram dan perasaan menjadi kusut apabila kesenangan dan kebahagiaan dinikmati sebelum ini hilang sekelip mata. Ada di antara kita yang menganggap Allah tidak adil kerana menurunkan musibah demi musibah, umpama ’sudah jatuh ditimpa tangga’. Ditambah lagi hasutan syaitan akan menyemarakkan lagi rasa putus asa, sesal, sedih dan marah. Kesannya, mulalah seseorang itu mencari penyelesaian secara negatif dengan melakukan kemungkaran . Ia sebenarnya adalah tanda protes terhadap nasib buruk dialami mereka.

Sebenarnya jika sifat sabar dipupuk sebaiknya dalam diri, seseorang itu akan terus diberi petunjuk oleh Allah dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia yang fana ini. Firman Allah, maksudnya: Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi (Surah al-A`raf ayat 178).

Bagi orang yang bersabar, dia akan reda dan tabah menerima segala ketentuan Allah. Bahkan sifat berserah (tawakal) dan bersyukur akan tumbuh subur di dalam sanubari di samping percaya segala sesuatu yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Individu seperti ini sedar bahawa Allah menunjukkan contoh kesabaran rasul yang bergelar `Ululazmi’ yang menerima pelbagai cabaran lebih hebat dalam menyebarkan dakwah Islamiah pada zaman mereka. Sifat sabar dapat membentuk keperibadian seseorang supaya sentiasa tenang. Ketenangan ini yang akan memandu dirinya untuk memuhasabah diri. Daripada perspektif Islam, orang yang bersabar dan tabah menghadapi ketentuan Allah adalah orang yang terpelihara kehidupannya di dunia dan di akhirat dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Ini selaras dengan firman Allah: "Sesungguhnya orang yang sabar sajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira? (Surah al-Zumar, ayat 10).

Sebagai masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap satu sama lain, adalah wajar untuk kita membimbing dan membantu sebaiknya orang yang dilanda kesusahan. Bukannya mencemuh, menghina atau menjauhkan diri daripada mereka ini yang masih trauma dan tercari-cari pedoman menghadapi saat-saat sukar dalam hidup.

Bantuan boleh dihulurkan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, kudrat tulang empat kerat, nasihat, kaunseling dan doa. Sokongan masyarakat dari segi fizikal, psikologi dan emosi sangat terkesan dalam membentuk sifat kesabaran dan ketakwaan dalam diri mereka yang dilanda musibah. Ia sekali gus menunjukkan betapa tingginya nilai tamadun masyarakat yang mengambil berat hal ehwal dan kebajikan setiap ahlinya.

Malaysia Hall Melbourne–Apa Sudah Jadi???

Tuesday, April 1st, 2008

Hari ini dalam Berita Harian, keluar satu artikel pembaca yang merungut tentang hal ehwal ‘budak2 Hall’. Artikel ni pada aku adalah sungutan yang perlu diambil iktibar dan diterima dengan nada positif oleh bukan saja ‘budak2 Hall’ tapi semua perantau yang berada di seluruh pelosok dunia. Ingatlah  bahawa, sejauh mana pun kita berada meninggalkan tanahair yang tercinta, kita perlu tetap mendokong adat resam budaya dan agama yang diwariskan oleh tok nenek kita akan amalan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan jangan sesekali bersifat ‘hidung tinggi’ dan biadab.

Satu contoh mudah aku nak kongsi–Aku dan isteri sendiri pun selalu terjumpa ‘orang Malaysia’, mata bertentang mata..tapi perasaannya tak turun ke hati, kenapa? sebab acap kali kami lontarkan senyuman kerana resapan rasa seronok terjumpa mamat dan minah ’setanahair’ di negara orang cair dan luluh muluh bila ianya tidak dibalas dengan mesra.Bahkan seolah2 ‘mamat dan minah’ setanahair ini telahpun bertukar menjadi ‘mamat dan minah salleh’…hehehe. Dah jadik macam kambing gurun pulak kami ni terseringai dan tersengih sendiri tanpa diberi at least senyuman juga…memanglah senyuman tu sedekah, tapi cuba kena kat batang idung tuan2 dan puan2..tak ke tersipu2 jadiknya nanti? hehe..Kasihannya kamikah? Atau kasihannya merekakah? entahlah..tepuk dada tanya selera. Yang penting pada aku, hujan emas berlian batu permata di negeri orang ni tetap tak dapat menandingi hujan batu di negara sendiri…serius. Aku chentakan Malaysia!!!!

Meh kita sorot artikel..opps, sungutan si ‘JAUH HATI DEKAT DI MATA’ dalam paper Berita Harian (2 April 2008) ini:

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20080401230524/Article/index_html

Penghuni Malaysia Hall Melbourne tak mesra

MENJADI tetamu dan menginap untuk tempoh tertentu di Dewan Malaysia (Malaysia Hall) di Melbourne Australia, mungkin sesuatu yang melegakan, namun tidak bagi sebahagian pengunjung dewan berkenaan, sejak kebelakangan ini.

Kebanyakan tetamu yang menginap sementara adalah daripada kalangan pelajar menuntut di sekitar Melbourne yang bujang atau berkeluarga, sebelum mendapat penginapan tetap.

Kesempatan untuk tinggal di Dewan Malaysia yang pada awalnya dianggap sebagai melegakan bertukar menjadi tidak selesa berikutan pengalaman pahit yang diterima ketika menginap di situ.

Pengalaman dua rakan saya ini, mungkin boleh menjelaskan lagi keadaan sebenarnya kehidupan di Dewan Malaysia. Seorang rakan masih bujang, manakala seorang lagi membawa anak dan isteri ke Melbourne untuk melanjutkan pengajian dan menginap sementara di Dewan Malaysia.

Mulanya mereka seronok kerana berkesempatan untuk tinggal bersama-sama orang Malaysia (yang dipanggil Residen Dewan) yang difikirkan sebagai ’sehati dan sejiwa’. Apabila dua tiga hari menginap, baru mereka sedar kedatangan mereka di situ sebenarnya tidak dialu-alukan penginap lain, yang kebanyakannya pelajar yang umurnya jauh lebih muda daripada rakan saya itu.

Rata-rata ahli residen dewan yang boleh dipanggil adik, namun cukup sukar untuk mereka memberi senyuman apatah lagi untuk berbual mesra atau menghulurkan bantuan kepada tetamu.

Ada juga seorang dua di antara mereka yang boleh diminta bantuan, diajak berborak-borak dan bertanyakan sesuatu, namun tidak sedap juga hati apabila yang lainnya masam mencuka dan cuba menjauhkan diri. Inilah bangsa Malaysia yang dikatakan kaya dengan adab sopan dan tatasusila. Baru beberapa tahun berada di luar negara, sudah luntur segala pegangan adab resam bangsa sendiri.

Selain itu, sudahlah tetamu tidak dibenarkan memasak di dapur dewan (polisi yang hanya membenarkan residen saja memasak), untuk membawa makanan untuk dimakan anak-beranak di dalam bilik pun mendapat teguran keras daripada ketua aras. Begitu juga dengan penggunaan internet yang penting untuk berhubung dan mendapatkan maklumat. Tetamu tidak boleh mengguna kemudahan internet di Dewan Malaysia, kalau tidak mengemis dan meminta-minta. Anehnya, tetamu juga membayar harga sewa yang sama bahkan lebih tinggi kadarnya berbanding penginap tetap Dewan, tetapi wujud ruang tidak adil dalam penggunaan kemudahan di Dewan Malaysia.

Kemudian, kalau ada program yang berlangsung di Dewan Malaysia, pasti tetamu luar yang hadir akan sedikit sebanyak terasa hati dan bertambah kejengkelannya. Apabila hendak menggunakan tandas misalnya, kami dapat melihat notis ditampal di hadapan pintu tandas. Notis ini mesejnya betul untuk mendidik, tetapi tidak kena dengan tempat, masa dan khalayaknya kerana tetamu adalah orang dewasa dan terpelajar.

Teguran saya ini bukan untuk mencari kesalahan, namun pengurusan Dewan Malaysia serta penginap tetap, perlu melihat konsep keadilan, sopan-santun dan hormat-menghormati.

Janganlah kerana diberi peluang menginap sebegitu lama di Dewan Malaysia itu membuatkan diri sombong dan memiliki kuasa lebih banyak berbanding tetamu yang menginap untuk tempoh pendek.

Sebagai residen, kita perlu sedar Dewan Malaysia memang akan dikunjungi sebegitu ramai tetamu dari semasa ke semasa. Tidak dapat tidak, anda perlu melayan tetamu anda sebaik mungkin, lebih-lebih lagi jika mereka senegara, sebangsa dan seagama dengan anda.

JAUH HATI DEKAT DI MATA,
Melbourne, Australia.

–pikior-pikiorkanle mike ye?–