Archive for June, 2008

BERUBAT SAMBIL MELANCONG

Wednesday, June 18th, 2008

Julie and I had actually came across the advertisement in one of a local tv channels here saying that Kuala Lumpur is a destination of medic-tourism about a week b4 the program was on-air in last couple of days. Luckily we managed to watch the report on Today Tonight hosted by Anna Corren. We are very pleased with the report and really proud because it seems like promoting Malaysia as one of the best (maybe the best among the others!) countries providing medical facilities with a special memorable package of holiday. Hence, because of the proudness, I wrote an article on this particular sensational report and today (Thurs-19 June 08), that article has been published in Utusan Malaysia…check it out mates!

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Menyuburkan industri pelancongan perubatan Malaysia

TERDAPAT sesuatu yang cukup istimewa dalam laporan khas yang ditonton oleh penulis melalui sebuah stesen televisyen di kota Melbourne baru-baru ini. Dalam rancangan Today Tonight yang mendapat rating penonton yang cukup tinggi telah memaparkan tentang pengalaman manis beberapa warga Australia yang melalui apa yang dikatakan sebagai ‘Pelancongan Perubatan’ (Medical Tourism) di Malaysia.

Malaysia digambarkan sebagai destinasi pilihan selain beberapa negara lain di Asia untuk ‘berubat sambil melancong.’

Memetik kata-kata seorang responden dalam laporan berita ini iaitu Lynda Clifford, warga Australia berusia 48 tahun, pe- ngalamannya di Kuala Lumpur baru- baru ini digambarkan sebagai ’sambil menyelam minum air’ kerana dia melalui sesi-sesi rawatan ‘fizikal, emosi dan spiritual.’

Lynda telah berjaya melalui pembedahan wajahnya yang diseliakan oleh Dr. Nasir Zahari seorang doktor Melayu tempatan, di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Dia diberikan juga rawatan bersifat kaunseling bagi memberikan keyakinan kepada dirinya sebelum dan selepas sesi pembedahan.

Dalam masa yang sama, Lynda turut berkesempatan melancong di lokasi-lokasi menarik di sekitar tanah air kita selepas menjalani pembedahannya itu.

Begitu juga dengan pengalaman Rosie Bates, 34 tahun, yang melalui pembedahan perut dan liposuction di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara. Rosie mengakui bahawa dia mendapat layanan ‘lima bintang’ sepanjang berada di Malaysia dan bersyukur kerana di samping ke- jayaan pembedahannya, dia dan suami da- pat menghabiskan masa melancong pada kos yang dianggap sangat berpatutan.

Kisah Lynda dan Rosie ini adalah sebahagian daripada ribuan rakyat Australia bahkan kebanyakan negara maju yang lain, yang mengiktiraf akan kemampuan dan kepakaran pengamal perubatan dan teknologi perubatan di Malaysia yang setanding dengan apa yang ada di negara mereka sendiri.

Tambahan lagi bahawa kos yang perlu dikeluarkan untuk ‘menyelamatkan nyawa dan maruah’ atau ‘mencantikkan tubuh badan’ adalah begitu murah jika dibandingkan dengan rawatan di negara mereka sendiri. Apatah lagi jika kos yang di- kenakan adalah turut merangkumi pakej percutian yang cukup hebat kerana Malaysia memang terkenal memiliki sebegitu banyak tempat-tempat menarik.

Melalui laman web www.malaysiahealthcare.com, dinyatakan bahawa terdapat beberapa pusat perubatan dan hospital swasta dan kerajaan yang menyediakan pakej-pakej tertentu dalam ‘percutian perubatan.’ Beberapa jenis rawatan perubatan yang popular kepada kalangan ‘pelancong perubatan’ juga disenaraikan termasuklah rawatan kardiologi, ortopediks, pergigian, pembedahan kosmetik sehinggalah kepada prosedur pembedahan minor.

Menurut Dr. Norman seorang pakar perubatan tempatan Australia dalam temu bual berita Today Tonight ini, kos keseluruhan untuk menikmati satu-satu pakej pelancongan perubatan ini secara puratanya adalah satu pertiga daripada kos yang terpaksa ditanggung di Australia.

Dalam kes Lynda, dia hanya mengeluarkan belanja AUD11,600 (kira-kira RM35,000) untuk pembedahan sekali gus percutian di Malaysia berbanding AUD20,000 (RM60,000) hanya untuk kos pembedahan. Ini jelas menunjukkan Malaysia sememangnya telah berjaya memahatkan namanya sebagai salah satu hub pelancongan perubatan yang bertaraf dunia.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) terdapat peningkatan positif dalam jumlah pelancong asing yang mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia iaitu seramai 296,687 orang pada tahun 2006 berbanding 75,210 sahaja pada tahun 2001. Ini merupakan satu perkembangan positif dalam industri pelancongan perubatan ini yang mana ia dikatakan telah berjaya menjana pulangan kewangan sebanyak RM203.66 juta sehingga tahun 2006 yang lalu.

Apabila cerita tentang kualiti perubatan di Malaysia diuar-uarkan dalam media massa antarabangsa misalnya seperti di Melbourne, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat dunia telah membuka ‘mata hati’ untuk tidak terlalu berideologikan tanggapan bahawa hanya negara maju yang pakar dalam dunia perubatan.

Kita tentunya tidak mahu mendengar komen-komen negatif daripada pihak luar yang mengatakan bahawa sektor pelancongan perubatan di Malaysia adalah merugikan bahkan mengancam nyawa pelancong yang mengikuti satu-satu proses rawatan di sini.

Sebagai mana yang ditegaskan dalam laporan Today Tonight, 59 peratus pelancong perubatan warga Australia terpaksa mendapatkan rawatan semula di negara sendiri kerana kegagalan pembedahan yang dilakukan di negara luar.

Untuk itu pihak-pihak yang terlibat harus membuktikan bahawa negara kita benar-benar berupaya memberikan rawatan yang bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.

Seterusnya, kita perlu bijak mempromosi dan memasarkan industri pelancongan perubatan ini ke seantero dunia. Bidang kepakaran dan jumlah doktor pakar perlu ditambah bagi memenuhi keperluan dan kehendak para pelancong yang pelbagai dan meningkatkan peratusan kejayaan perawatan. Memang masih wujud konotasi dalam kalangan masyarakat dunia bahawa risiko kegagalan pembedahan di Malaysia adalah tinggi berbanding di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat atau pun Eropah dan ia perlu ditangani dan diperbetulkan dengan sewajarnya. Kejayaan-kejayaan pembedahan yang dilakukan di Malaysia perlu mendapat liputan meluas dalam internet, media massa ataupun jurnal perubatan antarabangsa bagi memupuk keyakinan dan kecenderungan masyarakat dunia untuk bertandang ke Malaysia.

Begitu juga halnya dengan peranan pengusaha sektor pelancongan dan pengangkutan. Kelihatannya syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan berlumba-lumba untuk menawarkan tambang penerbangan yang murah daripada pelbagai destinasi di seluruh dunia ke Malaysia. Ianya perlu dijadikan sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan tempatan. Hotel-hotel, pusat peranginan, homestay, pusat pelancongan, muzium, galeri seni, kraftangan, industri desa  dan sebagainya perlulah bijak menawarkan promosi-promosi istimewa yang mampu menarik minat pelancong asing. Kualiti perkhidmatan dan produk perlu ditambat ke ‘status antarabangsa’ namun pakej harganya masih bersifat ‘tempatan’ di mana bukan sahaja pelancong asing bahkan  rakyat Malaysia sendiri akan galak untuk bertandang dan menikmati promosi yang ditawarkan mereka.

Sebagai rakyat Malaysia juga, kita turut berperanan dalam memakmurkan industri pelancongan perubatan ini secara tidak langsung. Senyuman, ucapan salam dan layanan mesra yang tidak putus-putus harus diberikan sejak langkahan pertama dihayun oleh para pelancong di lapangan terbang sehinggalah ke restoran atau kedai-kedai runcit yang dikunjungi mereka. Serlahkan ‘wajah sebenar’ kita yang kaya dengan adab, budi pekerti dan nilai sopan-santun yang diwarisi sejak zaman berzaman. Adalah diyakini bahawa ramai pihak akan terus data menikmati hasil lumayan daripada industri pelancongan perubatan ini dengan syarat keyakinan dunia terhadap kemampuan Malaysia dalam bidang ini perlu terus dipupuk dan dikekalkan.

Cerita orang-orang Desa Bundoora

Saturday, June 14th, 2008

harini dalam Berita Harian –14 June 2008 Sabtu– keluar artikel aku yang merumuskan tentang majlis ‘perkahwinan’ Kak Thasa dan Aleh yang kami organised last two weeks di rumah diorg di Dunne St,Kingsbury. Aku cukup seronok tengok warga Malaysia Melayu Bundoora yang cukup rapat, ngam, sekepala, kamceng dan seumpamanya ini. Ibarat air dicincang takkan putus, cubit peha kanan peha kiri pun rasa sakit, aur dengan tebing, isi dengan kuku dan sewaktu dengannya. Tua, muda, lelaki, perempuan, separa lelaki+pompuan, emak, bapak, anak-anak, suma2 cukup baik antara satu sama lain. Dalam rewang ni, objektif MAKAN tu jatuh nombor dua-tiga, nak bersembang dan berborak dan bermingle around tu yang jadi matlamat utama kami.hehehe..harap2 hubungan kita terus rapatlah kawan2 desa bundoora oiiittt…

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20080614000559/Article/index_html

Budaya Malaysia tak ‘luntur’ di bumi asing

BEBERAPA hari lalu kami di Bundoora, sebuah kawasan pesisiran kotaraya Melbourne menyambut secara meriah dua rakan kami yang baru mendirikan rumah tangga. Mereka sebenarnya melangsungkan majlis akad nikah dan perkahwinan lebih awal di Malaysia. Namun, atas semangat dan jalinan ukhwah yang begitu kuat di kalangan yang rata-ratanya menuntut di sini, kami mengadakan sekali lagi majlis perkahwinan serba sederhana untuk mereka.

Walaupun jumlah tetamu yang hadir tidaklah begitu ramai berbanding majlis perkahwinan di tanah air, suasana ‘berewang’ dan kenduri tetap dapat dirasakan. Hiruk-pikuk rakan taulan berbual mesra, anak-anak berkejaran, kaum ibu yang sibuk menghidang dan menyiapkan juadah, serta pasangan pengantin yang masih tersipu-sipu melayan tetamu adalah rencah hidup bermasyarakat. Penulis kira ‘takkan lekang dek panas, dan takkan lapuk dek hujan’ walaupun beribu-ribu batu jauhnya dari tanah air. Adat resam Melayu yang penuh dengan kesantunan dan budi bahasanya cukup erat dipegang dan dizahirkan dalam majlis serba sederhana ini.

Majlis dimulakan dengan tetamu yang berkumpul beramai-ramai dan berarak bersama-sama menuju ke rumah pengantin. Seorang wakil rombongan memberikan salam di pintu dan tidak lupa menjual beberapa rangkap pantun sebagai ‘buah tangan’ kepada tuan rumah. Selepas dijawab seadanya juga dengan pantun, hadirin dipersilakan masuk disusuli dengan hadiah perkahwinan tanda ingatan tulus dan ikhlas buat pengantin.

Sesungguhnya, syariat Islam itu sesuatu yang menjadi tunjang dan pedoman kepada amalan manusia dalam kehidupan. Justeru, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa selamat, memohon supaya bukan saja rumah tangga pengantin diberi rahmat oleh Allah, bahkan mendoakan agar semua tanggungjawab dan urusan ‘duta-duta negara’ ini dapat disempurnakan dan diberi petunjuk dan hidayah oleh-Nya. Hadirin juga bersolat secara berjemaah sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang perlu dilunaskan walau dalam apa keadaan sekalipun.

Hidangan untuk kenduri sederhana ini tidak lari daripada konsep makanan biasa di Malaysia, iaitu nasi beriani kambing. Ditambah lagi dengan sedekah berkonsepkan ‘pot-luck’ oleh sebilangan tetamu yang menghidangkan rojak, soto, karipap dan roti jala, maka terubatlah kerinduan sesiapa saja terhadap masakan ala Malaysia yang cukup sukar diperoleh di sini.

Pada hemat penulis, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada budaya bermasyarakat seperti ini. Pertamanya, adat resam adalah sesuatu yang cukup mahal harganya. Mahal kerana ia melambangkan identiti warisan bangsa yang perlu dipupuk dan dipertahankan sebaik mungkin tidak kira di manapun kita berada. Dalam hal ini, walaupun komuniti warga Malaysia kecil, namun setiap individu begitu kental nilai jati dirinya tanpa hilang walau berada di negara orang.

Keduanya, sekental manapun adat resam yang dipegang, ia perlulah bertunjangkan kepada pegangan syariat Islam yang jitu kerana Islam itu cara hidup. Firman Allah, yang bermaksud: ”Sesungguhnya agama (cara hidup) yang benar di sisi Allah hanyalah Islam semata-mata".

Jangan terperanjat jika diberitahu bahawa ada sebilangan kita yang seakan-akan lupa mana diletakkan sejadah dan al-Quran dan mereka begitu mudah memberi alasan terlalu sibuk dengan urusan dan hal ehwal peribadi. Hakikatnya, sebagai seorang manusia yang bertakwa, tidak kira di mana kita berada, pada bila-bila waktu dan berhadapan dengan apa urusan sekalipun, syariat Islam itu perlu ditegakkan.

Hak kita kepada Allah perlu dilunaskan kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai makhluk ciptaan-Nya. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah adz-Dzaariyat, ayat 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku".

Ketiganya, dalam konteks hubungan sesama manusia, kita sememangnya sangat digalakkan untuk bercampur gaul, berasimilasi dan memupuk silaturahim sesama rakan berlainan negara, agama dan bangsa. Ini kerana ia adalah fitrah manusia yang perlukan sokongan sosial dan moral daripada individu lain. Rasulullah sendiri menegaskan akan kepentingan silaturahim dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Sesiapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menyambung silaturahim".

Begitu juga kita perlu ada rasa mengambil berat dan ada perasaan kasih kepada mereka yang seagama, sebangsa dan senegara dengan kita. Jika tidak wujud perasaan sebegini, itu jadinya apabila ada dalam kalangan kita yang keluar negara kadangkala akan bersua dengan orang senegara, sebangsa dan seagama tetapi terlalu ego dan sombong untuk membalas sapaan dan ucapan salam yang kita berikan.
Bahkan senyuman yang disedekahkan, ada kalanya dibalas dengan jelingan tajam penuh kejengkelan. Begitu juga bila diundang untuk ke majlis tertentu anjuran rakan senegara, orang sebegini pasti akan memandang sepi semata-mata. Inilah senario yang perlu diubah dalam sesetengah masyarakat Malaysia di luar negara. Apa seronoknya untuk menjadi ‘kera sumbang’ yang berasakan tidak layak untuk rakan senegara dan sebangsa bercampur gaul dengan mereka? Kalau sakit pening nanti, yang dicari untuk mendapatkan pertolongan, pastilah dalam kalangan rakan senegara dan sebangsa ini juga.

Untungnya senario di bumi Melbourne ini, bahkan mungkin di beberapa negara lain ada perkumpulan pelajar dan perantau Malaysia yang begitu aktif melaksanakan aktiviti keagamaan dan kebudayaan yang memberikan banyak manfaat kepada mereka sendiri dalam mengingatkan diri akan kepentingan untuk berpegang utuh kepada syariat Islam, memartabatkan budaya bangsa dan hidup bersatu-padu.
Kelas agama, ceramah patriotik, forum yang membariskan tokoh negara sebagai ahli panel atau penerbitan makalah berorientasikan hal ehwal tanah air antara usaha murni yang patut diteruskan sebagai bukti kecintaan kita kepada agama dan tanah air. Inilah yang dinamakan sebagai ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri’, namun masih rindu dan teruja untuk ‘berhujankan batu’ di negara sendiri. Kesimpulannya, tidak kira di mana kita berada, ajaran Islam dan nilai murni dan budaya yang dipupuk dalam diri kita ini perlulah kita pertahankan dan diserlahkan sebagai tatapan umum di bumi asing. Barulah bangsa asing akan nampak betapa tingginya martabat kita sebagai umat Islam dan bangsa Malaysia yang hebat ketamadunan dan kaya budi pekertinya.

Penulis berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan PhD di La Trobe University, Melbourne, Australia.

Kerja dengan berhemah, bukan berkhemah masa kerja!

Wednesday, June 4th, 2008

Harga minyak naik dah oii!!! Ramai betul kawan2 aku YM dan email pasal kenaikan harga ‘emas hitam’ di Malaysia yang didahagai oleh semua rakyat bahkan majoriti manusia dalam dunia sekarang.harga minyak petrol yang naik 78 sen, turut sama naik dengan harga diesel dan tarif elektrik dijangka akan menepuk2 dahi peniaga2 bidang lain untuk sama2 ‘join the club’..itu satu senario yang tak boleh kita elakkan, kalau tak dalam jangka masa terdekat..lambat laun jadi jugak. Inilah dia senario zaman sekarang…kita tak berdaya nak menongkah arus perubahan yang bersifat global ni. apa yang boleh kita buat? Banyak…duduk, baca Bismillah, dan mula fikir apa kaedah terbaik untuk pastikan kita dapat teruskan hidup dengan sejahtera. Imbangkan semula perbelanjaan harian dan bulanan kita. Mana belanja yang kita rasa membazir…haaa silalah disingkirkan daripada menjadi amalan. Shopping sakan menambah aksesori rumah, tambah spare-part kereta, tengok wayang seminggu sekali, berdating, minum kat mamak, waima menghisap rokok adalah antara benda-benda ‘kurang dan takde pekdah’ yang biasa kita buat dan sebenarnya boleh kita tak buat. So, harini dalam Utusan Malaysia 5 Jun 2008-Khamis, artikel aku pasal berjimat cermat tersiar. Sebagai memenuhi aspirasi gomen, aku buat artikel ni menyentuh jimat-cermat dalam kalangan kakitangan awam(sebenarnya untuk semua manusia bernama pekerja dalam sektor swasta juga)…berhemahlah masa bekerje beb, jangan dok berkhemah (macam bercuti, goyang kaki, buat kompeni cam ‘ayah kita punya’!) masa bekerja..hehe.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Pupuk sifat berjimat kakitangan awam

TIDAK dapat tidak, ramai yang mengakui bahawa banyak jabatan awam yang masih tidak dapat menguruskan penggunaan kepelbagaian sumber fizikal dalam organisasi secara berhemah dan bijaksana. Stigma ‘menghabiskan peruntukan tahunan’ yang selalu kedengaran dalam kalangan pegawai kerajaan perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya dalam mengelakkan pembaziran yang sememangnya merupakan amalan kegemaran syaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini meminta kakitangan awam untuk memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat bagi membantu kerajaan mengelakkan perbelanjaan subsidi melebihi aras perbelanjaan operasi yang boleh membawa masalah besar pada masa hadapan.

Secara realistik banyak usaha yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk berjimat cermat. Berikut adalah antara cadangan yang perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan segera oleh jabatan-jabatan dan para pekerja sektor awam:

1. Rata-rata, ramai pekerja yang menggunakan konsep ‘pakai dan buang’ dalam penggunaan alat tulis, kerana memikirkan ia boleh didapati dengan mudah dan stoknya banyak. Untuk itu, pengurusan jabatan perlu mengurangkan atau mengehadkan pemberian pen, klip kertas, gam dan sebagainya kepada setiap pekerja kerana alat tulis tersebut boleh bertahan untuk jangka masa yang lama jika ia digunakan dengan jimat dan disimpan dengan cermat.

2. Amalkan kaedah ‘kitar semula’ kertas-kertas A4 dan sebagainya yang telah digunakan untuk tujuan urusan dalaman. Misalnya, penggunaan kertas-kertas terpakai tapi masih boleh digunakan untuk mencetak pekeliling jabatan atau minit mesyuarat. Ia berkesan dalam menjimatkan kos pembelian kertas yang kebiasaannya akan dibuang setelah diguna walaupun ruang di belakang kertas itu masih elok untuk digunakan semula.

3. Aplikasikan teknologi maklumat dan Internet dengan semaksimum mungkin dalam usaha menjimatkan kertas. Misalnya notis panggilan mesyuarat, jemputan menghadiri program, atau pekeliling yang boleh dikirimkan dengan mudah melalui internet.

4. Terdapat sesetengah jabatan yang selalunya akan menghidangkan jamuan makanan semasa mesyuarat. Untuk itu, jabatan kerajaan harus mengikis budaya mengsinonimkan mesyuarat dengan jamuan makan untuk tujuan menjimatkan kos pembelian makanan yang dirasakan tidak perlu bagi kelancaran mesyuarat.

5. Pengurusan setiap jabatan perlu memikirkan kaedah berkesan dalam penggunaan barangan elektrik. Komputer, radio, televisyen, mesin pencetak dan alat pendingin hawa misalnya perlulah diingatkan supaya ditutup jika tidak digunakan seperti ketika waktu rehat atau waktu pejabat berakhir.

6. Kurangkan atau elakkanlah mengadakan kursus, mesyuarat atau pelancaran program organisasi di hotel-hotel mewah yang sememangnya memakan kos perbelanjaan yang tinggi. Apa salahnya jika mesyuarat atau kursus dalaman organisasi dilaksanakan di dalam organisasi sendiri yang mana pada hemat penulis cukup kemudahan dan ruang fizikalnya.

Banyak kos yang dapat dikurangkan, terutamanya kos penginapan, makanan, pengangkutan, petrol dan sebagainya. Apa yang penting adalah aspirasi, matlamat atau resolusi yang diharapkan daripada kursus, mesyuarat dan program itu dapat dicapai, bukan betapa hebatnya lokasi pelaksanaannya.

7. Setiap jabatan kerajaan harus berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan sesuatu transaksi dengan pelanggan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pelanggan bahkan kepada satu-satu organisasi kerajaan itu sendiri.

8. Setiap pekerja harus bijak dan amanah dalam menggunakan masa bekerja dan dalam pengendalian peralatan pejabat. Kita sepatutnya mengikis tabiat-tabiat buruk ini yang mana secara tersiratnya membazir dan merugikan wang kerajaan dan rakyat. Pupuklah etika kerja yang berintegriti dan berpandukan kepada syariat Islam dan pegangan moral.

Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang dirasakan bersifat realistik dan boleh dipraktikkan secara menyeluruh dalam jabatan-jabatan kerajaan. Satu-satu perubahan yang baru itu sememangnya sukar untuk dilaksanakan, namun seperti kata-kata pujangga barat ‘kejayaan itu bermula dengan langkah pertama’.

Ambillah tindakan sewajarnya daripada sekarang untuk mengikis sikap boros, kurang cermat dan tidak berhemah dalam bekerja sebelum berlaku fenomena dan kesan yang lebih kritikal pada masa hadapan.

p/s: berkira2 untk mencari basikal..mengayuh ke opis dan rumah pak mentua nanti..;p

Ini Sudah Melampau!!! Kurang Ajar!!!

Sunday, June 1st, 2008

Apa nak jadi dengan budak2 sekolah zaman sekarang? sekolah patut jadi tempat menimba ilmu, memantapkan sahsiah, membentuk identiti dan peribadi yang baik..tapi lain pulak jadinya sekarang. Kalau anda terbaca berita yang dipaparkan dalam Berita Harian hari Jumaat, 30 Mei lepas, 3 budak lelaki umur 17 tahun ‘buat tak senonoh’ pada 1 budak perempuan dalam stor sekolah. STOR SEKOLAH tu!!! tergamak budak2 ni mencemarkan kemuliaan institusi sekolah!

Maka, hari ini artikel aku keluar dalam Berita Harian, 1 Jun 2008-Isnin- dan aku cuba kupas sedikit tindakan pre and post yang wajar dan mesti diambil oleh semua pihak supaya anak2 kita ni tak memangsakan orang dan tak menjadi mangsa orang. check it out!

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Seksyen/index_html?mysec=Surat

Usaha bersepadu tangani masalah pelajar

SUNGGUH memeranjatkan apabila membaca laporan akhbar ini, mengenai tindakan kurang ajar tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Segamat, Johor yang ditahan polis selepas memaksa seorang pelajar perempuan membuka pakaian sebelum merakam payu daranya menggunakan telefon bimbit.

Lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui bahawa kejadian itu berlaku pada Februari lalu di dalam stor sekolah ketika kejohanan sukan sekolah berlangsung.

Tidak cukup gambar pelajar perempuan itu diambil separuh bogel, pelajar lelaki berkenaan turut meraba seluruh badan mangsa dan gambar yang diambil disebar di daerah ini melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada orang ramai, termasuk tunang mangsa.

Lebih parah apabila mangsa diugut supaya tidak memecahkan rahsia perlakuan sumbang mereka ini kepada sesiapa.

Sebagai seorang manusia, sesiapa saja yang membaca berita ini pasti akan berasa cukup marah dan mengutuk tindakan luar batasan seperti ini kerana tindakan biadab pelajar ini melampaui had moral, etika dan keagamaan.

Apakah agaknya yang terfikir dalam pemikiran pelajar itu pada masa mereka melakukan kerja terkutuk itu? Mana pergi pertimbangan agama mereka, mana hilangnya didikan budaya, adab dan sopan santun.

Tidak keterlaluan kalau dilabel mereka ini sebagai ‘penjenayah’ kerana mengambil kesempatan di atas kelemahan perempuan.

Jika diamati sedalam-dalamnya akan Falsafah Pendidikan Negara, sistem pendidikan di Malaysia berteraskan kepada matlamat untuk melahirkan insan seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

Selain itu, bangsa Malaysia yang berilmu dan berakhlak mulia turut diberi penekanan sebagai produk yang diharapkan mampu menyumbang kepada kemakmuran negara. Namun, apa yang dilakukan pelajar terbabit tidak menonjolkan ciri-ciri insan cemerlang seperti diharapkan dalam falsafah pendidikan negara.

Berdasarkan pengalaman penulis menjadi guru sebelum ini, sememangnya ada sebilangan pelajar yang ‘keras kepala’, tidak berdisiplin dan cukup sukar untuk dibentuk keperibadiannya. Mereka ini menjadikan sekolah bukannya dengan matlamat untuk berjaya akademik dan sahsiahnya.

Sebaliknya, sekolah menjadi medan untuk menunjukkan belang dan taring mereka di kalangan rakan. Kejadian seperti yang dilaporkan itu adalah satu kes disiplin yang parah selain daripada merokok, pukul, ugut, pergaulan bebas antara jantina dan sebagainya.

Dalam hal ini, penulis meminta semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan maruah pelajar perempuan itu dibela dan mengelak kes serupa berlaku pada masa akan datang. Diharapkan pelajar ini jika terbukti bahawa mereka bersalah akan didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada diri mereka dan pelajar lain.

Semoga pelajar yang terbabit dan masyarakat sedar bahawa kita tidak seharusnya berundur kepada sifat ‘barbarian’ atau orang zaman batu tetapi perlu lebih matang dalam bertindak dan berfikir.

Pihak sekolah yang terbabit pula perlu bertanggungjawab kerana kejadian itu berlaku dalam kawasan sekolah. Kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan di persekitaran sekolah pada sepanjang masa bagi mengelak penyalahgunaannya oleh pelajar mahu pun pihak luar.

Badan Pengawas sekolah perlu lebih diaktifkan peranannya bukan sekadar menjadi ‘mata-mata’ sekolah bahkan sebagai pembimbing rakan sebaya yang berkesan kepada rakan pelajar yang lain.

Sekolah juga boleh mengikuti langkah sesetengah sekolah lain yang aktif mengadakan program keagamaan seperti bertadarus al-Quran, ceramah dan program agama dan moral, mengedarkan risalah berkaitan nilai murni dan sebagainya.

Ibu bapa pelajar pula perlu lebih bijak mendidik anak-anak. Walaupun mungkin tanggungjawab pendidikan itu diletakkan kepada pihak sekolah, tidak dapat dinafikan bahawa apa yang dipelajari atau dididik di rumah adalah lebih besar ertinya dalam membentuk keperibadian anak yang sempurna.

Kawal tingkah laku anak, ambil tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa. Sememangnya anak tidak suka dikongkong, tetapi kalau kebebasan melampau diberikan ibu bapa, padahnya anak akan terpengaruh dengan gejala negatif yang dibawa rakan-rakan sebaya.

Lengkapkan anak dengan didikan agama, moral dan adab sopan supaya nanti tidak akan ada ibu bapa yang menepuk dahi sambil menyebut ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Kepada pelajar pula, sememangnya zaman remaja ini adalah zaman yang mengasyikkan dan menyeronokkan kerana anda mula beralih daripada usia kanak-kanak kepada dewasa. Pelbagai ‘eksperimen’ tingkah laku anda laksanakan sebagai usaha mencari erti kehidupan dan mematangkan diri.

Anda turut bertanggungjawab kepada diri sendiri. Fikiran anda sudah boleh membezakan mana yang ‘hak’ dan mana yang ‘batil’. Pilihlah jalan kehidupan yang sebaiknya demi kebahagiaan hidup pada masa depan.

Jika perlukan bantuan dan sokongan mintalah tanpa segan silu daripada ibu bapa, keluarga, guru mahu pun masyarakat sekeliling. Semoga pisang tidak berbuah dua kali.

p/s: mintak simpanglah anak-anak dan keturunan aku daripada buat anak orang lain macam ni dan jadi mangsa anak orang lain macam ni..amin.