Archive for July, 2008

Perihal Manusia & Masa–siapa pintas siapa?

Thursday, July 31st, 2008

Entah kenapa, sejak akhir-akhir ni, masa berlalu begitu pantas. Ungkapan yang biasa kita dengar, kerana inilah akhir zaman. Kiamat dah nak dekat, maka masa berdetik pantas tanpa manusia menyedarinya. Baru seolah-olah semalam aku solat Jumaat di Reservoir, harini dah tiba lagi Raisulyaum ini. Baru saja rasanya attend discussion dengan Pauline pasal progress study, dah nak kena jumpa lagi untuk kesekian kalinya. Baru jugak rasanya main futsal, dah tiba semula hari yang bagus untuk buang peluh ni.

Aku pun rasa macam lost, tak ikut dah time table study aku atas sebab2 yang tak boleh nak dielak, atau ditidakkan. Orang2 Bundoora taulah kenapa kot? hehe..

Aku selak2 balik folder dalam laptop ni, jumpa softcopy buku ‘Resipi Istimewa Untuk Belajar’ yang dikarang bersama dengan Dr Sapora Sipon tahun lepas. Tersengih aku..mana taknya, dalam buku tu aku and Dr Sapora letak Pengurusan Masa sebagai first chapter..means, nasihat orang pasal time menejemen pandai, sendirik? hancus..wahaha..taklah hancus, tapi lari jugaklah dari objective sket2 sebab tak urus masa dengan efficient.

Well, aku rasa untuk jadi peringatan semula pada diri aku sendiri, dan untuk dikongsi sebagai panduan dengan kawan2 lain, maka ini sedikit info yang aku korek balik dari 1st Chapter buku kami nih yang berkaitan dengan time menejemen. Kalau aku rajin, Insya Allah aku akan susulkan dengan kandungan lain, pasal tips2 time menejemen…enjooyyy, daaaaaa!!!!

*************************************

Diceduk dengan izin penulis buku ‘Resipi Istimewa Untuk Belajar’ terbitan Universiti Sains Islam Malaysia, 2007

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan nasihat-menasihati dengan kebenaran. Dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.”

(al-‘Asr:1-3)

PENGURUSAN MASA

                        

            As-Syahid Hassan Al-Banna ada menyebut bahawa ‘masa adalah kehidupan, tanpanya kita akan mati’  (Mohd  Azhar  Abdul Hamid , 1999).

Oleh itu pengurusan masa adalah penting sama ada dalam dunia pekerjaan atau dunia pelajar. Pelbagai cara dan gaya masa itu diurus tetapi yang paling penting ialah ia dapat diurus dengan lebih berkesan agar memberi manfaat yang berguna kepada kita.

            William Wilkinson iaitu seorang ahli perniagaan berbangsa Amerika yang berjaya pernah berkata: “Hentikan membuang masa. Mulailah mengisi dan melaburkan masa. Hal ini akan merupakan pelaburan paling berharga untuk diri dan perusahaan anda” (dalam Lakein, 1996).

         Masa merupakan barang yang unik yang diberikan secara sama rata kepada setiap individu. Setiap orang tidak terkecuali, memiliki masa sebanyak 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 52 minggu setiap tahun. Masa berdetik dengan konsisten, tetapi nampaknya tidak ada seorang pun mempunyai masa yang cukup kerana kita tidak mungkin mencipta lebih banyak masa. Bermakna, kita wajib berhemah dengan waktu yang diberikan kepada kita.

            Pakar pengurusan masa, Merrill Douglass (dalam Lakein, 1996) mengatakan bahawa cara anda menghabiskan masa akan menentukan bagaimana anda memanfaatkan hidup anda dan hal itu sama dengan siapa anda sebenarnya. Tambahnya, hari esok berhubungan dengan hari ini dan hari kelmarin. Tanpa semalam tiadalah hari ini, dan tanpa hari ini tiadalah esok. Begitulah sebelumnya jika kita meninjau masa silam, dan begitulah ketentuannya jika kita hitung waktu-waktu mendatang. Menurut Atchity dalam Sherina (1999), ‘Time expands for those who court it.’ 

                Hakikatnya, masa merupakan sumber yang paling berharga yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia.  Malangnya, tidak semua di kalangan kita mengetahui cara yang paling efisien untuk memanfaatkannya dengan bijaksana. 

            Daripada perspektif Islam, masa adalah sesuatu yang diangkat sebagai tunggak kejayaan seseorang di dunia dan akhirat. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sangat memberikan perhatian yang sangat penting terhadap masa degan pelbagai gambaran. Ini kerana masa merupakan kurniaan Allah SWT yang sungguh besar nikmatnya kepada manusia. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

            Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang". Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)’ (Surah Ibrahim : 33-34 ).

            Daripada maksud ayat di atas, Allah SWT membezakan antara malam dan siang adalah bertujuan supaya manusia dapat membahagikan masanya untuk melaksanakan aktiviti harian dan untuk beramal ibadah. Allah SWT menunjukkan kepada kita bahawa masa merupakan satu entiti yang sangat penting dan melalui sumpah-Nya dengan nama masa:

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan Kebenaran. Dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kesabaran" (al-’Asr:1-3).

       

        Allah SWT menyebutkan bahawa setiap orang itu adalah sentiasa berada dalam keadaan kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mempunyai keyakinan yang teguh, melakukan amalan yang baik, berpesan-pesan ke atas kebenaran, dan berpesan atas kesabaran (Mohd Fadzilah dan Ahmad Fadzli, 2004).

          Pengurusan masa ialah perihal mengurus masa (waktu) dengan sebaik mungkin, sehingga masa (waktu) itu memberi manfaat bagi semua pihak. Begitu pentingnya masa, sehingga Allah SWT mengingatkan kita supaya menggunakan masa itu dengan sebaik-baiknya.

MASA DAN SIFAT-SIFATNYA

            

            Masa mempunyai ciri-ciri atau sifat yang tersendiri dan wajib bagi setiap muslim mengetahui sifatnya agar dapat mengawasinya dengan cara yang betul. Antara sifat-sifatnya ialah :

Pantas Peredarannya

            Manusia akan merasa lebih pantas perjalanan masanya seandai mereka sedang bergembira dan lambat peredarannya jika mereka dalam kedukaan. Walhal perjalanan dan peredaran adalah sama sahaja. Ia ada tersebut dalam sebuah syair yang berbunyi :

            “Telah berlalu tahun-tahun yang dipenuhi  dengan pendampingan  dan kegembiraan.

            Seolah-olahnya dari kesingkatannya beberapa hari sahaja.

            Kemudian disusuli pula hari-hari perpisahan selepasnya.

            Seolah-olah hari tersebut, dari segi kepanjangannya beberapa tahun.

            Kemudian berlalulah hari-hari tersebut dan ahli-ahlinya.

            Seolah-olah (tahun-tahun itu) dan mereka yang berada di dalamnya

             seperti mimpi sahaja.”

Masa Yang Berlalu Tidak Akan Kembali Semula

            Setiap hari berlalu, setiap detik yang telah pergi, tidak akan kembali. Ia telah digambarkan oleh Imam Hassan Al-Basri dalam kata-katanya yang sangat berharga berbunyi :

“Setiap hari menyinsingnya fajar akan diseru; Wahai manusia, aku mahkluk yang  baru, pekerjaanmu menjadi saksi. Justeru itu tambahlah bekalan daripadaku, kerana aku apabila pergi tidak akan kembali semula sehingga hari Kiamat.”

Kata-kata tersebut bukanlah hadis tetapi hanya pengucapan biasa sahaja yang  merupakan mutiara kata. Sebuah syair telah menggambarkan betapa masa yang berlalu tidak akan kembali semula. Syair tersebut berbunyi :

“Tidaklah seseorang itu melainkan seorang manusia yang menunggang di atas belakang usianya di dalam suatu perjalanan, menghabiskan usia tersebut dengan hari dan bulan.”

“Ia bermalam, berpagi, setiap hari dan malam, dalam hal keadaan jauh dari dunia dan dekat ke kubur.”

Sangat Bernilai, Tidak Boleh Dimiliki Oleh Manusia

Selain daripada dua sifat yang telah disebutkan di atas masa merupakan sesuatu yang sangat bernilai yang tidak boleh dimiliki oleh manusia. Sesungguhnya masa merupakan aset yang paling bernilai pada manusia di mana ia penting untuk segala usaha dan pekerjaan bagi mencapai kejayaan dan berjaya dalam kehidupan. Ia tidak dapat dinilai dengan intan dan permata kerana ia lebih berharga daripada benda-benda yang sangat tinggi harganya. As-Syahid Hassan Al-Banna ada menyatakan bahawa  “masa itu adalah kehidupan” oleh itu pengabaiannya akan mengakibatkan kematian dan kesusahan. Menurut Imam Hassan al-Basri menyatakan:

“Wahai anak Adam! Kamu adalah himpunan hari-hari, apabila berlalunya suatu hari, telah berlalu sebahagian daripada kamu.”

Barang siapa yang masih lagi di dalam kejahilan dengan tidak dapat menilai harga masa itu, maka akan tiba masa penyesalan baginya. Suatu hari yang tidak berguna lagi segala penyesalan.

PANDANGAN YANG BETUL TERHADAP MASA

            

            Masa yang dilalui oleh setiap manusia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu masa lalu, masa sekarang dan masa depan. Berdasarkan kepada tiga bahagian masa yang telah dilalui oleh setiap manusia, terdapat banyak pandangan atau penilaian yang tersendiri terhadap masa-masa tersebut. Ia perlu dinilai bagi memastikan setiap masa yang dilalui digunakan dengan sebaik mungkin.

1. MASA LALU

            Masa lalu bukanlah untuk bermegah-megah tanpa kita melakukan sesuatu untuk mengekalkan dan mencari hikmah dari sesuatu yang telah berlaku. Sesungguhnya mereka yang terdahulu meninggalkan banyak tinggalan yang menjadi keagungan atau identiti yang tersendiri seperti kesenian, sejarah, keilmuan dan sebagainya. Kewajiban pada kita ialah menyesuaikan segala tinggalan yang ada menjadi sesuatu yang realiti dengan generasi sekarang. Tidak seharusnya kita meninggalkan yang lama hanya kerana ianya lama. Kerana tiada yang lama tiadalah yang baru. Terdapat perkara-perkara lama yang tidak perlu diperbaharui iaitu Al-Quran. Kalam Allah selama mana masa berlalu ia tetap tidak diistilahkan sebagai ‘lama’. Begitu juga dengan Ka’abah yang dikenali sebagai “Baitul Atiq”. Ia tidak perlu diperbaharui. Hargailah sesuatu yang lama kerana ia besar faedahnya. Raja puisi Arab, Syauqi telah mengambarkannya dalam sebuah syairnya yang berbunyi:

“Janganlah kamu mengambil langkah golongan yang membawa fitnah, yang mana mereka dapati setiap hasilan-hasilan yang lama patut ditinggalkan…”

“Sekiranya mendapati peluang di dalam perhimpunan-perhimpunan, mereka mengkritik dan mencela mereka yang telah meninggal dari golongan yang lalu, juga mereka yang telah lanjut usianya…”

“Bahkan setiap mereka yang telah memberi jasa di masa lampau, mereka menjatuhkan juga, tetapi sebaliknya apabila mereka memegang sesuatu teraju. Ia tidak dapat memimpinnya…”

            Sesungguhnya sesuatu yang lama atau yang baru adalah perkara yang tidak dapat dipastikan dan difikirkan. Ini kerana mungkin lama di sini tetapi baru di

sana

dan sebaliknya. Sesuatu benda yang baru tidak akan kekal barunya kerana esok lusa ia akan menjadi sesuatu barang yang lama.

            Setiap muslim seharusnya menghitung waktu yang berlalu dengan bertanyakan soalan kepada dirinya tentang apakah yang aku lakukan hari ini, apa yang aku tinggalkan dan kenapa aku tinggalkan? Ini dilakukan  untuk memastikan perjalanan hidup yang kita telah lalui diisi dengan sesuatu perkara yang berfaedah dan tidak bertentangan dengan kehendak agama.

2. MELIHAT MASA DEPAN

            Setiap umat manusia seharusnya memandang dan memikirkan masa yang akan mendatang yang akan mereka lalui walaupun ia tidak berupaya untuk mengubah masa lampaunya. Sesungguhnya kita tidak mengerti apakah yang bakal kita lalui di masa-masa yang mendatang. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok  (sama ada baik atau jahat).”

Walaupun kita tidak mengetahui perkara-perkara yang akan mendatangi kita di masa depan, tetapi kita digalakkan untuk berusaha dengan gigih di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT semoga dikurniakan rahmat dan perlindungan.

3. MENGUTAMAKAN MASA SEKARANG

            Masa yang telah berlalu merupakan suatu pengajaran dan pengalaman kepada diri yang menjadi garis panduan untuk meniti kehidupan yang penuh mencabar pada hari ini dan di masa hadapan. Masa sekarang adalah penting kerana di masa inilah kita berkesempatan memperbetulkan kesalahan yang lalu yang telah kita lakukan sama ada kita sedari atau tidak.

            Imam Ghazali menyatakan dalam kitabnya yang mashur iaitu “Ihya Ulumuddin” yang bermaksud:

“Masa itu terbahagi kepada tiga bahagian, masa yang tidak memenatkan hamba, bagaimana sekalipun ia berlalu, sama ada di dalam kesusahan ataupun kesenangan”.


“Masa hadapan yang tidak dapat diketahui oleh seorang hamba, sama ada ia dapat terus hidup ataupun tidak. Dan jiwa ia tidak ketahui apakah ketentuan Allah padanya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seseorang yang berakal itu, semestinya mempunyai empat masa; masa ia memohon, berdoa kepada Tuhannya, masa ia menghitung, menghisab kembali dirinya, masa untuk ia menikmati makanan dan minuman” (Riwayat Ibnu             Hibban).

            Sesungguhnya empat masa yang disebutkan di atas adalah asas kepada untuk seseorang muslim memikirkan masa yang lain. Daripada penelitian dan pemerhatian daripada tiga masa yang digariskan dapat kita lihat betapa pentingnya masa-masa tersebut dalam kehidupan. Ia menjadi garis panduan untuk kita meneroka lebih jauh kehidupan ini. Ia dijadikan landasan agar kita tidak tersesat dan boleh kembali ke pangkal jalan dan memastikan apakah tujuan dan tugas kita yang sebenar sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Terdapat beberapa masa yang telah digariskan oleh Allah SWT untuk kita ikuti dan selebihnya kita sendiri yang akan menentukan pengurusan tersebut.

            Terlalu banyak mutiara kata atau syair pujangga yang terhasil memperlihatkan tentang peri pentingnya waktu itu dalam kehidupan ini. Walau apa pun tiada yang setara di dunia ini dengan nilai masa itu sendiri. Oleh itu pengurusannya yang cekap dan berkesan adalah perlu bagi memastikan kita tidak tergelincir dari landasan waktu.

Teras Keupayaan Siswa..

Wednesday, July 16th, 2008

Artikel ini adalah satu lagi artikel yang dimuatkan dalam Koleksi Rencana Merdeka terbitan KPT dan USIM pada 2007. Takmoh tuleh panjang2 lagi, hayatilah tahapa2 yang aku nukilkan pasal student unibersiti tempatan masa kini…

TERAS MENINGKATKAN KEUPAYAAN GRADUAN IPT

            Sesungguhnya dalam menelusuri perkembangan dunia pengajian tinggi negara sejak era kemerdekaan sehingga ke hari ini, penghasilan graduan yang cemerlang merupakan fokus utama setiap universiti tempatan. Puluhan ribu graduan yang menerima gulungan ijazah saban tahun membuktikan kredibiliti dan kesungguhan setiap institusi pengajian (IPT) dalam menghasilkan produk sumber manusia yang berguna kepada bangsa, negara dan agama.

            Namun, mutakhir ini terutamanya selepas dunia berganjak ke alaf baru, wujud konotasi negatif yang dipalitkan kepada kualiti yang dimiliki graduan IPT tempatan. Tidak mempunyai kemahiran yang diharapkan oleh industri, tidak memiliki ‘soft-skills’ yang sempurna, dan tidak mampu bersaing dengan graduan dari universiti swasta terkemuka mahu pun dari luar negara adalah isu-isu lapuk yang masih lagi membelenggu graduan universiti tempatan. Bermacam-macam andaian diusulkan bagi menyerlahkan punca sebenar kelesuan graduan IPT tempatan ini.

            Ada yang mengatakan ia berpunca daripada sikap sesetengah graduan itu sendiri yang tidak menetapkan matlamat pengajiannya yang jelas semasa menjadi pelajar di universiti. Mereka tidak bersungguh-sungguh memperlengkapkan kemahiran tambahan selain daripada kursus yang dipelajari di universiti. Di dalam kuliah sekalipun, mereka tidak suka bergiat aktif bertanyakan soalan kepada pensyarah dan gemar menghuni kerusi-kerusi di barisan paling belakang.

            Sudahlah begitu, mereka juga tidak ambil pusing akan aktiviti berpersatuan dan kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti. Inilah sifat-sifat buruk yang memberi impak yang besar kepada mereka semasa hendak mencari kerja. Resume yang tidak menarik dan sukar menonjolkan keperibadian dan kemahiran diri yang mantap, menyebabkan mereka awal-awal lagi telah ditolak pemilihannya oleh bakal majikan.

            Ada juga yang meletakkan kesalahan di pihak universiti. Kursus dan silibus yang ditawarkan universiti tempatan sudah terkebelakang dan tidak relevan dengan perkembangan semasa. Universiti dikatakan tidak bersungguh-sungguh memasarkan graduan keluaran mereka di pasaran pekerjaan. Universiti juga diandaikan bersifat tertutup, tidak merujuk dan mendapatkan kerjasama daripada pihak industri dalam memantapkan kurikulum mereka.

            Di pihak industri dan para majikan pula, wujud andaian bahawa mereka terlalu memilih dan bersifat bias dalam pengambilan pekerja di kalangan graduan tempatan. Meletakkan syarat-syarat kelayakan untuk bekerja yang bersifat terlalu tinggi kriterianya dan tidak munasabah, adalah bukti kurangnya ketelusan untuk mengambil graduan universiti tempatan ini bekerja dengan mereka.

            Oleh kerana isu-isu inilah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini telah menegaskan bahawa pihak-pihak yang berkaitan perlu secara kolektif memperkasakan kualiti dan keupayaan graduan universiti tempatan. Beberapa teras perubahan utama digagaskan oleh Timbalan Perdana Menteri ke arah pembinaan keupayaan graduan IPT tempatan di alaf baru ini.

            Teras perubahan pertama adalah perubahan kerangka minda dan sikap pelajar universiti agar dapat memupuk pemikiran yang dominan dan membentuk imej yang kental. Bagi memupuk pemikiran yang dominan, pelajar universiti perlu mewujudkan matlamat pengajian yang realistik dan relevan. Misalnya, matlamat ke arah kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya berjaya dalam persaingan mendapatkan pekerjaan kelak. Matlamat-malamat ini perlu juga diiringi dengan rasa bertanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, agama dan negara.

            Bagi membentuk imej dan personaliti yang kental, pelajar universiti tempatan perlu bijak mengatur strategi dalam memperlengkapkan diri. Mereka perlu memiliki kemahiran-kemahiran sampingan yang bukan sahaja menjadi aset berharga dalam mendapatkan pekerjaan, bahkan sebagai nilai tambah melengkapkan keperibadian kendiri yang unggul dan sempurna. Itu sebabnya mereka perlu mengambil kesempatan menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan menyertai pelbagai aktiviti di universiti. Aktiviti-aktiviti yang menjana kemahiran seperti kepimpinan, pengurusan organisasi, keusahawanan, bahasa, dan sebagainya sangat berkesan dalam meningkatkan sahsiah, kredibiliti dan kualiti mereka untuk dijadikan bekalan apabila berhijrah ke alam pekerjaan kelak.

            Teras perubahan yang kedua adalah usaha memperkasakan kurikulum universiti agar ia relevan dengan kehendak pasaran dan menumpu kepada pembentukan ciri-ciri unggul dalam diri graduan. Timbalan Perdana Menteri menggagaskan bahawa kerjasama yang erat perlu dimeterai antara universiti dan industri dalam usaha mewujudkan apa yang dikatakan ‘situasi menang-menang’. Kerjasama ini memberi impak positif kepada universiti dalam penggubalan dan penawaran kurikulum dan kursus yang relevan dengan perkembangan terkini di industri. Di pihak industri pula, mereka akan memperoleh sumber manusia yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai kendiri yang sejajar dengan kehendak mereka di kalangan graduan yang dihasilkan oleh universiti tempatan.

            Sebagai langkah merealisasikan perubahan dalam memantapkan kurikulum universiti tempatan, Kementerian Pengajian Tinggi misalnya menggalakkan para pensyarah untuk membuat latihan praktikal di industri. Dalam konteks pengajaran, pensyarah berupaya menggabungjalinkan perubahan dan inovasi terkini di industri dengan silibus pengajaran mereka. Manakala dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, mereka dapat berkongsi idea dan kepakaran dengan industri dalam menghasilkan produk dan inovasi yang berfaedah untuk kedua-dua pihak dan diperturunkan ilmu dan penemuan tersebut kepada pelajar mereka di universiti. 

            Teras perubahan yang ketiga pula terfokus ke arah kerjasama yang dijana  antara semua IPT dalam aspek perkongsian kepakaran dan pengalaman bagi melahirkan graduan universiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Universiti tempatan perlu sedar bahawa dengan wujudnya perkongsian pintar sesama mereka akan menjana pembangunan yang lebih bersepadu dan meningkatkan kualiti sektor pengajian tinggi Malaysia ke taraf antarabangsa.

            Sebagai misalannya, Hagen(2002) menyatakan bahawa universiti-universiti tersohor di Amerika dan United Kingdom telah mengorak langkah dalam mengadakan kerjasama strategik di antara mereka demi meneruskan survival di peringkat antarabangsa. Untuk itu, mereka telah sepakat dalam mendasari perkongsian pengetahuan dan maklumat, penyelidikan dan inovasi, serta bersama-sama melahirkan graduan yang bertaraf dunia. Kesan positifnya terserlah dan dinikmati oleh pelbagai pihak. Universiti-universiti tersebut berupaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai di antara universiti terbaik di dunia, para graduan mereka menjadi rebutan syarikat-syarikat terkemuka di seluruh dunia, dan sektor ekonomi dan pendidikan di negara mereka berkembang dengan lebih pesat.      

            Universiti tempatan harus bijak mengadaptasi sistem kerjasama sebegini demi memastikan bahawa graduan tempatan turut dapat ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan graduan lain di peringkat global. Cabaran globalisasi dan persaingan di peringkat antarabangsa yang rancak akan menyebabkan graduan yang tidak berkeupayaan tinggi dan kurang kualitinya akan ketinggalan jauh di belakang.

            Pokok pangkalnya, kesemua teras perubahan yang digagaskan ini adalah demi kebaikan para graduan universiti tempatan. Seharusnya pada genap 50 tahun sambutan kemerdekaan negara kita ini, semua pihak yang terlibat memainkan peranan mereka dengan aktif dalam menjana kredibiliti dan kebolehsaingan graduan universiti, sektor pengajian tinggi dan industri itu sendiri. Jika graduan universiti terus dibiarkan lesu dan tidak berkemampuan untuk mendukung aspirasi pembangunan negara, pada siapa lagikah dapat kita bergantung harap.

IPT di era pasca merdeka

Tuesday, July 15th, 2008

Uihh..lama jugak aku tak menulis ke paper. Ayah pun tanya2 masa chat, aku ada hantar ke tidak apa2 artikel ke paper. Jawab aku, ‘puasa’ kejaplah. Idea memang banyak. Tapi keadaan tak mengizinkan. Aku terpaksa tutup ’selera dan keghairahan’ hobi aku ni untuk settlekan macam2 berkait dengan PhD writing and 2nd data collection. Entry kali ni adalah berkaitan dengan artikel yang aku hantar dan dah dipublish dalam buku ‘Koleksi Rencana Merdeka’ terbitan Kementerian Pengajian Tinggi dan USIM.

Artikel ini aku buat sebagai usaha untuk memberikan pemahaman pada diri sendiri tentang konteks kajian PhD aku–Sektor Pengajian Tinggi. Aku fikir elok jugak untuk aku kongsikan dengan kawan2 atau mana2 visitors yang melewati blog aku ini. Some statements in this article were not up to date since it has been written in August last year. All in all, the general context is as the same..so, enjoy.

Haluan dan Cabaran IPT di Era Pasca Kemerdekaan

Oleh: Khairunneezam Mohd Noor

Universiti Sains Islam Malaysia.

            Umum mengiktiraf bahawa universiti adalah institusi yang memiliki reputasinya yang tersendiri harus dihormati kerana ia adalah gedung penyebar ilmu. Pengiktirafan sebegini secara asasnya adalah satu kontrak sosial yang telah diletakkan oleh masyarakat yang mengharapkan universiti dan para pensyarahnya terus menjaga martabat dan kemurnian ilmu pengetahuan.

            Jika diamati perkembangan dunia pengajian tinggi secara global, ternyata bahawa pengajian tinggi merupakan sektor yang sangat berpengaruh dalam menjana pembangunan sesebuah negara. Sektor pengajian tinggi tidak lagi sekadar berperanan sebagai institusi penyebaran ilmu pengetahuan, bahkan lebih kepada penyumbang aktif dan agen perubahan kepada kemajuan dan keharmonian ekonomi, politik dan sosial (Thillaisundaram, 2003). Begitu jua senarionya yang berlaku kepada pengajian tinggi di Malaysia. Sejak tertubuhnya Universiti Malaya sebagai universiti awam yang pertama pada 1962 sehinggalah kepada penubuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 2006, dunia pengajian tinggi di Malaysia terus mengorak langkah yang progresif dalam menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara. Ditambah dengan perkembangan kolej dan universiti swasta yang mencatat sejumlah 560 institusi pada awal 2007 yang merancakkan lagi kepesatan sektor pengajian tinggi di Malaysia.

Pengajian tinggi selepas era kemerdekaan telah dinobatkan antara institusi utama dalam mendukung dan menjayakan pelbagai polisi dan dasar negara. Misalannya, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) telah berjaya mencapai matlamat pembasmian jurang kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat secara adil dan saksama melalui peranan yang dimainkan oleh universiti tempatan. Universiti tempatan berperanan menyediakan ruang pengajian yang luas dan saksama dalam bidang-bidang kritikal seperti perundangan, perubatan, sains dan teknologi untuk semua bangsa di Malaysia. Impaknya, universiti tempatan berupaya melahirkan sumber manusia berpengetahuan tinggi dan berakhlak mulia yang menjana pembangunan ekonomi negara di pelbagai sektor, selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

            Sebagai usaha kerajaan untuk memantapkan sektor pengajian tinggi, pelbagai polisi, dasar dan strategi telah diimplementasikan. Penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2004 adalah satu mekanisme sokongan kerajaan terhadap perkembangan universiti-universiti tempatan. Sokongan kerajaan juga turut terserlah melalui peruntukan yang besar untuk sektor pengajian tinggi dalam setiap bajet Rancangan Malaysia. Dalam rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) umpamanya sejumlah RM16 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di sektor pengajian tinggi. Dan seharusnya di pihak universiti, sokongan padu kerajaan ini dibalas dengan memantapkan kredibiliti dan kualiti di dalam pelbagai aspek.

            Kualiti menjadi isu teras yang menentukan tinggi rendahnya reputasi sesebuah universiti. Untuk itu, semua universiti baik awam mahu pun swasta telah meletakkan sasaran untuk menjadi ‘universiti kelas dunia’ sebagai nilai ukur kualiti institusi mereka. Natijahnya, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia telah berjaya tersenarai di antara universiti terbaik di dunia dalam kajiselidik Times Higher Education Supplement beberapa tahun kebelakangan ini. Begitu juga kejayaan para pensyarah universiti tempatan yang meraih anugerah dan pengiktirafan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat dunia, menjawat jawatan utama di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pelbagai lagi pencapaian membanggakan, telah menyerlahkan lagi kualiti pengajian tinggi Malaysia di mata dunia.

            Dalam usaha mengekalkan kualiti sesebuah institusi pengajian tinggi swasta pula, kerajaan menetapkan bahawa institusi ini tertakluk kepada prinsip dan peruntukan yang tertakluk di dalam Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, dan Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996. Jelas akta-akta ini telah membantu institusi pengajian tinggi swasta dalam menjaga reputasi institusi masing-masing. Buktinya sehingga ke hari ini, terdapat lebih 20 institusi pengajian tinggi bertaraf universiti dan kolej universiti yang berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi mereka. Kredibiliti dan kualiti yang diserlahkan oleh institusi pengajian awam dan swasta ini diyakini dapat merealisasikan hasrat kerajaan menarik sejumlah 100 ribu pelajar asing menuntut di universiti-universiti tempatan.       

            Di alaf baru ini, terdapat banyak cabaran yang perlu diharungi oleh sektor pengajian tinggi negara dalam pengekalan weltanshauung dan survivalnya. Krisis ekonomi negara genap sedekad yang lalu dan hambatan arus globalisasi misalnya telah mengubah perspekstif pengajian tinggi Malaysia agar tidak bersifat konvensional iaitu terarah kepada aktiviti pengajaran dan penghasilan penyelidikan semata-mata. Universiti tempatan menyedari, jika tidak beralih arah kepada keterbukaan dan persaingan di peringkat global, maka universiti mereka akan terus ketinggalan ditelan arus perkembangan pendidikan dunia. Untuk itu, melalui dasar pengkorporatan pengajian tinggi awam yang diperkenalkan sejak 1998, banyak universiti awam telah melonjakkan kualiti mereka dengan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan serta hasil penyelidikan dan pembangunan ke peringkat antarabangsa. Begitu juga dengan dasar penswastaan pengajian tinggi yang berjaya menarik minat bukan sahaja para konglomerat tempatan bahkan universiti tersohor dari luar negara seperti Australia dan United Kingdom untuk menyuburkan sektor pengajian tinggi negara.

            Sektor perindustrian dan para majikan masa kini seringkali mempersoalkan mengapa graduan keluaran universiti tempatan terutamanya universiti awam tidak mampu memenuhi keperluan semasa mereka. Isu seperti graduan yang lemah penggunaan Bahasa Inggeris, kurang pengetahuan dalam bidang ICT, memiliki kemahiran yang sudah lapuk dan tidak lagi relevan, tiada ketrampilan peribadi dan seumpamanya menunjukkan bahawa pihak universiti perlu melihat kembali keberkesanan sistem pendidikan yang ditawarkan mereka. Begitu juga dengan hasil penyelidikan universiti yang dianggap tidak mempunyai nilai komersil, bersifat terlalu akademik dan tidak memenuhi keperluan industri.

            Sebagai usaha membantu universiti menangani isu-isu sebegini, beberapa rancangan jangka panjang dan jangka pendek telah dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan universiti awam khususnya. Contohnya, kerajaan telah menetapkan pelaksanaan sistem rating bagi kesemua IPTA dan IPTS yang akan bermula pada tahun ini. Ia dilihat sebagai pencetus kepada kesedaran dan sifat berlumba-lumba dalam kalangan universiti untuk menjadi institusi pengajian tinggi yang terbaik.

            Mengkhusus kepada strategi di universiti awam, kerajaan mensasarkan pada tahun 2010, terdapat sekurang-kurangnya 60% pensyarah di setiap universiti awam telah memiliki PhD. Ianya bertujuan untuk memastikan tenaga pengajar di universiti terdiri daripada pakar bertaraf dunia dan berupaya membentuk mahasiswa yang terkehadapan. Maka, jumlah pensyarah yang dibiayai kerajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran ditambah untuk memenuhi aspirasi tersebut. Di dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, kerajaan telah mewujudkan banyak geran pembiayaan seperti geran IRPA yang ditawarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Geran penyelidikan dan pembangunan sebegini turut merintis kepada usaha pembentukan hasil penyelidikan yang mempunyai nilai komersil, bertaraf antarabangsa dan berkualiti tinggi.

            Demi mengekalkan sistem dan kualiti pengajaran dan pembelajaran pula, KPT menggalakkan agar ahli akademik turun ke lapangan industri dan menyertai latihan industri serta melaksanakan program pertukaran pensyarah antara universiti awam dan universiti luar negara dalam sektor kritikal seperti bioteknologi, kejuruteraan marin, perubatan dan sebagainya.

            Universiti swasta turut aktif memacu perkembangan institusi mereka bagi menjamin pertumbuhan keuntungan mereka serta memenuhi tuntutan industri dan sosio-ekonomi negara. Universiti Limkokwing sebagai contoh, mengadakan memorandum persefahaman bersama kerajaan negeri Kelantan bagi membantu mengembangkan kegiatan ekonomi luar bandar negeri itu. Begitu juga kebanyakan universiti swasta mengadakan usahasama dengan universiti luar negara untuk menawarkan Twinning Program sebagai usaha menarik minat para pelajar dalam dan luar negara menuntut di universiti mereka.

            Jelas, pada hari ini selepas 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, sektor pengajian tinggi adalah agen pemacu ke arah kestabilan sosio-ekonomi, politik dan indusri negara. Institusi pengajian tinggi tempatan berjaya mengorak langkah kemajuan mereka, seiiring kepesatan pembangunan global dan nasional. Tidak dapat tidak, cabaran dan isu-isu yang kritikal pasti akan sentiasa wujud mengiringi perkembangan dunia pengajian tinggi. Namun, jika ianya bijak ditangani dan dimanipulasi, cabaran dan isu-isu tersebut dapat dijadikan pemangkin kepada penambahbaikan kualiti dan kredibilit sesebuah institusi pengajian tinggi.