Teras Keupayaan Siswa..

Artikel ini adalah satu lagi artikel yang dimuatkan dalam Koleksi Rencana Merdeka terbitan KPT dan USIM pada 2007. Takmoh tuleh panjang2 lagi, hayatilah tahapa2 yang aku nukilkan pasal student unibersiti tempatan masa kini…

TERAS MENINGKATKAN KEUPAYAAN GRADUAN IPT

            Sesungguhnya dalam menelusuri perkembangan dunia pengajian tinggi negara sejak era kemerdekaan sehingga ke hari ini, penghasilan graduan yang cemerlang merupakan fokus utama setiap universiti tempatan. Puluhan ribu graduan yang menerima gulungan ijazah saban tahun membuktikan kredibiliti dan kesungguhan setiap institusi pengajian (IPT) dalam menghasilkan produk sumber manusia yang berguna kepada bangsa, negara dan agama.

            Namun, mutakhir ini terutamanya selepas dunia berganjak ke alaf baru, wujud konotasi negatif yang dipalitkan kepada kualiti yang dimiliki graduan IPT tempatan. Tidak mempunyai kemahiran yang diharapkan oleh industri, tidak memiliki ‘soft-skills’ yang sempurna, dan tidak mampu bersaing dengan graduan dari universiti swasta terkemuka mahu pun dari luar negara adalah isu-isu lapuk yang masih lagi membelenggu graduan universiti tempatan. Bermacam-macam andaian diusulkan bagi menyerlahkan punca sebenar kelesuan graduan IPT tempatan ini.

            Ada yang mengatakan ia berpunca daripada sikap sesetengah graduan itu sendiri yang tidak menetapkan matlamat pengajiannya yang jelas semasa menjadi pelajar di universiti. Mereka tidak bersungguh-sungguh memperlengkapkan kemahiran tambahan selain daripada kursus yang dipelajari di universiti. Di dalam kuliah sekalipun, mereka tidak suka bergiat aktif bertanyakan soalan kepada pensyarah dan gemar menghuni kerusi-kerusi di barisan paling belakang.

            Sudahlah begitu, mereka juga tidak ambil pusing akan aktiviti berpersatuan dan kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti. Inilah sifat-sifat buruk yang memberi impak yang besar kepada mereka semasa hendak mencari kerja. Resume yang tidak menarik dan sukar menonjolkan keperibadian dan kemahiran diri yang mantap, menyebabkan mereka awal-awal lagi telah ditolak pemilihannya oleh bakal majikan.

            Ada juga yang meletakkan kesalahan di pihak universiti. Kursus dan silibus yang ditawarkan universiti tempatan sudah terkebelakang dan tidak relevan dengan perkembangan semasa. Universiti dikatakan tidak bersungguh-sungguh memasarkan graduan keluaran mereka di pasaran pekerjaan. Universiti juga diandaikan bersifat tertutup, tidak merujuk dan mendapatkan kerjasama daripada pihak industri dalam memantapkan kurikulum mereka.

            Di pihak industri dan para majikan pula, wujud andaian bahawa mereka terlalu memilih dan bersifat bias dalam pengambilan pekerja di kalangan graduan tempatan. Meletakkan syarat-syarat kelayakan untuk bekerja yang bersifat terlalu tinggi kriterianya dan tidak munasabah, adalah bukti kurangnya ketelusan untuk mengambil graduan universiti tempatan ini bekerja dengan mereka.

            Oleh kerana isu-isu inilah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini telah menegaskan bahawa pihak-pihak yang berkaitan perlu secara kolektif memperkasakan kualiti dan keupayaan graduan universiti tempatan. Beberapa teras perubahan utama digagaskan oleh Timbalan Perdana Menteri ke arah pembinaan keupayaan graduan IPT tempatan di alaf baru ini.

            Teras perubahan pertama adalah perubahan kerangka minda dan sikap pelajar universiti agar dapat memupuk pemikiran yang dominan dan membentuk imej yang kental. Bagi memupuk pemikiran yang dominan, pelajar universiti perlu mewujudkan matlamat pengajian yang realistik dan relevan. Misalnya, matlamat ke arah kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya berjaya dalam persaingan mendapatkan pekerjaan kelak. Matlamat-malamat ini perlu juga diiringi dengan rasa bertanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, agama dan negara.

            Bagi membentuk imej dan personaliti yang kental, pelajar universiti tempatan perlu bijak mengatur strategi dalam memperlengkapkan diri. Mereka perlu memiliki kemahiran-kemahiran sampingan yang bukan sahaja menjadi aset berharga dalam mendapatkan pekerjaan, bahkan sebagai nilai tambah melengkapkan keperibadian kendiri yang unggul dan sempurna. Itu sebabnya mereka perlu mengambil kesempatan menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan menyertai pelbagai aktiviti di universiti. Aktiviti-aktiviti yang menjana kemahiran seperti kepimpinan, pengurusan organisasi, keusahawanan, bahasa, dan sebagainya sangat berkesan dalam meningkatkan sahsiah, kredibiliti dan kualiti mereka untuk dijadikan bekalan apabila berhijrah ke alam pekerjaan kelak.

            Teras perubahan yang kedua adalah usaha memperkasakan kurikulum universiti agar ia relevan dengan kehendak pasaran dan menumpu kepada pembentukan ciri-ciri unggul dalam diri graduan. Timbalan Perdana Menteri menggagaskan bahawa kerjasama yang erat perlu dimeterai antara universiti dan industri dalam usaha mewujudkan apa yang dikatakan ‘situasi menang-menang’. Kerjasama ini memberi impak positif kepada universiti dalam penggubalan dan penawaran kurikulum dan kursus yang relevan dengan perkembangan terkini di industri. Di pihak industri pula, mereka akan memperoleh sumber manusia yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai kendiri yang sejajar dengan kehendak mereka di kalangan graduan yang dihasilkan oleh universiti tempatan.

            Sebagai langkah merealisasikan perubahan dalam memantapkan kurikulum universiti tempatan, Kementerian Pengajian Tinggi misalnya menggalakkan para pensyarah untuk membuat latihan praktikal di industri. Dalam konteks pengajaran, pensyarah berupaya menggabungjalinkan perubahan dan inovasi terkini di industri dengan silibus pengajaran mereka. Manakala dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, mereka dapat berkongsi idea dan kepakaran dengan industri dalam menghasilkan produk dan inovasi yang berfaedah untuk kedua-dua pihak dan diperturunkan ilmu dan penemuan tersebut kepada pelajar mereka di universiti. 

            Teras perubahan yang ketiga pula terfokus ke arah kerjasama yang dijana  antara semua IPT dalam aspek perkongsian kepakaran dan pengalaman bagi melahirkan graduan universiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Universiti tempatan perlu sedar bahawa dengan wujudnya perkongsian pintar sesama mereka akan menjana pembangunan yang lebih bersepadu dan meningkatkan kualiti sektor pengajian tinggi Malaysia ke taraf antarabangsa.

            Sebagai misalannya, Hagen(2002) menyatakan bahawa universiti-universiti tersohor di Amerika dan United Kingdom telah mengorak langkah dalam mengadakan kerjasama strategik di antara mereka demi meneruskan survival di peringkat antarabangsa. Untuk itu, mereka telah sepakat dalam mendasari perkongsian pengetahuan dan maklumat, penyelidikan dan inovasi, serta bersama-sama melahirkan graduan yang bertaraf dunia. Kesan positifnya terserlah dan dinikmati oleh pelbagai pihak. Universiti-universiti tersebut berupaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai di antara universiti terbaik di dunia, para graduan mereka menjadi rebutan syarikat-syarikat terkemuka di seluruh dunia, dan sektor ekonomi dan pendidikan di negara mereka berkembang dengan lebih pesat.      

            Universiti tempatan harus bijak mengadaptasi sistem kerjasama sebegini demi memastikan bahawa graduan tempatan turut dapat ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan graduan lain di peringkat global. Cabaran globalisasi dan persaingan di peringkat antarabangsa yang rancak akan menyebabkan graduan yang tidak berkeupayaan tinggi dan kurang kualitinya akan ketinggalan jauh di belakang.

            Pokok pangkalnya, kesemua teras perubahan yang digagaskan ini adalah demi kebaikan para graduan universiti tempatan. Seharusnya pada genap 50 tahun sambutan kemerdekaan negara kita ini, semua pihak yang terlibat memainkan peranan mereka dengan aktif dalam menjana kredibiliti dan kebolehsaingan graduan universiti, sektor pengajian tinggi dan industri itu sendiri. Jika graduan universiti terus dibiarkan lesu dan tidak berkemampuan untuk mendukung aspirasi pembangunan negara, pada siapa lagikah dapat kita bergantung harap.

Leave a Reply