Belajar?
Friday, August 15th, 2008dipetik dari buku ‘Resipi Istimewa Untuk Belajar’ terbitan USIM 2007 dengan izin penulis.
KONSEP BELAJAR
Dalam membincangkan ‘Kemahiran Belajar’ kita seharusnya menyingkap terlebih dahulu apakah definisi frasa ini. Menurut Kamus Dewan (1996) ‘Kemahiran’ ditakrifkan sebagai kecekapan dan kepandaian. Manakala, ‘belajar’ pula diertikan sebagai ‘usaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan, menuntut ilmu atau menjalani latihan’ dan sebagainya. Daripada definisi ini dapat disimpulkan bahawa kemahiran belajar adalah ‘kecekapan dan usaha gigih untuk memperolehi ilmu pengetahuan’. Konsep belajar adalah amat sinonim dengan kehidupan seseorang pelajar. Dalam institusi pengajian tinggi misalnya mahasiswa dididik dan diberi ilmu pengetahuan agar menjadi warga masyarakat yang memiliki kemampuan akademik dan tahap profesionalisme untuk menerap, mengembang atau mencipta ilmu pengetahuan, teknologi dan kesenian. Mahasiswa juga harus diasuh dengan saluran yang betul agar menjadi masyarakat berpendidikan yang dapat mempertingkatkan mutu kehidupan bangsa dan negara.
Dalam erti kata lain belajar merupakan segenap fikiran seseorang yang dilakukan dengan penuh perhatian untuk memperolehi pengetahuan dan mencapai kefahaman tentang alam sekitarnya (The Liang Gie, 1994). Jadi, aktiviti belajar mengerah dan menumpukan segenap kemampuan untuk mencedok seberapa banyak ilmu yang ada di dunia ini. Sementara itu, Lester Crow dan Alice Crow (dalam The Liang Gie, 1994) iaitu ahli keterampilan belajar mendefinisikan belajar sebagai:
“…study is that activity which is deliberately pursued for the purpose of obtaining information, acquiring greater understanding, or improving a skill”…
Beliau menggambarkan belajar adalah satu bentuk kegiatan ilmiah yang bertujuan untuk memperoleh pemahaman yang tinggi dan dapat meningkatkan keterampilan seseorang khasnya mahasiswa. Menurut penulis-penulis Indonesia pula, belajar tidak sama dengan studi (study). Belajar dilabelkan sebagai suatu pengertian yang umum. Ianya menjurus kepada perubahan dalam tingkah laku, sikap, pengetahuan atau pun kemampuan seseorang.
Contohnya, kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun yang mula belajar bercakap ataupun menunggang basikal dan memandu kereta bagi orang dewasa. Memang tidak dapat dinafikan studi menurut mereka mempunyai hubungan rapat dengan belajar. Studi dikatakan lebih mengarah kepada aktiviti mempelajari sesuatu yang lebih ilmiah seperti belajar bahasa asing, mendalami sesuatu ilmu pengetahuan dan sebagainya. Mohammad Hatta (1957) dalam bukunya “Tanggung jawab Moril Kaum Inteligensia” cuba untuk mengupas perbezaan belajar dan studi. Menurut beliau, cara belajar adalah mengisi fikiran dengan pelbagai macam pengetahuan yang diterima daripada pensyarah, guru ataupun buku. Manakala studi pula adalah mempelajari sesuatu, memahami kedudukan masalah, mencari pengetahuan tentang sesuatu dalam pandangan, sebab dan akibat, dilihat dari sudut tertentu dan juga dengan kaedah-kaedah tertentu. Ianya bukan kaedah menghafal atau menerima apa saja yang dibentangkan oleh orang lain tetapi lebih kepada memahami dan pemikiran yang lebih kritis (The Liang Gie, 1994).
Menurut Chibnal (dalam Hettich, 1998), beliau mengatakan bahawa belajar merupakan proses untuk mengembangkan pembelajaran, mempelajari soalan-soalan tertentu, untuk pembacaan buku, membuat persediaan dan penulisan esei. Belajar juga merupakan satu proses untuk melukis gambar rajah, peta, graf dan untuk menghadiri kelas dan lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Finkel dan Krawitz (dalam Hettich, 1998) pula menekankan bahawa belajar merupakan suatu seni. Adalah mustahak untuk mengetahui kaedah belajar yang tepat oleh kerana semua orang terutama pelajar mempunyai hasrat untuk lulus dengan baik.
SIKAP MINAT BELAJAR
Dalam erti kata yang khusus, minat bererti tertarik, terdorong atau terlibat secara langsung dalam kegiatan yang dianggap penting. Maka, boleh dirumuskan minat belajar adalah keterlibatan sepenuhnya seseorang pelajar dalam segenap kegiatan menuntut ilmu pengetahuan dan pencapai pemahaman yang lebih mendalam.
Minat adalah satu unsur penting dalam dunia pendidikan. Minat belajar juga adalah satu faktor utama meraih kejayaan dalam apa jua bidang. Kajian di Amerika Syarikat menyatakan bahawa faktor utama pelajar mengalami kegagalan adalah kurangnya minat. Menurut Johan Adams (1956) dalam bukunya “The Student’s Guide” menyatakan bahawa semakin tinggi minat sesorang pelajar terhadap pelajarannya, semakin tinggi konsentrasinya terhadap ilmu pengetahuan yang disampaikan (dalam The Liang Gie, 1994). Seseorang yang kurang minat untuk belajar sering kali mengalami kekosongan perhatian, kebosanan dan mudah putus asa. Justeru, anasir-anasir seperti ini boleh diatasi dengan menimbulkan minat ingin belajar dalam diri dan kemudiannya mempertingkatkan minat belajar itu dengan sungguh-sungguh.
Dalam proses belajar, harus bertanya kepada diri sendiri apakah sebenarnya yang anda inginkan? Adakah anda terpaksa mengikut sesuatu kursus atas desakan ibu bapa ataupun dari segi kehendak pekerjaan? Kursus apakah yang sebenarnya paling anda minati? Pertanyaan ini mestilah anda sendiri menjawabnya. Untuk belajar dengan efisien anda memerlukan pengetahuan di mana ia boleh diperolehi melalui pengalaman, mengembangkan maklumat dan kefahaman teori dan amali yang akan menjadikan seseorang memiliki kemahiran dan kepandaian (Saunders, 1994).
Mengikut Anderson et al. (dalam Redway, 1988) terdapat tujuh prinsip asas belajar, iaitu:
-
Pembelajaran yang efektif bergantung kepada inisiatif anda untuk belajar. Tetapi ini tidak mencukupi; anda harus tahu apa yang kita ingin pelajari.
-
Kadar pembelajaran juga berbeza-beza antara individu dan antara tugas dan bidang. Jangan sesekali berasa rendah diri jikalau rakan anda lebih baik daripada anda.
-
Belajar beberapa subjek lebih baik daripada belajar keseluruhan subjek yang sama dalam sehari. Ini bermakna mempelbagaikan subjek dalam pembelajaran setiap hari lebih baik daripada belajar hanya satu subjek setiap hari.
-
Penumpuan dan keberkesanan akan berkurangan dalam suatu jangka masa belajar. Untuk mengatasi hal ini anda perlu rehat beberapa minit apabila terasa penat.
-
Kemahiran mempelajari satu subjek mungkin berlainan bagi subjek-subjek yang berbeza.
-
Ingatan pengetahuan dan pengekalan ingatan pengetahuan sentiasa lebih baik daripada ingat semula.
-
Belajar akan jadi lebih maju dengan belajar secara ulangkaji, latih tubi dan latihan yang berulang-ulang.


